Monday, June 4, 2012

Kain penyambut tengkorak



DENGAN gerakan yang cepat namun cermat, jari-jemari wanita separuh abad itu tidak berhenti mengikat benang loseng berwarna putih dengan tali plastik kalis air.

Ikatan yang merangkumkan uraian puluhan benang halus itu perlu kemas, rapat dan kejap supaya bahagian yang diikat tidak dimasuki air.

Berpandukan sekeping gambar hitam putih di hadapannya, proses mengikat benang ini diulang di bahagian lain sehinggalah tali-tali plastik itu membentuk corak seperti rebung meruncing.

"Benang perlu diikat mengikut susunan yang ditentukan. Apabila selesai kerja mengikat, benang-benang ini akan dicelup dengan pewarna asli yang diekstrak daripada tumbuhan tertentu.

"Bahagian yang diikat pula tidak akan terkena pewarna. Apabila ikatan tali plastik itu dibuka, ia akan menghasilkan corak pada benang-benang tersebut," ujar seorang penenun mahir pua kumbu, Shirley Vilin Ikok.

Pua kumbu merupakan kain tenunan tradisi masyarakat Iban di Sarawak. Ia dianggap sebagai karya eksklusif dan hanya digunakan pada masa tertentu.

Perkataan pua membawa maksud selimut sementara kumbu pula kain untuk bertudung atau berlindung daripada sejuk atau panas.

Pada zaman dahulu, wanita Iban menenun pua kumbu atas beberapa tujuan antaranya untuk menyambut 'antu pala' yang merujuk kepada kepala, tengkorak atau hantu kepala milik musuh yang berjaya dipenggal oleh suami atau kekasih mereka selepas keluar berperang atau memburu orang.

Selain itu, ia turut digunakan dalam upacara memandikan bayi, perkahwinan, ritual berkaitan ngayau dan kematian.

Orang Iban juga percaya penggunaan kain pua semasa upacara pengubatan dapat menjadi perisai yang mendinding diri bomoh daripada terkena musibah penyakit dan gangguan.

Menurut satu kajian daripada sekumpulan penyelidik di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, yang diketuai Anna Durin, pua kumbu mempunyai sisi mistik tersendiri kerana dipercayai dapat menyembuhkan orang sakit selain menjadi perisai daripada kuasa jahat.

Ikat celup

Kain ini dihasilkan daripada tenunan benang loseng dan benang pakan yang diragamhiaskan menggunakan kaedah hias ragam tekstil tertua di dunia iaitu teknik ikat dan celup.

"Benang loseng merupakan benang panjang yang dipintal dan kemudian dimasukkan ke dalam alat tenunan yang dipanggil K. Benang pakan pula ialah benang yang disusuli ke dalam benang loseng dari kiri atau kanan penenun.

"Bunyinya seperti mudah tetapi proses menyediakan benang sebelum boleh ditenun cukup rumit.

"Penenun perlu mengira setiap helai benang sebelum diikat supaya corak yang dihasilkan sekata," ujar Shirley yang juga Koordinator Tenunan Pua Kumbu di Yayasan Tun Jugah yang terletak di Kuching, Sarawak.


HANYA penenun mahir mampu menyiapkan proses yang rumit ini.


Mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang tenunan pua kumbu, Shirley memberitahu, kain pua boleh dihasilkan dengan saiz yang besar.

"Ukurannya bergantung kepada saiz alat tenun yang digunakan secara tegang belakang. Biasanya pua kumbu yang ditenun secara tradisi akan dipotong dan dicantum di bahagian tengah untuk menjadikannya lebar dan panjang.

"Jika anda terjumpa dengan tenunan kain serupa pua kumbu tetapi saiznya kecil, itu kain Iban ikat, bukan pua kumbu," jelasnya.

Tambah Shirley, proses ikat dan celup kadangkala mengambil masa berbulan-bulan lamanya, bergantung kepada corak yang dipilih.

Kerja menenun bagi saiz biasa yang dianggarkan 186x45 sentimeter, mengambil masa sehingga 30 hari bekerja.

"Motif atau corak tenunan biasanya diambil daripada rekaan pua kumbu lama. Begitupun, ada juga penenun mahir yang boleh mereka sendiri corak sebelum menenun," katanya.

Bagi seorang pakar tenun, Siah Anak Tun Jugah, 80, corak-corak yang rumit biasanya datang daripada ilham mimpi selain inspirasi alam sekitar, gambaran dewa dan nilai keberanian orang Iban.

Motif

"Kalau dahulu, penenun sukakan corak binatang, orang dan gambaran dewa, namun hari ini sudah banyak corak baharu yang berkonsepkan bunga-bungaan dan geometri.

"Serumit mana pun rekaan corak, penenun biasanya memilih beberapa warna sahaja.

"Ada yang hanya gunakan dua warna namun darjah kecerahannya berbeza.

"Biasanya penenun akan gunakan warna merah tua, merah terang, coklat hitam, putih dan biru kelabu," ujar anak kedua kepada pemimpin Iban yang cukup disegani iaitu Tun Jugah.

Antara motif berbentuk fauna yang sering digunakan termasuklah pacat, lintah, buaya, cicak, lipan, kala jengking, burung dan ular.

"Sesuatu motif biasanya memiliki terjemahan tersendiri yang hanya difahami oleh orang Iban.

"Burung misalnya, ia melambangkan usaha yang memberi manfaat.


PUA kumbu moden yang dihasilkan menggunakan mesin semakin mudah diperoleh di sekitar Sarawak.


"Motif harimau dan tikus pula lazimnya dipilih kerana sifat kekuatan, ketegasan dan berani yang ada pada haiwan tersebut," jelasnya yang sedang menyiapkan satu lagi warisan tekstil terkenal di Sarawak iaitu kain tenunan songket.

Memetik hasil penyelidikan Anna Gurin dan kumpulannya yang bertajuk Pengaruh Ngayau Atau Headhunting Dalam Penciptaan Motif-Motif Tekstil Pua Kumbu Masyarakat Iban di Sarawak, motif-motif yang dipamerkan dalam buku pengkaji lampau seperti yang ditulis Datin Margaret Linggi yang berjudul Ties That Bind, motif-motif berkaitan ngayau memang digunakan.

"Sekiranya kita lihat dari segi bentuk rupa motif-motif tersebut maka kita agak susah mengecam secara jelas mengenai nama-nama motif kerana ia ditenun dalam bentuk abstrak.

"Penjenamaan motif pula bergantung kepada inspirasi yang diterima oleh penenun.

"Disebabkan itu, hanya penenun dan orang yang mengenali budaya menenun boleh memahami maksud yang tersimpan dalam motif berkenaan.

"Begitupun, pengaruh ngayau masih boleh dikenal pasti dalam tenunan pua kumbu.

"Antaranya, motif Lelanjang Bungai Nuing, Gumbang Besimpan, Ringka Antu Pala, Lang Tuai, Sepit Api dan motif Gajah Meram," kata Anna Durin.

Motif Lelanjang Bungai Nuing dicipta dan diberi nama sempena pengaruh dewa perang yang dipercayai tinggal di alam ghaib dan tempat tinggal itu dinamakan Panggau Libau Gegiau Takang Isang oleh masyarakat Iban.


BENANG terlebih dahulu diikat kemas dan kuat mengikut susunan corak bagi mengelak kemasukan air sebelum dicelup dengan pewarna asli.


Lelajang membawa maksud alat perhiasan kepala dewa Bungai Nuing, seorang dewa perang yang gagah, berani dan suka bercakap besar.

Selain itu, dia juga suka mendahului dewa-dewa yang lain apabila pergi berperang atau ngayau. Dipercayai juga Bungai Nuing telah mendapat banyak kepala musuh.

"Selain daripada gagah dan berani menewaskan musuh, dia juga boleh menjelma untuk membantu orang Iban yang memerlukannya jika dipuja," kata Anna lagi.

Untuk menghasilkan motif sebegini, ritual miring perlu dilakukan terlebih dahulu sebagai simbolik meminta restu daripada dewa yang motifnya dipilih untuk ditenun.

"Piring berisi kuih diletakkan diletakkan di bawah K sepanjang proses menenun mahupun menyongket.

"Miring dilakukan supaya apa yang dilakukan berjalan lancar, benang tidak putus, corak tidak lari dan orang yang menenun tidak ditimpa bala seperti tersepit tangan, tercucuk benda tajam dan sakit belakang," ujar Rebecca Ibok Jalak, 64.

Hari ini, tenunan tradisi pua kumbu semakin jarang dipraktikkan. Selain dijadikan perhiasan rumah, corak kain pua turut dijadikan pakaian tradisional seperti skirt, jaket serta kain cawat bagi kaum lelaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: