Wednesday, June 13, 2012

Mesin layan diri Karyaneka

MESIN layan diri Karyaneka dirasmikan awal tahun ini oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan (tengah) sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012.


KUALITI produk-produk kraftangan etnik Malaysia di Karyaneka yang terletak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur tidak boleh disangkal lagi.

Setiap hasil seni seperti pakaian, alas meja dan cenderamata dipilih dan dikawal secara terus antara pihak pengurusan Karyaneka dengan hampir 700 pengusaha kraf tangan di seluruh Malaysia.

Barangkali terdapat individu yang bersikap skeptikal mengatakan barang jualan di Karyaneka sangat mahal. Namun, ia disebabkan sifat eksklusif yang dimiliki selain produk yang dihasilkan mengikut perkembangan dan trend semasa.

Tidak mahu terus tersekat dalam kaedah perniagaan konvensional, pihak Karyaneka mempelbagaikan kaedah jualan selepas melihat sendiri keberkesanan mesin layan diri di Jepun.

Di negara Matahari Terbit itu, kebanyakan barang jualan menggunakan perkhidmatan layan diri dan ia sangat efektif dari segi pertambahan angka jualan serta kesediaan produk kepada pelanggan pada bila-bila masa.

Setakat ini, Karyaneka sudah memiliki tiga buah mesin layan diri yang beroperasi sepenuhnya sejak dilancarkan awal tahun lalu.

Rekod jualan

Seperti mesin-mesin layan diri yang lain, mesin di Karyaneka juga mudah digunakan oleh para pelanggan selain produk yang dijual terbukti memiliki rekod jualan yang baik.

Antaranya ialah magnet peti ais, rantai kunci dan buku nota.

Cara penyelenggaraan untuk menguruskan jual beli juga sangat mudah. Menurut Eksekutif Rakan Kongsi Strategik Karyaneka, Adil Asmadi, 31, mesin layan diri itu dilengkapi dengan teknologi cip.

“Ia dapat merakam data secara terperinci untuk jumlah jualan dan jenis produk yang terjual. Jadi, peniaga boleh memantau sendiri mesin dan melakukan inventori barang jualan,” terang Adil yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain diletakkan di Karyaneka, mesin layan diri yang menjual cenderamata berharga antara RM4 hingga RM15 itu bakal berada di lokasi-lokasi pelancongan lain.

Tidak lama lagi, ia akan kelihatan di Hotel Royale Chulan dan bakal disusuli di Stesen ERL dan KL Sentral. Pihak Karyaneka turut menjemput orang ramai menyertai perniagaan mesin layan diri biarpun sebagai perniagaan sampingan.

Dengan pakej berharga RM25,000, usahawan yang berminat diberi sebuah mesin layan diri, stok barang jualan, penyelenggaraan secara berkala dan latihan.

“Kami mempunyai sebuah kumpulan yang membuat kajian berdasarkan kedatangan pengunjung ke sesuatu tempat. Jika dalam tempoh tertentu, kutipan jualan kurang memberangsangkan, ia akan dipindah.

“Kos pemindahan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kami manakala rakan kongsi hanya membayar lebih kurang RM300 setiap bulan untuk sewa tapak dan bekalan elektrik kepada pemilik premis,” kata Pengurus Pembangunan Perniagaan Karyaneka, Mohamed Alias Mohd. Ariffin, 43.

Keuntungan yang dijanjikan adalah antara 30 hingga 40 peratus. Mohamed Alias juga memberi jaminan bahawa mereka bebas untuk menentukan masa mengurus mesin layan diri sama ada mahu mengutip hasil jualan setiap hari atau hujung minggu.

Berbeza dengan gerai-gerai jualan cenderamata biasa, setiap barangan dalam mesin layan diri Karyaneka sudah dipastikan keaslian dan buatan Malaysia.

Karyaneka yang bertapak di Malaysia sejak tiga dekad lalu meletakkan sasaran sebanyak 250 buah mesin layan diri di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2014.

Menurut Mohamed Alias, barangan cenderamata yang bakal dijual dalam mesin layan diri nanti mengikut lokasi. Sebagai contoh, jika di Langkawi, cenderamata pasti memiliki unsur kesenian pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: