Thursday, June 14, 2012

Sentuhan kreativiti lelaki

KEHADIRAN beberapa pereka dan jenama yang mengetengahkan tudung sebagai fesyen utama berjaya mengangkat martabat rekaan tudung.

JNR misalnya, cuba membawa penggemar fesyen menyelami keindahan busana ini.

Uniknya, koleksi JNR dihasilkan melalui sentuhan kreativiti lelaki, Jasni Termizi Abdullah.

Lelaki ini sanggup melepaskan kerjaya lamanya sebagai Pengurus Projek Pembinaan semata-mata kerana mahu membuka sebuah butik tudung eksklusif.

"Perniagaan ini saya mulakan secara kecil-kecilan. Idea bermula apabila saya ingin melihat isteri saya lebih cantik. Kebetulan keluarga amat menyokong saya dan dari situlah saya memulakan perniagaan ini," ujarnya yang turut menyediakan perkhidmatan menjahit pakaian, busana pengantin dan korporat.

Jasni mengakui trend fesyen khususnya wanita sering berubah mengikut peredaran masa.

Justeru, Jasni mahu mempelajari ilmu rekaan fesyen dengan menjadikan Salikin Sidek sebagai mentor.

"Siapa yang tidak kenal dengan legenda pereka fesyen kita ini. Beliau seorang yang tidak kedekut ilmu. Saya bersyukur kerana beliau sudi memberi dan mencurahkan ilmu fesyen kepada saya. Beliau memberi tunjuk ajar kepada saya tentang ilmu jahitan tradisional, moden dan semasa. Selain itu, Salikin juga telah memberi satu suntikan baru untuk saya mendekati dunia fesyen," katanya yang mendapat sokongan daripada isteri tercinta, Ruzaihah Abdullah.

MenjahitSambil tangannya menyusun kain-kain yang akan dijahit untuk tudung siap pakai, beliau bersyukur kerana kemahiran yang dimilikinya itu dapat membantu pendapatan keluarga.

Menceritakan pengalaman awalnya terlibat dengan perniagaan ini, Jasni yang menemani isterinya mengikuti bengkel menjahit tudung secara tidak sengaja cuba menjahit dan menyiapkan sehelai tudung.

Hasilnya lebih cantik dan kemas daripada hasil jahitan si isteri.

"Saya kemudian terfikir, dengan kemahiran menjahit tudung, kami bukan sahaja dapat menyediakan tudung untuk diri sendiri tetapi boleh dijual. Mulanya saya tidak bersedia berniaga secara besar-besaran dan semuanya saya lakukan sendiri di rumah.

"Melihat harga pasaran tudung berjenama agak mahal di pasaran, saya terfikir untuk menghasilkan jenama sendiri gabungan nama saya, Jasni dan isteri, Rozie (JNR). Dengan adanya butik sendiri, saya boleh menjahit sendiri tudung eksklusif dan menjualnya dengan harga berpatutan," ujar Jasni.

Tambah Jasni, JNR menghasilkan rekaan mengikut peredaran masa seperti tudung sarung berkerawang, selendang bawal ropol dan tudung berasaskan manik tiga dimensi (3D).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: