BIJAK...merangkak antara proses berjalan.
MEMANG comel apabila melihat bayi bergerak ke sana sini dengan laju sambil berteriak gembira ketika duduk di dalam kerusi beroda (walker) bayi biarpun masih belum mampu berjalan sendiri.
Walaupun ia mungkin dilihat membantu bayi belajar berjalan, sebenarnya penggunaan kerusi ini tidak memberikan sebarang kebaikan kepada bayi, sebaliknya mampu memudaratkan dirinya.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, setiap peralatan bayi perlu diperhalusi kepentingan dan manfaat penggunaannya kepada perkembangan tumbesaran bayi.
Ada ibu bapa berasa meletakkan anaknya di dalam kerusi beroda itu bukan saja mampu ‘mempercepatkan’ anaknya belajar berjalan, malah ia mampu menghiburkan anaknya.
Hakikatnya, ibu bapa seharusnya tahu bahawa penggunaan kerusi beroda itu sebenarnya melambatkan perkembangan motor tubuh anaknya, lebih parah ia juga melambatkan perkembangan mental bayi.
Kerusi beroda bayi memberi kebebasan bergerak kepada bayi melebihi had keupayaannya sendiri dan lebih pantas daripada tindakan yang boleh diambil ibu bapa untuk membantu sekiranya berlaku kemalangan.
Pada 1994, ketika kerusi bayi sangat popular di Amerika Syarikat (AS), Suruhanjaya Keselamatan Produk Pelanggan mengumumkan kerusi berkenaan bertanggungjawab menyebabkan kecederaan kepada bayi berbanding produk bayi yang lain.
Jenis kecederaan yang direkodkan antaranya membabitkan cedera kepala, patah tulang, patah gigi, melecur dan jari tersepit, hingga kes lebih ekstrem membabitkan pemotongan bahagian tubuh atau kematian.
Kebanyakan kecederaan yang berlaku disebabkan bayi terjatuh dari tangga selain cedera akibat bayi mencapai objek panas, berat dan beracun.
Disebabkan bahaya yang mengancam nyawa bayi, Kanada mengambil keputusan mengharamkan peralatan terbabit di negara itu pada 2004 dan sesiapa yang didapati memiliki peralatan bayi itu akan berhadapan dengan denda sehingga RM307,035 (CAD $100,000) atau enam bulan penjara.
Namun di sesetengah negara lain, kerusi bayi masih digunakan secara meluas dan kecederaan pada bayi akibat penggunaannya terus berlaku.
Pada usia antara enam bulan hingga setahun, bayi yang sihat mempunyai keinginan kuat untuk bergerak di atas kawasan rata.
Pada mulanya ia memang sukar bagi mereka kerana perlu berusaha untuk menggerakkan anggota badan, kaki, tangan dan menyempurnakan pergerakan seperti meregang, berguling dan merangkak.
Bayi berasa puas apabila mereka berjaya mencapai matlamat mereka seperti ingin memegang mainan yang berada di satu sudut ruang, selepas belajar menyusun pergerakan untuk sampai ke mainan itu. Kemudian bayi akan meneruskan perkembangan pergerakannya dengan berusaha untuk berdiri pula.
Namun penggunaan kerusi beroda bayi itu merampas semua keajaiban pembelajaran penggunaan motor tubuh bayi kerana ia melangkau semua proses yang sepatutnya dipelajari dan difahami secara perlahan-lahan oleh bayi.
Kerusi beroda itu menyebabkan mereka terus berdiri tidak kena pada masanya, tanpa belajar pergerakan lain terlebih dulu, menyebabkan bayi lambat berkembang dari segi mental.
Kekurangan terbesar kepada bayi yang menggunakan peralatan terbabit adalah mereka menunjukkan perkembangan yang lambat dari segi mental biarpun selepas mereka pandai berjalan sendiri.
Kejutan terbesar kepada ibu bapa adalah anak mereka yang menggunakan kerusi beroda itu menunjukkan perkembangan 10 bulan lebih lambat selepas sudah tahu berjalan.
Pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil berkata, ramai ibu bapa masih salah faham dan menganggap penggunaan kerusi beroda itu akan dapat mempercepatkan pergerakan dan mengajar anak mereka berjalan dengan lebih pantas sedangkan hakikatnya ia tidak sedemikian.
Katanya, penggunaan kerusi beroda bayi itu melambatkan lagi perkembangan bayi mereka dari segi fizikal serta mental.
“Lagipun penggunaannya sangat bahaya dan bayi boleh terdedah kepada risiko kemalangan yang boleh mencederakan kepala serta mengakibatkan pendarahan dalaman, seterusnya melambatkan lagi perkembangannya.
“Bayi yang menggunakan kerusi beroda ini tidak belajar berjalan sebenarnya kerana kaki mereka tidak betul-betul bertapak di lantai, sebaliknya hanya hujung jari yang digunakan untuk bergerak,” katanya.
Katanya, bayi juga mudah terdedah kepada perkara yang membahayakan diri mereka sekiranya mereka bergerak dengan laju tanpa kawalan kerana mereka berdepan risiko tinggi terjatuh.
Bayi yang terjatuh dan terkena di bahagian kepala boleh mengalami pendarahan otak dan ada kes yang menyebabkan bayi mati akibat pendarahan otak selepas terjatuh daripada kerusi beroda itu.
“Ada ibu bapa yang mengikat kerusi itu dengan tali kerana tidak mahu bayi bergerak laju tetapi ia juga boleh menyebabkan mereka cedera kerana kerusi itu boleh terbalik ke depan dan bayi tersembam ke lantai.
“Ibu bapa seharusnya sedar mereka tidak perlu penggunaan kerusi beroda itu untuk mempercepatkan perkembangan bayi kerana ia langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada bayi, sebaliknya bahaya dan boleh mencederakan bayi,” katanya.
Dr Yong Junina berkata, cara terbaik untuk membantu bayi berkembang dengan lebih cepat adalah dengan meletakkan bayi di atas permaidani atau tilam nipis supaya mereka boleh berkembang mengikut kadar sendiri.
Bayi perlu belajar meniarap, merangkak dan berjalan sendiri bagi membantu perkembangan fizikal dan mental yang sihat serta menjadikan mereka lebih bijak.
“Jika gunakan kerusi beroda itu, bayi tidak belajar proses meniarap dan merangkap dan ini seterusnya mengganggu perkembangan dan kebolehan bayi menggunakan mental dan fizikal untuk bergerak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: