PARA peserta Cabaran Sihat Enam Minggu bergambar bersama pihak penganjur iaitu Majalah iSihat dan penaja. (Berdiri kanan) Penolong Pengarang iSihat, Hamidah Zabidi. |
MEMILIKI berat badan ideal sudah tentu menjadi idaman setiap individu tidak kira lelaki atau wanita. Selain memudahkan mereka untuk bergaya dengan fesyen terkini, ia juga menunjukkan aspek kesihatan diri yang berada pada tahap terbaik.
Namun, bukan semua orang mampu mencapai impian tersebut. Ditambah pula dengan faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak seimbang, ia secara tidak langsung mendedahkan lagi kadar risiko individu untuk menghidap obesiti di negara ini.
Menyedari hakikat itu, Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) mengambil inisiatif menganjurkan program kesihatan yang dinamakan Cabaran Sihat Enam Minggu bersama majalah iSihat dan Kevin Zahri buat musim kedua.
Penolong Pengarang iSihat, Hamidah Zabidi memberitahu, selepas mencatat kejayaan pada penganjuran sulung tahun lalu, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan program tersebut.
“Kesungguhan yang dipamerkan setiap peserta memberi semangat kepada kami untuk terus membantu mereka dalam mendapatkan berat badan ideal agar tampil lebih yakin di khalayak ramai.
“Tahun ini, kami telah menerima lebih 400 penyertaan, tetapi hanya 30 yang terpilih meneruskan cabaran tersebut. Kesemua peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk suri rumah, pelajar dan golongan profesional,” ujar Hamidah sewaktu pelancaran program itu di Kompleks Sri Utusan, Bangi baru-baru ini.
Cabaran fizikal

Berlangsung selama enam minggu dan diadakan pada setiap hari Sabtu bermula 2 Jun lalu, program tersebut akan membawa peserta mengikuti pelbagai aktiviti dan cabaran fizikal dalam usaha menurunkan berat badan masing-masing.
Antara acara mingguan yang akan dijalani adalah bengkel dan kaunseling, senamrobik di gimnasium, merentas hutan, berbasikal, larian merentas desa sejauh 10 kilometer dan pertandingan paintball. Majlis penutup dan pengumuman pemenang akan diadakan pada 14 Julai 2012.
Sementara itu, Kevin mengakui teruja untuk melihat kesungguhan peserta yang berjaya dipilih pada tahun ini. Justeru, beliau berharap mereka dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh.
“Jadikan program ini sebagai permulaan untuk anda semua mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat. Untuk mencapai impian memiliki bentuk badan yang menawan, ia memerlukan ilmu dan kaedah terbaik, bukan secara semberono.
“Apabila berada dalam kumpulan, saya percaya peserta akan lebih bersemangat dan menggunakan pencapaian dari minggu ke minggu sebagai inspirasi. Paling penting, jangan malu untuk bertanya,” tutur Kevin memberi suntikan semangat kepada peserta yang terlibat.

Prestasi para peserta dalam cabaran ini akan dipantau sendiri oleh Kevin manakala pihak Kementerian Kesihatan bakal memberikan bimbingan dan nasihat secara individu.
Program yang ditaja Kementerian Kesihatan itu turut mendapat kerjasama Celebrity Fitness, Perbadanan Putrajaya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pusat Perubatan Prince Court, Propark Paintball, Fonterra, Nestle, Shaklee dan Avon.
Majlis pelancaran program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarang Majalah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Badrul Azhar Rahman dan Ketua Pegawai Operasi UKSB, Zurzaliza Bajuri serta para penaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: