Tuesday, April 3, 2012

UTMBridge uji kreativiti pereka


Contoh spefikasi model jambatan.


DALAM menongkah arus perubahan di era modenisasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggalas cabaran besar untuk menempatkan diri di kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa.

Bidang kejuruteraan menjadi keutamaan dalam mengangkat kualiti universiti itu di pentas dunia melalui penganugerahan akademik dan pengiktirafan dunia terhadap pembangunan universiti yang diterima.

Bagi mengorak langkah ke arah universiti yang menekankan aspek pembelajaran, Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM akan menganjurkan Pertandingan Model Jambatan UTMBridge 2012 yang bertemakan Design, Build and Test yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 April ini di UTM Skudai, Johor.

Pertandingan itu membabitkan seni bina jambatan-jambatan yang diilhamkan melalui reka bentuk jambatan terkenal di seluruh dunia seperti Jambatan Khaju di Isfahan, Iran; Jambatan Tertinggi di Dunia, Millau di Perancis; Jambatan Lintas Lautan Terpanjang di Dunia, Teluk Hangzhou di China dan Jambatan Tower Bridge di London.

Pengerusi Program, Prof. Dr. Salihuddin Radin Sumadi berkata, pertandingan itu bakal menguji keupayaan pelajar menggunakan pengetahuan, kreativiti dan inovasi untuk menyelesaikan masalah praktikal dalam bidang kejuruteraan pembinaan sesebuah jambatan yang futuristik.

"Bahkan ia akan menguji 350 kumpulan yang terdiri daripada pensyarah, penyelia dan guru-guru dari seluruh negara untuk menghasilkan dan mengilhamkan rekaan-rekaan jambatan yang kreatif serta mampu menambat perhatian juri.

"Malah ia menjadi penggerak kepada usaha meningkatkan kematangan peserta untuk bekerja secara berkumpulan dalam melahirkan idea-idea yang terbaik dalam mencipta rekaan jambatan-jambatan ini," katanya.

Pertandingan itu terdiri dari dua kategori iaitu kategori sekolah menengah dan universiti.

Bagi kategori universiti, setiap peserta diwajibkan membina model di hari pertama pertandingan untuk dipamer dan diuji pada hari kedua. Manakala bagi pelajar sekolah model siap dibina di sekolah masing-masing dan dibawa ke lokasi pertandingan untuk dipamer dan diuji kekuatan.

Salihuddin Radin berkata, pertandingan itu juga merupakan usaha UTM dalam mengamalkan segala ilmu dan teknik yang dipelajari pelajar-pelajar universiti dalam mereka bentuk struktur atau bangunan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Kesemua ini akan dinilai dan dihakimi jurutera professional dan pakar jambatan berdasarkan tiga kategori iaitu kekuatan dan ringan, kreativiti dan kebolehbinaan, dan persembahan multimedia," katanya.

Maklumat mengenai pertandingan ini boleh didapati di http://www.civil.utm.my atau menghubungi Dr Izni Syahrizal atau Ir. Salleh Mohd Yassin di talian 012-7030334, 019-7566164.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: