Rumah wartawan dipecah masuk
Rakan serumah mangsa menunjukkan lokasi basikal yang dikebas pencuri.

KUANTAN - Seorang wartawan Sinar Harian kerugian kira-kira RM3,000 apabila basikal miliknya dicuri di rumahnya dalam kejadian pecah masuk di Lorong 52 Alor Akar di sini, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, mangsa yang tinggal bersama enam rakan lain di rumah teres dua tingkat itu tidak berhasrat membuat laporan polis berikutan hanya kehilangan makanan dan minuman ringan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Rosilawati Rosedi, 30 dan rakannya yang juga seorang kerani, Nur Azlin Ahmad, 27 turut kehilangan basikal dengan nilai sama yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.

Namun kejadian itu hanya disedari kedua-dua mangsa kira-kira jam 7.30 malam hari sama biarpun rumah itu dimasuki pencuri pada awal paginya kerana kesibukan kerja.

“Saya dan rakan hanya menyedari basikal milik kami hilang selepas meninjau ke ruang tamu selepas pulang dari tempat kerja masing-masing. “Sebelum itu kami hanya menyedari makanan dan minuman ringan milik rakan lain dilarikan pencuri terbabit dan sebahagian kotak dan pembalut minuman bertaburan di pekarangan rumah ketika keluar ke tempat kerja pada pagi tadi (semalam),” katanya.

Katanya, pencuri terbabit sempat menjamu selera menghabiskan separuh biskut dalam tin dan membuat minuman sendiri.

Mangsa bersama rakan serumahnya kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira jam 10 malam hari sama.

“Paling utama, kami bersyukur kerana tidak diapa-apakan oleh pencuri terbabit walaupun sedih kerana kehilangan basikal yang dibeli sejak Jun tahun lalu,” katanya

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang dikenali Balqis, 22 menyedari kejadian tersebut kira-kira jam 5 pagi selepas tersedar untuk bersahur.

“Apabila ke tingkat bawah untuk menyiapkan makanan, saya terkejut apabila melihat pintu depan terbuka luas. Tapi saya tutupkan seperti biasa sebelum mendengar bunyi bising di tingkat atas.

“Saya fikirkan ada rakan lain yang turut tersedar jadi saya buat tidak tahu saja sebelum naik semula ke tingkat atas,” katanya.

Menurutnya ,situasi sama turut berlaku apabila pintu belakang dan pintu bilik mangsa turut terbuka luas namun dia tidak berani melakukan sebarang tindakan.