Tuesday, April 3, 2012

Sokongan anak tempatan


PENDUDUK tempatan mengambil hasil tuaian padi menggunakan jentera moden.


Kejayaan pertanian padi moden di Batang Lupar tidak akan dicapai tanpa sokongan anak tempatan.

Pemuda seperti Juan anak Brodie, 40, mengenali setiap penjuru di kawasan Stumbin/Bijat, Sri Aman. Anak jati negeri Sarawak itu membesar di kawasan tersebut dan sebagaimana anak kampung lain, dia juga bergelumang dengan kepayahan dan cabaran hidup di kawasan luar bandar.

Selama itu, dia memahami tanaman padi adalah suatu perkara yang dilakukan penduduknya secara turun-menurun daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Namun, apa yang tidak disangka, kampungnya itu bakal menjadi titik tolak kepada pertanian baru di negeri Sarawak.

Menurut Juan, usaha Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membawa penanaman padi dua kali setahun di kawasan Batang Lupar merupakan sesuatu yang tidak pernah terfikir.

"Kalau dibandingkan apa yang dilakukan secara turun-menurun, memang banyak perbezaan. Cara tradisional banyak bergantung kepada cuaca dan musim hujan. Namun dengan usaha Bernas ini, kita sekarang mempunyai tali air dan batas untuk pengairan yang lebih baik," katanya.

Juan yang merupakan salah seorang penduduk di Rumah Panjang Brodie, di Stumbin, memberitahu, pertanian secara moden sememangnya menuntut keringat dan komitmen yang banyak. Namun, beliau yakin hasil lumayan yang bakal diperoleh penduduk.

"Walaupun musim menuai belum selesai sepenuhnya, saya dapat lihat hasil yang kita dapat adalah dua kali ganda daripada apa yang kita peroleh selama ini. Ini baru tuaian pertama untuk tahun ini," katanya.

Katanya, walaupun projek itu pada mulanya menerima reaksi yang pelbagai daripada penduduk, potensinya untuk memajukan lagi kawasan Batang Lupar sememangnya tidak dapat dinafikan.

"Harapan saya semoga projek ini akan meliputi kawasan yang lebih luas kerana saya dapat membayangkan bagaimana kehidupan masyarakat sini akan banyak berubah dan golongan muda tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan," katanya.

Jelasnya, walaupun dia pernah bekerja selama tujuh tahun di Kuala Lumpur sebagai pegawai pemasaran, beliau tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus kekal di Tanjung Birat dan bersama penduduk lain memajukan kampung halaman kesayangannya itu.

Sementara itu, menurut Inen anak Rawan, 60, dia terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan teknik penanaman padi secara moden itu.

"Kita setuju sebab kerja ini macam senang dan dibuat secara sistematik, kalau dahulu cuma ikut sahaja, sekarang ini kita kerja mengikut aturan," katanya yang mengerjakan sawah bersama suaminya.

Katanya, meskipun tuaian belum menampakkan lagi keseluruhan hasilnya, dia yakin penat lelah yang dicurahkan selama tiga bulan itu dapat memberi pulangan yang banyak.

Mengulas lebih lanjut, Penghulu Seduku, Tinggi anak Nyandang memberitahu, kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama penduduk di kawasan Batang Lupar namun sebahagian besarnya merupakan kegiatan ekonomi sara diri.

"Memang asal usul nenek moyang kami adalah petani. Saya lahir dan hidup sahaja memang kerjanya petani dan benih padi yang kami ada ini telah diturunkan oleh nenek moyang kami.

"Mula-mula orang memang tak suka sebab rasa seperti tanah diambil kerajaan. Tetapi selepas ada program dialog, orang kampung faham yang sebenarnya kerajaan mahu membangunkan tanah dan memajukan lagi tempat ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: