Friday, June 22, 2012

Aktiviti berkuda untuk anak istimewa

Kumpulan kanak-kanak ini mengambil peluang mengusap kuda tanpa rasa takut.

Kejohanan Kuda Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor 2012 yang berlangsung di Pusat Ekuin UTM, Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini bukan sahaja menarik minat para penunggang kuda profesional dalam dan luar negera, tetapi turut membabitkan 37 kanak-kanak istimewa.

Itu cukup membanggakan apabila kemeriahan sukan berprestij yang berlangsung selama empat hari itu menjadi sesi mengenali kuda secara dekat oleh 37 kanak-kanak istimewa itu dari Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA (SKKU.)

Menerusi acara tersebut, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam, selaku Pengarah Pusat Ekuin UTM, telah memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut bersama Guru Besar SKKU, Thalasawati Mohd. Ajib serta guru-guru Pendidikan Khas mengenali haiwan itu ketika persiapan untuk menyertai pertandingan.

Pada program itu murid-murid terbabit berpeluang menyertai pertandingan melukis dan mewarna gambar kuda, menyaksikan pertunjukan kuda dan acara kemuncaknya melihat dan bermesra dengan kuda.

Thalasawati berkata, seluruh warga sekolah berbesar hati dengan kesudian Pusat Ekuin UTM yang memberi peluang kepada murid-murid tersebut yang sebahagian besar mengalami masalah autisme, hiperaktif dan sindrom down menyaksikan pertunjukkan tersebut.

"Usaha yang kami lakukan bersama Guru Penolong Kanan (GPK) Pendidikan Khas, Fuziah Mohd. Diah, bertujuan memperkenalkan kuda di kalangan murid-murid tersebut.

"Ia juga sebagai langkah awal kerana selepas ini kita akan buat terapi berkuda yang akan dijalankan di Pusat Ekuin UTM.

"Maknanya, apa yang kita lakukan hari ini merupakan satu permulaan yang cukup bagus, kerana mendapat kerjasama yang mantap daripada murid-murid, guru dan ibu bapa.

"Lebih penting Pusat Ekuin UTM telah memberikan komitmen yang jitu dengan memberikan maklumat terkini tentang terapi kuda, " katanya.

Tambah Thalasawati, idea memperkenalkan terapi itu tercetus setelah membaca sebuah hadis dalam artikel terbitan Utusan Malaysia yang mengatakan bahawa sukan terbaik yang diamalkan oleh Rasulluah SAW adalah menunggang kuda, memanah dan berenang.

Katanya, langkah proaktif guru-guru sebenarnya telah bermula beberapa tahun lalu yang mana telah mengadakan terapi air dengan menghantar murid-murid tersebut ke Kompleks Renang Mutiara dan aktiviti itu dilakukan secara berterusan.

"Nampaknya kesan daripada terapi air sedikit sebanyak telah meningkatkan keyakinan diri dan murid-murid tersebut kelihatan lebih bersikap positif dalam semua hal berbanding sebelumnya.

"Di samping itu pihak sekolah turut mengadakan terapi minda (brain gym) pada setiap pagi sebelum proses pembelajaran dan pengajaran bermula, " katanya.

Sementara itu Abdul Rahman memberitahu, berkuda merupakan satu kaedah yang cukup baik bukan sahaja di kalangan orang kelainan upaya (OKU) atau kanak-kanak pendidikan khas, malah orang biasa pun disyorkan bermain kuda.

Menurutnya, dengan adanya Pusat Ekuin itu, ia sedikit sebanyak telah menarik perhatian masyarakat di mana turut mendapat permintaan untuk mempelajari sukan berkuda.

"Secara jujur bagi mengendalikan sukan itu ia bukan semudah yang disangkakan sebaliknya ia memerlukan persediaan fizikal dan mental individu terbabit, selain dilatih tenaga profesional.

"Saya difahamkan di Lembah Klang pihak Majlis Ekuin Malaysia mendapat permintaan tinggi daripada pihak sekolah yang mempunyai murid pendidikan khas kerana menyedari kebaikan terapi berkuda.

"Untuk tujuan itu kita mempunyai pelatih yang terlatih untuk menjalankan terapi kuda di kalangan kanak-kanak seumpama itu dan berdasarkan maklum balas kami dapati dengan menyertai terapi tersebut berlaku perubahan dari segi tingkah laku termasuk keyakinan diri yang tinggi dan gerak hati yang dinamik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: