Islam Global
BERADA di Kabul ketika Taliban mengisytiharkan permulaan peperangan musim panas bukanlah satu pilihan yang baik. Serangan ini mereka tujukan kepada pasukan ISAF - pengaman antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
Serangan ini tetap dilancarkan walaupun diberitakan bahawa AS melalui jururunding dan kedutaan mereka di Doha, Qatar sedang mengatur pertemuan dan perbincangan dengan wakil Taliban bagi membincangkan gencatan senjata dan pembabitan secara serius Taliban dalam pentadbiran kerajaan Afghanistan.
Selagi tidak ada sebarang persetujuan yang konkrit, ia tidak bermakna kedamaian telah mula dikecapi di Afghanistan. Selagi tiada sebarang fatwa dikeluarkan oleh Mullah Omar, pemimpin tertinggi Taliban, mereka akan terus mengangkat senjata menentang.
Serangan secara terbuka ini turut terkesan kepada kami kerana ada hari-hari tertentu, kami terpaksa terperap dan berada di kawasan penginapan sehari suntuk kerana arahan perintah berkurung di beberapa tempat tertentu di Kabul, terutama di lokasi di mana ramai orang asing bertugas atau menginap. Ini adalah aturan biasa sekiranya berlaku serangan atau letupan di Kabul.
Penulis bukanlah baru di Afghanistan, ini sudah masuk kali kelima penulis berada di bumi sang pemberani ini, semasa AS masih lagi memburu Taliban di persekitaran Kabul, penulis telah tiba di kota rebutan ini.
Ketika itu, suasana dan persekitarannya amat berlainan sekarang. Jalan-jalan sudah mula berturap, bangunan-bangunan baru telah kelihatan bercambah dengan pesat, papan-papan tanda perniagaan sudah mula menghiasi tepi-tepi jalan di serata Afghanistan. Malah kereta-kereta mewah pelbagai jenama juga sudah mula menjalar di kota berdebu itu.
Misi Lapangan Antarabangsa MYCORPS
Kali ini penulis berada di Afghanistan mengiringi tiga orang anak muda dari pasukan MYCORPS, sebuah inisiatif yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih anak-anak muda Malaysia, terutamanya para belia dari kalangan Generasi Y untuk menjadi sukarelawan dan pekerja bantuan kemanusiaan yang terlatih, teruji dan berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Kesemua ahli MyCORPS berjumlah 43 orang dan tiga yang bertuah ini telah terpilih ke tugasan lapangan yang paling mencabar ini. Ketiga-ketiga anak muda ini telah menjalani latihan intensif selama hampir sebulan di Kompleks Rakan Muda Kemunting, Pos Balar di Gua Musang, Kelantan.
Mereka juga berpengalaman melaksanakan aktiviti bantuan di tanah air seperti di Perkampungan Orang Asli, bersama Komuniti Pelarian Rohingya dan kelompok miskin bandar sebelum dihantar ke luar negara bagi melengkapkan latihan mereka.
Mohd. Ashraf Abd. Rahman, Mohd. Azreen Hassan dan Siti Zubaidah Samat, masing-masing berusia 31, 29 dan 28 tahun adalah tiga belia negara yang tahan lasak, berketerampilan dan setanding dengan belia-belia lain yang terlibat dalam urusan dunia kemanusiaan dari dunia barat dan dunia membangun.
Misi ke Afghanistan merupakan salah satu misi yang telah ditetapkan bagi memberikan setiap ahli MyCORPS pengalaman beroperasi di peringkat antarabangsa. Pengalaman ini penting dalam memberikan mereka keyakinan dan kefahaman akan tugas-tugas sebenar seorang pekerja bantuan kemanusiaan.
Selain dari Afghanistan, ahli-ahli MyCORPS turut dihantar ke Lubnan, Sri Lanka, Pakistan, Thailand, Indonesia, Kemboja, Laos, Timor Leste dan Uzbekistan.
Program anjakan paradigma
Antara program yang diatur di lapangan Afghanistan ini ialah program anjakan paradigma kepada pimpinan belia dan masyarakat Afghanistan.
Umum mengetahui bagaimana sikap keras dan tertutupnya pemikiran sesetengah penduduk Afghanistan terutama kaum lelakinya. Wanita dilayan tidak lebih sebagai warga kelas ketiga.
Mereka dianggap lebih sebagai komoditi daripada seorang manusia. Mereka dihalang daripada hadir ke sekolah, malah ada yang disimbah dengan asid kerana degil mahu ke sekolah.
Pendidikan menjadi sesuatu yang amat berharga bagi wanita di sini. Pendidikan merupakan tiket untuk mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan menebus kebebasan mereka.
Ini menjadikan wanita Afghanistan lebih cekal, lebih berani dan mereka bertekad untuk mengubah situasi ini kepada situasi yang lebih baik lagi.
Justeru, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi memperjuangkan hak dan nasib serta kepentingan wanita. Mereka ini bergerak lebih agresif dan sistematik, malah mereka juga lebih laju daripada NGO dan organisasi lain.
Organisasi tempatan yang bertanggungjawab untuk mengatur jadual pergerakan, penginapan dan keselamatan kami adalah sebuah NGO tempatan yang diberi nama NECDO (Noor Educational Coordination and Development Organisation).
NECDO merupakan rakan pelaksana bagi Malaysian Relief Agency (MRA) di Afghanistan. Operasi NECDO umumnya ialah untuk meningkatkan taraf dan mutu pendidikan di kalangan wanita Afghanistan, di samping membantu mereka membangunkan ekonomi dan menjana pendapatan bagi keluarga mereka.
Latihan bermula di Faizabad, Badakshah
Lokasi pertama bagi program Anjakan Paradigma ini ialah di kota Faizabad yang terletak di dalam wilayah Badakshan. Wilayah ini terletak di kawasan utara Afghanistan, bersempadan dengan China dan Tajikistan. Wilayah ini didiami kebanyakannya oleh kaum Hazara, pendokong kuat Northern Alliance dan Ahmad Shah Masoud.
Untuk ke sini, kami terpaksa merempuh perjalanan merentasi sebuah lebuh raya di lereng gunung yang cukup terkenal iaitu Salang Pass. Lebuh raya ini dibina oleh tentera Russia bagi memastikan kemaraan pasukan kereta kebal mereka tidak tersekat oleh sebarang halangan.
Salang Pass juga mempunyai beberapa bahagian yang bertutup bertujuan untuk melindungi kenderaan mereka daripada runtuhan salji dan juga serangan Mujahidin dari lereng gunung.
Pada mulanya, kami merasa sedikit khuatir sekiranya para peserta akan menolak konsep latihan ala Malaysia ini, yang menerapkan banyak elemen kemahiran berfikir, kerjasama dan kreativiti daripada aktiviti fizikal dan bercakap.
Kami juga risau sekiranya latihan ini tidak menepati keperluan mereka, maka rakan pelaksana kami akan mendapat kesulitan kerana mereka merupakan NGO tempatan yang akan sentiasa bertemu dan berhadapan dengan mereka.
Kaedah latihan di sini adalah kebiasaannya satu hala sahaja, yang mana hanya penceramah atau pensyarah sahaja yang akan bercakap dan semua peserta akan mendengar.
Peserta yang hadir terdiri daripada tiga kelompok; kumpulan belia, aktivis wanita tempatan dan kelompok agamawan yang terdiri daripada ustaz setempat, imam masjid serta pentadbir agama, dan mereka ini semuanya dikenali sebagai kelompok Mullah.
Kelompok akhir adalah yang paling dominan, kebiasaannya merekalah yang akan menguasai semua perbincangan dan perbahasan.
Masa depan gemilang untuk Afghanistan
Kami turut melakukan siri latihan di dua buah daerah lain iaitu, di Kabul dan di Ningarhar. Secara total, kami berjaya melatih seramai 100 belia Afghanistan dalam sesi-sesi latihan ini.
Kami juga telah berjaya membentuk tiga majlis pemuafakatan belia peringkat wilayah di kawasan-kawasan yang telah kami ziarahi.
Penulis sangat optimis bahawa masa depan yang gemilang sedang menanti Afghanistan sekiranya mereka dapat mengekalkan momentum seperti yang sedia ada.
Meskipun keamanan dan ketenteraman masih lagi kelihatan samar-samar namun usaha berterusan untuk mendidik, membimbing dan membangunkan generasi muda yang celik dan cintakan negara pasti akan membantu menjadikan negara ini sebuah negara baru yang produktif dan progresif dalam kerangka masa yang bakal ditentukan oleh mereka sendiri.
MRA telah merancang untuk bergerak dengan lebih aktif lagi di Afghanistan dan akan menumpukan kepada program-program seperti pembangunan komuniti termasuk pendidikan, pengupayaan wanita, pemberdayaan ekonomi dan latihan komuniti bagi membantu mereka mentadbir dan membangunkan kampung dan daerah mereka dengan lebih baik lagi.
Di samping itu, MRA akan turut membantu penduduk setempat dalam program-program lain seperti Bantuan Ramadan, Agihan Daging Korban, Bantuan Kecemasan, Projek Kesihatan, Projek Sanitasi dan Air serta projek-projek lain yang bersesuaian mengikut keperluan dan kemampuan kami.
MRA turut mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan membantu membangunkan semula Afghanistan. Marilah kita menjadi sebahagian daripada masyarakat dunia yang prihatin.
Esok yang lebih gemilang untuk Afghanistan!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: