
KOTA BHARU – Sekali pandang sebuah premis di Jalan Parit Dalam di sini menjalankan perniagaan barangan runcit dan makanan serta menjadi tempat warga Myanmar berkomuniti.
Bagaimanapun di sebalik perniagaan yang dijalankan di premis tersebut, rupa-rupanya terselindung kegiatan pemalsuan pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk warga Myanmar yang masuk ke negara ini secara haram.
Kegiatan tersebut berjaya dibongkar oleh Jabatan Imigresen Kelantan selepas menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa memberitahu, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu premis berkenaan dan berjaya menemui beberapa peralatan dipercayai untuk memalsukan dokumen tersebut.
“Hasil serbuan kita berjaya menahan sembilan lelaki, tiga perempuan dan tiga kanak-kanak berusia sembilan hingga 30 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen dan masuk ke negara ini secara tidak sah.
“Selain itu, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa peralatan seperti komputer, komputer riba, mesin pengimbas dan mesin pencetak yang digunakan untuk tujuan memalsukan PLKS,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: