Thursday, June 14, 2012

Lawak tidak logik jadi taruhan


PENGARAH, Olyn (dua dari kanan) bergambar dengan barisan pelakon filem sulung arahannya yang bersifat eksperimental, X: Janda-Jandaku Gangster serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo (tengah) sewaktu tayangan perdana filem tersebut baru-baru ini.


FILEM komedi komikal atau cerita lawak tidak logik, jika kena pada tempatnya, pasti dapat menambat hati masyarakat atau penonton. Filem terbaharu terbitan Metrowealth Group (MIG) yang berjudul X - Janda-jandaku Gangster, arahan Ahmad Rusli Mohd Khadri atau lebih mesra disapa Olyn tampil dengan penceritaan sedemikian rupa.

Sudah seminggu filem tersebut ditayangkan di pawagam dan mendapat sambutan yang agak memberangsangkan.

Menurut Olyn, minatnya terhadap komik telah memberi inspirasi untuk dia berani mencuba jalan cerita yang jarang atau mungkin belum pernah dilakukan mana-mana pengarah tempatan dalam filem pertamanya itu.

Mengisahkan seorang lelaki bernama Hafiz yang mempunyai lima orang janda, tidak dapat dinafikan, sememangnya 80 peratus filem ini menggunakan elemen komedi tidak logik.

“Jika mahu kata meniru memang tiada. Namun mungkin jalan cerita yang dipakai adalah rujukan daripada filem-filem luar negara. Cuma, saya perlu sesuaikan dengan adat dan budaya Malaysia kita. Ini kerana filem komikal kebiasaannya berterus-terang dan kita kena ikut budaya kita. Banyak elemen komikal tentang perkara yang tidak logik, saya terjemahkan kepada visual,” ujarnya yang mengambil rujukan daripada beberapa buah komik termasuk komik Scott Pilgrim semasa ditemui pada majlis pratonton bertempat di E@Curve, Mutiara Damansara, Selangor.

Katanya lagi, kehidupan seharian menyebabkan rakyat Malaysia kadangkala tertekan. Jadi, filem ini dibuat untuk berhibur dan menghilangkan tekanan penonton yang menonton.

“Filem ini saya memang buat untuk orang bersantai dan ketawa. Masuk ke panggung dan berhibur. Mungkin ini juga merupakan platform untuk orang kenal saya dengan penceritaan sebegitu dan menjadi identiti sebagai seorang pengarah,” jelasnya ringkas.

Intan dan Pierre Risau

Pada mulanya, kedua pelakon senior MIG, Pierre Andre dan Intan Ladyana risau akan penerimaan penonton terhadap penceritaan berbeza yang ditampilkan dalam filem X - Janda-jandaku Gangster ini.

PIERRE ANDRE dan Intan Ladyana bergabung dalam filem X: Janda-Jandaku Gangster.


Namun, setelah melihat keseluruhan filem, pendapat mereka berubah dan lawak tidak logik tersebut berjaya membuat para penonton ketawa dengan jalan cerita filem seumpama filem-filem arahan Stephen Chow itu.

“Saya memang sukakan komedi. Saya suka Stephen Chow kerana dia sangat selamba serta banyak juga membuat rujukan dengan menonton filem-filem lakonan dan arahannya. Kebanyakan filem-filemnya yang saya tonton memberikan saya inspirasi untuk membawa karakter begini.

“Saya rasa Olyn pengarah yang berani. Ini kerana dia berani membawa satu filem yang orang lain tidak berani untuk buat. Tapi, untuk filem yang tidak logik, mungkin ada setengah orang boleh terima dan begitu juga sebaliknya,” ujar Pierre yang kini lebih cenderung ke arah pengarahan.

Kerisauan juga melanda Intan apabila ditawarkan watak sebagai Arisa dalam filem ini. Fikirnya, mampukah filem begini menarik masyarakat Malaysia yang jarang disajikan dengan cerita komedi seumpama itu.

“Risau juga kerana perkara ini merupakan idea baharu yang diterapkan dalam industri perfileman kita. Selalunya kita tengok filem-filem luar, contohnya filem Stephen Chow yang banyak menggunakan elemen sebegini.

“Di negara kita belum ada yang menggunakannya lagi. Ini memang eksperimental pertama buat Olyn untuk menerapkan lawak yang sebegini. Jika orang boleh terima cerita luar, tidak salah jika kita melakukannya sendiri,” ulas Intan yang berharap filem tersebut terus mendapat sambutan sepanjang tempoh penayangannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: