
DUA fenomena alam yang berlaku dalam tempoh kurang 48 jam sepanjang minggu lalu berjaya menggamit kehadiran ribuan pengunjung ke Planetarium Negara semata-mata untuk menyaksikan sendiri kejadian tersebut.
Ia bermula dengan fenomena gerhana bulan separa yang berlaku pada hari Isnin lepas dan diikuti pergerakan transit planet Zuhrah di hadapan permukaan matahari pada hari Rabu.
Rentetan daripada itu, Planetarium Negara di bawah Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa) mengambil inisiatif menganjurkan program pencerapan bagi kedua-dua fenomena tersebut bagi menanam minat orang ramai dalam bidang sains angkasa.
Selain itu, ia bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat dengan mata sendiri perjalanan proses itu menggunakan beberapa buah teleskop yang disediakan.
Pegawai Penyelidik Angkasa, Lau Chen Chen berkata, bagi program pencerapan gerhana bulan separa yang dianjurkan pada 4 Jun lalu, seramai 500 pengunjung telah hadir manakala melalui program Transit Zuhrah, ia dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.
“Gerhana bulan separa bermula dengan fasa penumbra pada pukul 4.48 petang. Namun, semasa fasa ini, kesan kenampakan gerhana tidak dapat dilihat kerana bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan pada masa yang sama bulan masih belum terbit dari ufuk.

“Pada pukul 6 petang, bulan mula memasuki bayang umbra Bumi dan gerhana maksimum telah berlaku pada pukul 7.04 malam.
Fenomena gerhana ini dapat disaksikan di Malaysia apabila bulan mulai terbit pada pukul 7.18 petang sehingga 9.18 malam,” jelas Chen Chen sambil memberitahu orang ramai juga berpeluang mencerap planet Marikh dan Zuhal menerusi teleskop pada program yang sama.
Selain program di Planetarium Negara, pihak Angkasa juga telah membangunkan sebuah laman di Facebook iaitu Malaysia Lunar Eclipse untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir menyaksikan fenomena tersebut secara dalam talian. Gerhana bulan separa akan berlaku semula pada 26 April 2013.
Terakhir abad ini
Sementara itu, fenomena transit Zuhrah yang berlaku pada 6 Jun pula dapat dilihat di seluruh negara bermula daripada terbit matahari hingga pukul 12.50 tengah hari. Ia merupakan fenomena terakhir bagi abad ini selepas berlaku lapan tahun lalu pada 8 Jun 2004.
“Transit Zuhrah kali ini bermula pada pukul 6.09 pagi. Ia berada dalam fasa maksimum pada pukul 9.29 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengahari. Walau bagaimanapun, penduduk di Sabah lebih bernasib baik kerana dapat menyaksikan keseluruhan fasa Transit Zuhrah. Ini kerana matahari telah terbit di sana sebelum transit bermula lagi,” tambah Chen Chen.
Menurutnya, orang ramai dilarang sama sekali melihat matahari secara terus tanpa penuras yang selamat. Ini kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada mata dan boleh juga menyebabkan buta.
“Terdapat empat kaedah yang selamat untuk melihat transit ini iaitu dengan melihat menggunakan kaca mata gerhana, menggunakan teleskop atau binokular yang direka khas untuk matahari; menggunakan teleskop, kamera dan binokular yang dilengkapi dengan penuras suria yang selamat serta menggunakan kaedah pantulan terus melalui teleskop, binokular atau cermin.
“Imej yang diperoleh dari teleskop, binokular atau cermin dipancarkan ke dinding ataupun kertas kadbod. Kita hanya boleh melihat pada imej yang terpancar,” terangnya.
Selain daripada menyaksikan transit, orang ramai juga turut diberikan penerangan mengenai fenomena ini dan berpeluang untuk menonton tayangan pengembaraan terkenal Kapten James Cook yang mencerap Transit Zuhrah pada tahun 1700 di Tahiti iaitu When Venus Transit The Sun setelah program itu selesai.
Didik masyarakat

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Nordin Ahmad, secara keseluruhan sebanyak lima buah teleskop telah disediakan Planetarium Negara untuk kedua-dua program Pencerapan Gerhana Bulan Separa dan Transit Zuhrah.
“Namun, ada juga pengunjung yang hadir bersama teleskop sendiri untuk melihat fenomena tersebut di sini. Apa yang pasti, setiap program yang dianjurkan pihak Angkasa sentiasa mendapat respons yang sangat menggalakkan.
“Saya percaya melalui penganjuran acara sebegini, ia mampu mendidik masyarakat terutamanya golongan pelajar untuk mendalami dan meminati bidang sains angkasa,” jelas Nordin ketika ditemui.
Pihak Angkasa juga telah menyediakan siaran langsung Transit Zuhrah di laman web www.angkasa.gov.my/webcasting_planet.html. Di samping itu, mereka juga telah bekerjasama dengan Unit Falak Pahang, Falak Online dan orang perseorangan dengan mengambil imej fasa-fasa Transit Zuhrah dari tempat masing-masing dan memuat naik secara langsung ke laman Facebook, Malaysia Lunar Eclipse.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: