Thursday, June 7, 2012

Tadah badan sambut peluru


PAUL yang cedera selepas terkena lima das tembakan dikejarkan ke hospital dalam rompakan didalangi lelaki bertopeng di Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU – Ibarat lilin yang membakar diri untuk kesenangan orang lain, seorang pengawal keselamatan lebih rela membiarkan dirinya ditembak sebanyak lima das oleh perompak daripada dia membalas tembakan menggunakan selaras pump gun yang mungkin membahayakan nyawa orang ramai.

Keberanian dan kemurnian hati R. Paul, 50, berbaloi apabila dia hanya cedera walaupun terkena tembakan di perut, belakang leher, tangan kiri, paha kanan dan pinggang dalam kejadian pukul 8 malam di hadapan kompleks beli-belah Holiday Plaza di sini kelmarin.

Mengimbau semula kejadian itu, Paul yang masih boleh berbicara walaupun cedera ditembak memberitahu, rompakan tersebut berlaku sangat pantas ketika dia yang sedang mengiringi seorang pemilik kedai pengurup wang ke keretanya, didatangi tiga perompak bertopeng dan bersenjatakan pistol.

Katanya, sebelum ditembak, dia menyedari kedatangan perompak terbabit tetapi tidak sanggup untuk melepaskan tembakan dari pump gun yang dibawa kerana bimbang pelurunya akan mengenai orang ramai. Peluru senjata sebesar ibu jari kaki lelaki dewasa itu akan bertaburan jika dibedil.

“Ketika itu terdapat seorang wanita dan kanak-kanak yang berada kira-kira 50 meter dari saya. Saya bimbang mereka akan ditimpa bahaya jika saya menarik picu pump gun.

“Saya lari ke arah wanita tersebut dan menjerit agar mereka lari menyelamatkan diri tetapi tanpa saya sedari, saya terkena satu das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: