Friday, June 22, 2012

Mat Despatch Jadi Duta Keselamatan Jalan Raya

Azhan Rizan Mastor, 34, dan Azman Che Mat, 35, antara duta keselamatan jalan raya yang dilantik syarikatnya, iaitu syarikat insuran terkemuka Allianz.Menitik beratkan aspek keselamatan dan peraturan, mereka wajar dijadikan contoh kepada penunggang motosikal terutama di kalangan penghantar surat lain agar mematuhi peraturan di jalan raya.

KUALA LUMPUR: Penghantar surat atau lebih dikenali sebagai 'Mat Despatch" tidak dapat lari dikaitkan dengan aktiviti merempit.

Sebut sahaja jalan di sekitar ibu kota, pasti habis diterokanya. Malah lorong-lorong serta laluan pintas juga menjadi mainan mereka setiap hari.

Itu belum lagi aksi bahaya mereka ketika menunggang motosikal yang kebanyakannya jenis motosikal kapcai. Lampu isyarat merah dilanggar tanpa rasa bersalah, hingga mengundang persepsi negatif terhadap golongan ini.

Namun tidak semua dalam kalangan mereka tidak mematuhi peraturan jalan raya. Masih ada penghantar surat merupakan pengguna motosikal yang berdisiplin dan menghormati pengguna jalan raya lain.

Dua rakan sekerja, Azhan Rizan Mastor, 34, dan Azman Che Mat,35 yang bertugas sebagai penghantar surat membawa mesej positif pada kerjaya yang sering dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat di jalan raya itu.

Mereka antara 31 penghantar surat yang dilantik majikan, sebuah syarikat insurans terkemuka Allianz, sebagai duta keselamatan jalan raya.

Mengamalkan disiplin yang tinggi selain menitikberatkan aspek keselamatan, ia secara tidak langsung memberi contoh yang baik kepada penunggang motosikal lain agar bersama mematuhi peraturan di jalan raya.

Azhan yang telah 10 tahun berkhidmat dengan Allianz menganggap peranan duta keselamatan yang diberikan, mendidiknya menjadi penunggang dan pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin, bukan sahaja ketika menjalankan tugas tetapi pada bila-bila masa ketika berada di jalan raya.

"Kami bertugas membawa nama syarikat, jadi sudah pasti kami perlu menjaga nama baik syarikat dengan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Ia juga untuk keselamatan kami, dan Alhamdulillah sepanjang bertugas saya tidak pernah terlibat dalam sebarang kemalangan," katanya.

Tugasnya bermula pukul 8.30 pagi dan sebelum itu dia melakukan pemeriksaan rutin pada motosikal. Lampu hadapan dan belakang, lampu signal dan tayar, semuanya diperiksa rapi bagi memastikan selamat digunakan.

Sebelum memulakan perjalanan, jaket keselamatan wajib dipakai sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Bagi kebiasaan penghantar surat, motosikal jenis kapcai digunakan untuk memudahkan pergerakan, namun tidak bagi mereka di Allianz, kerana kesemua mereka menggunakan motosikal jenis skuter.

Kenapa skuter?

"Kajian mendapati motosikal jenis skuter lebih selamat digunakan berbanding motosikal biasa kerana ia tidak boleh bergerak terlalu laju.

"Ini juga membuatkan kami merasa lebih yakin dan selamat ketika menjalankan tugas. Nak cepat tapi tak selamat, tak guna juga," katanya yang sentiasa fokus ketika menunggang di jalan raya selain peka pada keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Mendapat latihan dan bimbingan daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), ia memberi banyak pendedahan serta pengetahuan terutama aspek keselamatan di jalan raya yang selama ini sering diambil mudah, menurut Azman.

Beliau yang telah tiga tahun menjadi duta keselamatan Allianz berkata, panduan berguna yang diberikan JKJR banyak membantunya menjadi pengguna jalan raya berdisiplin.

"Saya juga turut menjadi rakan JKJR, menjadi mata yang melihat sekiranya berlaku keadaan yang membahayakan pengguna jalan raya lain, seperti ada pokok tumbang atau jalan berlubang, dengan memaklumkannya kepada pihak yang berwajib.

"Selain itu, secara tidak langsung menjadikan saya lebih prihatin. Jika terlihat ada kalangan rakan yang saya kenal tidak ikut peraturan, tidak ikat topi keledar dengan betul, saya akan tegur dengan baik. Semua itu menjadi tanggungjawab kami untuk saling ingat mengingati," katanya.

Selama 13 tahun bekerja sebagai penghantar surat, Azman berkata, banyak insiden yang tidak diingini berlaku di hadapan matanya. Antara yang sukar dilupakan apabila seorang penghantar surat maut, setelah dilanggar sebuah kenderaan apabila mangsa tidak berhenti ketika lampu isyarat menyala merah, di persimpangan Jalan Sultan Ismail.

"Melanggar lampu merah memang kesalahan yang sering dilakukan penunggang motosikal terutama dalam kalangan penghantar surat, selain ikut lorong bertentangan, tidak memakai topi keledar dengan betul dan banyak lagi yang boleh mengundang bahaya.

"Semua ini berbalik pada sikap penunggang motosikal itu sendiri," katanya yang berharap lebih banyak lagi syarikat bekerjasama dengan JKJR untuk memberi latihan dan bimbingan keselamatan jalan raya kepada penghantar surat mereka.

Setiap tahun, penunggang motosikal merupakan penyumbang tertinggi statistikkemalangan maut di jalan raya. Ini kerana daripada perangkaan, bilangan penunggang motosikal adalah jumlah pengguna jalan raya tertinggi di negara ini.

Mengambil contoh, pada tahun lepas sahaja, lebih 4,126 penunggang serta pembonceng motosikal di negara ini terlibat dalam kemalangan maut. Namun statistik itu tidak cukup memberi kesan kepada penunggang mahupun pembonceng motosikal tentang risiko yang bakal dihadapi.

Sebagai sebuah syarikat insurans yang menjadi pilihan ramai pengguna motosikal, Allianz memberi fokus yang khusus kepada golongan penunggang motosikal melalui tanggungjawab sosial korporatnya di dalam Allianz4Good.

Ketua program Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, ia bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal agar mereka mementingkan keselamatan di jalan raya dan tidak menjadi seorang daripada mangsa dalam statistik kemalangan maut.

Tingkat Kesedaran.

NG yang juga setiausaha syarikat berkata melantik duta keselamatan jalan raya dalam kalangan penghantar surat bukan sahaja bertujuan mendidik mereka menjadi penunggang dan pengguna jalan raya yang berhemah, tetapi juga dapat memainkan peranan sekiranya berlaku insiden atau kemalangan di jalan raya.

"Kerana itu kami sangat mementingkan aspek keselamatan dalam kalangan kakitangan terutama penghantar surat yang sering berhadapan dengan risiko kemalangan.

"Kami bekalkan jaket keselamatan yang berkualiti tinggi, selain pakej pinjaman murah bagi motosikal skuter untuk membolehkan mereka bergerak dengan selamat ketika menjalankan tugas," katanya.

Untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan petugas dan orang ramai, satu memorandum kerjasama dengan JKJR ditandatangani tahun lepas untuk bersama-sama terlibat dalam program kempen keselamatan jalan raya.

"Selain kakitangan Allianz dilatih tentang aspek keselamatan jalan raya, mereka juga akan menjadi sukarelawan yang terlibat dalam setiap kempen yang dijalankan JKJR dan Allianz," katanya.

Sehingga kini lebih 280 petugas Allianz mendapat latihan daripada JKJR dan pihaknya mensasarkan 300 petugas untuk mendapat latihan itu serta menjadi Rakan JKJR.

Beliau berkata, antara kempen yang dijalankan bersama JKJR ialah kempen menukar topi keledar (baharu) dan hampir 1,000 topi keledar diagihkan kepada pengguna motosikal sejak tahun lepas.

"Kami juga merancang mengembangkan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar kerana kami yakin, sekiranya pendidikan keselamatan jalan raya diberikan di awal usia muda, pasti akan melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan tentang aspek keselamatan di jalan raya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: