Tuesday, June 19, 2012

Melayang di En Provence

PENULIS bersama Ketua Editor Marie Claire Seventeen, Mindy Teh (dua dari kanan), Pengurus Perhubungan Awam L'Occitane, Clarance Boo (kanan) dan Penulis Kanan Sin Chew Jit Poh, Lee Ying Fong (kiri) ketika belon udara panas kami selamat mendarat.

Pagi ini kami akan menaiki belon udara panas iaitu salah satu aktiviti rekreasi yang amat popular di En Provence, pada sepanjang musim bunga dan musim panas sekiranya terdapat permintaan daripada penduduk tempatan mahupun pelancong.

Sepanjang perjalanan itu juga, hati penulis jadi tidak keruan. Sekejap rasa teruja dan ada ketikanya rasa takut dan cuak dengan faktor ketinggian yang akan dialami sebentar nanti.

Kira-kira 15 minit perjalanan, van yang membawa kami sampai ke padang hijau. Suhu pada waktu itu agak sejuk lebih kurang sembilan darjah celsius. Turut serta bersama kami ialah rombongan wartawan dari Filipina, Korea Selatan dan Taiwan.

Sesampainya di padang, proses memasukkan udara ke dalam belon sedang diuruskan. Terdapat dua belon udara panas yang menanti kami, satu daripadanya kepunyaan syarikat belon udara panas, France-mongolfieres.com yang boleh memuatkan 12 penumpang bersama seorang pengemudi dan satu lagi kepunyaan syarikat produk kecantikan terkenal di Peranchis iaitu L'Occitane yang memuatkan empat penumpang bersama seorang pengemudi.

Selepas 15 minit proses memasukkan udara ke dalam belon pun selesai. Kini belon sudah mengembang dan boleh menegak.

Pada waktu itu kami semua dinasihatkan agar segera memanjat ke dalam bakul (lebih berbentuk seperti raga rotan) dengan memijak hujung jari kaki pada ketiga-tiga lubang yang terdapat pada raga.

Tiada tangga digunakan. Hanya berat badan membantu menujah tubuh badan naik dan seterusnya terjun ke dalam bakul yang berketinggian tiga setengah meter itu.

Sekiranya lambat, dikhuatiri raga belon akan terangkat ke udara dengan cepat kerana muatannya masih ringan. Ketika kami naik ke dalam bakul belon udara panas berkenaan, tali yang mengikat bakul itu dipegang oleh beberapa pekerja syarikat dan salah satunya terikat pada lori yang mengangkut belon berkenaan.

Setelah memastikan kami semua berada di dalam bakul, belon udara panas yang kami naiki dilepaskan daripada pengikatnya dan seketika kami pun telah berada di udara.

Sepanjang perjalanan, kami akan berdiri di dalam bakul raga yang hanya berukuran muat-muat badan. Beberapa kali gas prophane dilepaskan oleh si pengemudi belon yang dinaiki penulis dikenali sebagai James .

Sedikit demi sedikit belon udara panas kami naik pada ketinggian 200 meter, 400 meter, 700 meter dan seterusnya sehingga ke 1,400 meter.

Melihat pemandangan yang sayup di bawah dengan kehijauan padang dan bukit-bukau yang menghijau diselang-seli warna bunga-bungaan musim bunga pada ketika itu, hati rasa terpegun.

En Provence sebenarnya adalah sebuah bandar country side yang mana pertanian dan penternakan merupakan aktiviti utama di wilayah ini.

Suhu di udara memang cukup sejuk. Sesekali angin sejuk menampar muka menyebabkan kami menggigil. Memandangkan tiupan angin tidak berapa kuat, kami merasakan seolah-olah belon itu tidak bergerak. Namun sebenarnya kami telah melangkaui jarak satu setengah kilometer dari kawasan padang tempat kami mula berlepas.

Kesempatan itu kami gunakan untuk merakamkan pelbagai gambar dan sesekali dibingitkan dengan semburan api dari gas prophane yang dikemudi oleh James untuk mengawal arah dan aras ketinggian.

James berkata, aktiviti belon udara panas tidak boleh dilakukan pada waktu tengah hari disebabkan suhu yang panas.

Sebelum belon udara kami berlepas, James ada berpesan yang kami perlu menundukkan badan dan berpegang erat pada lubang yang disediakan pada bakul belon ketika proses mendarat nanti.

Ini untuk memastikan penumpang tidak terasa terhentak kerana belon akan terhentak dan terapung kemudian terhentak lagi beberapa kali sebelum betul-betul mendarat.

Dia juga berkata, selepas mendarat semua penumpang tidak dibenarkan turun sehinggalah belon itu kuncup dan jatuh ke tanah.

Akhirnya, selepas hampir satu setengah jam berada di udara, perlahan-lahan belon udara panas dibawa turun. James cuba mengawal keadaan agar bakul belon tidak terpusing dan beralih arah.

Mujurlah kami selamat mendarat tanpa perlu melakukan langkah-langkah keselamatan yang diberitahu sebelum itu.

Mungkin kerana tiupan angin tidak berapa kuat, belon udara panas kami mendarat dengan hentakan yang tidak begitu kuat di sebuah padang ragut kira-kira satu setengah kilometer dari tempat asal kami berlepas tadi.

Sebaik sahaja belon udara panas kami berada di atas tanah dalam keadaan kuncup, barulah kami dibenarkan keluar dari bakul. Pastinya ini juga satu seksaan. Kami terpaksa memanjat tiga lubang tadi untuk keluar dan terjun ke tanah dari ketinggian bakul itu.

Di sini anda boleh bayangkan bagaimana bau daripada 'jerangkap samar' (tahi lembu) 'menyambut' kami sepanjang perjalanan kembali ke van yang mengekori dari belakang.

James berkata, jarang terjadi belon udara panas akan mendarat di tempat yang sama. Pastinya ia akan mendarat di kawasan lain.

Cuma sepanjang 'penerbangan' belon udara panas perlu dikemudi dengan baik agar ia tidak 'dibawa' tiupan angin ke arah bertentangan dan memastikan ketika mendarat semua faktor keselamatan dipenuhi termasuk tidak memasuki ladang-ladang tanaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: