Logo 3 beradik perlu bantuan
3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan

SELAYANG – Sepasang suami isteri melalui ujian getir apabila tiga anak mereka menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi. Zanery Adam, 43, dan isterinya, Adiana Othman, 34, buntu memikirkan nasib ketiga-tiga anak mereka itu.

Zanery berkata, walaupun dari segi luaran, anak-anaknya Nurul Huda, 12, Muhammad Amir,11 dan Nurul Fatihah, 8 nampak ceria namun di sebaliknya masing-masing menanggung derita menghidap penyakit yang perlukan rawatanrapi seperti kanser tulang dan tiroid tahap empat.

Katanya, dengan pendapatan RM1,500 sebagai operator perkilangan, wang tersebut banyak dihabiskan untuk kos perubatan anaknya. Menurutnya, dia memperuntukkan RM677 sebulan untuk kos perbelanjaan ubatan dan rawatan anak keduanya, Muhammad Amir yang menghidap dua penyakit dikenali saraf tunjang kongential dan masalah kawalan ke atas saluran kencing serta kawalanke tandas.

“Setiap empat jam, Muhammad Amir perlu gunakan kaedah manual mengeluarkan urin menggunakan tiub yang diuruskan isteri. “Pada sesi sekolah pula, rutin isteri juga bertambah apabila perlu ke sekolah untuk uruskan Muhammad Amir kerana anaknya enggan menggunakan lampin pakai buang kerana malu diejek rakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, doktor yang merawat anaknya memaklumkan penyakit anaknya tidak boleh dirawat dan terpaksa menggunakan sistem manual untuk membuang urin seumur hidup kerana deria rasanya tiada untuk tujuan itu.

“Setiap dua minggu, pemeriksaan akan dilakukan ke atasnya dan untuk menjimatkan kos, tiub yang sepatutnya digunakan dua kali seminggu terpaksa dipanjangkan selama dua minggu untuk menjimatkan kos tetapi perlu dibasuh dengan bersih untuk elakkan jangkitan kuman,” katanya.

Sementara itu katanya, anak sulungnya Nurul Huda dikesan menghidap tiroid tahap empat dan doktor menasihatkan supaya dilakukan pembedahan pada bila-bila masa, namun faktor kewanganmenyebabkan dia terpaksa menumpukan pembedahan kepada anak bongsunya Nurul Fatihah terlebih dahulu yang menghidap kanser tulang.

“Di peringkat permulaan Institut Jantung Negara (IJN) sedia menjadikan Nurul Fatihah sebagai anak angkat termasuk kesediaannya menampung kos pembedahan RM15,000. “Bagaimanapun disebabkan tenaga pakar kurang, IJN minta kami merujuk penyakit Nurul Fatihah kepada Hospital Universiti kebangsaan Malaysia (HUKM) menyebabkan kami terpaksa bermula dari awal dan kos rawatannya masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Hadir sama membuat lawatan turun padang melihat keadaan anak-anak Zanery ialah Ketua Pemuda Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan. Sohaimi berkata, dia berharap beban keluarga itu dapat dikurangkan dengan keprihatinan masyarakat yang sudi membantu termasuk sesi lawatan kerja oleh pakar perubatan yang boleh merawat Muhammad Amir.

Justeru itu katanya, mereka yang prihatin dan berhasrat untuk menyumbang boleh menghubungi di talian 013-293 4837 atau terus ke akaun Maybank milik Adiana 162508103642 (162508103642).