CEKUP... anggota APMM menahan pendatang asing di Teluk Ramunia, semalam.
JOHOR BAHRU: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa melompat ke dalam sebuah bot pancung yang bergerak laju bagi menyelamatkan 34 pendatang asing tanpa izin (Pati) apabila tekong dan pembantu bot terbabit terjun ke laut untuk meloloskan diri.
Dalam kejadian di perairan Teluk Rumania, Pengerang, Kota Tinggi di sini, jam 12.40 tengah malam semalam, tekong bot pancung itu turut mengarahkan Pati terbabit mencampakkan beg pakaian ke arah bot APMM bagi menggagalkan usaha memintas mereka.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pemeriksaan dijalankan pihaknya mendapati bot itu dinaiki 34 Pati, termasuk empat wanita serta dua kanak-kanak berusia setahun hingga 43 tahun.
Terdahulu, anggota dan pegawai APMM yang menjalankan rondaan terserempak dengan bot terbabit sebelum mengejarnya selepas ia didapati dalam keadaan mencurigakan.
“Sejurus dihampiri, tekong bot memecut dan Pati terbabit mula mencampakkan beg pakaian mereka ke arah bot APMM.
“Kami berjaya mengelak beg terbabit dan selepas dikejar 10 minit, tekong dan pembantunya terjun ke laut dan gagal dikesan.“Usaha ditumpukan kepada usaha menyelamat bot pancung itu, anggota kami terpaksa melompat ke dalam bot terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Menurut Adon, tindakan tekong bot itu tidak bertanggungjawab kerana dia mendedahkan Pati itu dengan risiko kemalangan.
Adon berkata, tindakan itu juga merugikan Pati terbabit apabila ada yang berputih mata berikutan barangan berharga seperti wang tunai disimpan dalam beg berkenaan tenggelam.
“Walaupun dapat meloloskan diri, usaha mengesan tekong dan pembantunya masih diteruskan, kami menghantar aset APMM untuk mengesan kedua-duanya,” katanya.
Pati terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat APMM Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.
Sebuah bot fiber sepanjang sembilan meter dan empat meter lebar bersama dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda turut disita.
Pati terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksen 5 (1) (2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang Pindaan 2010 kerana keluar/masuk Malaysia melalui pengkalan yang tidak diwartakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: