BUMI Kenyalang amat kaya dengan khazanah alam dan kebudayaan yang unik untuk diterokai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Pada umumnya, Sarawak kini sering dikunjungi orang tempatan dan asing kerana lokasi pelancongannya menawarkan pelbagai pakej-pakej percutian yang menghiburkan sambil ditemani alam semulajadi.
Antara destinasi yang menjadi pilihan utama seperti Gunung Murud yang merupakan gunung tertinggi di sana, Gunung Benarat, Gunung Api dan beberapa gua yang menjadi sebab utama mengapa jumlah pengunjung semakin bertambah.
Sebagai gunung kedua tertinggi di Sarawak, Gunung Mulu mempunyai saiz 2,377 meter tetapi khazanah alam yang ada padanya sukar ditandingi sekaligus meletakkan gunung tersebut lebih tinggi daripada destinasi pelancongan lain.
Antaranya seperti khazanah Sarawak Chamber yang terletak berhampiran dengan gua tersebut. Ia cukup besar dan bahagian chambernya pasti memukau setiap yang melihatnya kerana keluasan kawasan tersebut dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747.
Terletak di Taman Negara Gunung Mulu (TNGM), lokasi ini sering diberi publisiti meluas secara berterusan untuk memastikan Tapak Warisan Dunia itu terus dikenali masyarakat khususnya dari luar negara.
Saban tahun, kunjungan pelancong ke destinasi tersebut semakin meningkat bahkan ia mewujudkan permintaan dalam kalangan pelancong untuk berkunjung ke sana.
TNGM turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas bagi memudahkan pengunjung dan jika dibandingkan beberapa tahun lalu kemudahan tersebut semakin bertambah baik.
Lokasi itu dipelihara dengan cekap bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan keunikan alam semula jadinya.
Sebagai contoh, jutaan kelawar keluar dari gua di Mulu merupakan satu fenomena yang unik dan hebat, justeru ekosistem itu perlu dipelihara agar ia tidak pupus begitu sahaja.
Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, hanya mereka yang berjaya berada di puncak tersebut sahaja yang tahu betapa mencabarnya puncak berkenaan.
Setiap orang yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Pinnacles pasti berasa seperti berada di puncak tertinggi sekali di Asia Tenggara.
Perasaan ini muncul kerana Pinnacles diiktiraf sebagai puncak paling mencabar di Asia Tenggara berbanding mana-mana gunung yang terdapat di negara ini mahupun disekitarnya.
Puncak berbatu kapur itu jika dilihat dari jarak dekat kelihatan seolah-olah cerucuk tajam yang terhasil secara semulajadi dan ia mengambil masa jutaan tahun bagi membentuk fizikal batu tersebut.
Lebih menarik di Gunung Mulu juga terdapat 1,500 spesis flora dan fauna seperti 170 spesis orkid liar, 67 spesies mamalia, 262 spesis burung dan 281 spesies rama-rama.
Jika pengunjung berpeluang menerokai puncak Gunung Mulu, anda pastinya terpesona dengan landskap pemandangan yang mengagumkan.
Selain itu, pengunjung juga boleh menerokai gua yang terdapat di sekitarnya seperti Gua Angin, Gua Air Jernih, Gua Hijau, Gua Rusa dan Gua Lang.
Sila pastikan anda membawa botol air bersama dengan beberapa kudapan sebelum mulakan pengembaraan ke mana-mana gua tersebut.
Sambil menerokai panorama bertemankan cahaya matahari dan suasana hijau hutan hujan tropika, pengunjung boleh menikmati suasana yang pastinya cukup mendamaikan.
Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi lokasi ini, anda boleh mulakan pengembaraan dari Long Pala (pintu masuk bahagian barat) ataupun dari TNGM (pintu masuk bahagian timur).
Bagaimanapun, kebanyakan pengunjung memilih untuk mengunjungi destinasi tersebut dari TNGM kerana mereka boleh ke sana dengan menaiki van selama lima minit untuk ke pintu masuk tersebut.
Sampai sahaja ke lokasi itu, pengunjung perlu mengembara merentasi Kem Summit dan Kem Paku sebelum bertemu Gua Hijau, Gua Rusa dan Gua Lang.
Antara halangan yang pastinya meninggalkan kenangan ialah ketika pelawat merentasi jambatan gantung yang disediakan.
Sepanjang perjalanan pengunjung akan dipisahkan dengan papan penghalang yang memisahkan antara trek pendakian dengan kawasan hutan.
Ketika bergerak pada trek tersebut, pengunjung perlu berhati-hati dengan ulat bulu bersaiz kecil.
Walaupun saiznya kecil tetapi jika terkena badan manusia ia boleh membuatkan anda kegatalan sepanjang hari.
Bentuk permukaan Gua Lang kelihatan amat biasa dan sempit tetapi formasi stalaktit batu kapurnya amat hebat.
Laluan pejalan kaki turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menerokai keindahan gua yang sangat lembap.
Gua Rusa pula mendapat nama tersebut kerana rusa-rusa liar datang ke gua itu untuk menjilat air garam bukit yang terdapat pada kolam-kolam batu kapur.
Ia juga boleh dipanggil sebagai Gua Kelawar kerana jutaan kelawar menjadikan gua tersebut sebagai habitat mereka.
Ketinggian gua ini meningkat dari 120 hingga ke 150 meter ketika pelawat ditelan jauh ke dalam perut gua tersebut.
Menariknya Gua Rusa tidak mempunyai stalaktit dan ia lebih gelap daripada Gua Lang.
Bagaimanapun, setiap pengunjung yang berpeluang mengunjungi lokasi ini pastinya disambut baik oleh bayu angin yang menyegarkan di samping bunyi air terjun selepas anda mendekati pintu masuk di bahagian utara.
Ketika mendekati pintu itu, pelawat berpeluang melihat sebatang sungai jauh di bawah cenuram dan taman yang lebih dikenali dengan nama Garden of Eden buat rakyat asing.
Jika anda bernasib baik dan sempat pulang kembali ke pintu masuk sebelah selatan anda berpeluang melawat kawasan yang diberi nama sebagai Amphitheatre yang terletak di bawah bahagian permukaan gua.
Di lokasi ini, pengunjung berpeluang melihat jutaan kelawar terbang meninggalkan gua selepas sahaja pukul 4 petang.
Jika anda pernah melihat burung-burung bermigrasi terbang berhijrah ke negara lain, keadaan kelawar ini juga seperti burung tersebut bezanya haiwan ini akan pulang kembali ke gua tersebut sebelum subuh.
Buat mereka yang ingin merakamkan kenangan itu perlulah membawa lensa sejauh 300mm ke atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Bagi mereka yang tidak mahu tinggal dalam keadaan gelap bolehlah pulang kembali ke tapak taman negara kerana untuk keluar dari hutan itu memerlukan masa yang agak panjang.
Bagi perjalanan kedua-dua lokasi ini memerlukan pelawat berjalan sejauh beberapa kilometer.
Keesokan harinya pula, pengunjung boleh menempah bot pelancong bagi melawat kawasan perkampungan orang asli yang terletak di sekitar kawasan Gua Air Jernih dan Gua Angin.
Bagi yang telah berkunjung ke Gua Rusa pastinya terkejut setelah melihat kehebatan Gua Air Jernih yang jauh lebih besar dan sebahagian besar daripada kawasan tersebut masih belum dijelajahi.
Gua ini sebenarnya merupakan gua terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan kira-kira 107 kilometer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: