
MENJENGAH tahun 2012, rupa-rupanya sudah enam tahun stesen radio popular hot FM beroperasi dan pastinya konsert tanda penghargaan buat pendengar, Hot FM Big Jam kembali lagi tahun ini.
Sinonim dengan jenama itu, penganjuran tahun ini mendapat sambutan luar jangka daripada penduduk di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia khususnya dari Terengganu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima Bhd., Seelan Paul, lebih kurang 50,000 penonton hadir membanjiri Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu sepanjang konsert yang diadakan sebanyak dua sesi iaitu petang dan malam pada hari Sabtu hujung minggu lalu.
“Sambutan kali ini sangat menggalakkan! Konsert ini adalah yang paling sukses dan emosional. Kami sudah lama tidak membuat acara sebegini dan apabila konsert ini muncul kembali, sambutan yang diterima di luar jangka,” katanya yang ditemui selepas tamat konsert itu baru-baru ini.
Konsert Hot FM Big Jam tahun ini adalah kerjasama kali pertama dengan stesen televisyen TV9 untuk siaran secara langsung di kaca televisyen.
Malah, konsert itu juga boleh ditonton secara live streaming di www.tonton.com.my serta boleh didengari melalui stesen radio hot FM sendiri.
Berbicara mengenai pemilihan artis untuk menjayakan acara itu, ujar Seelan pilihan yang dibuat berdasarkan pendengar di pantai timur yang rata-ratanya masih mahukan muzik era 1990-an.
“Pendengar di sini (pantai timur) masih sayang akan muzik 90-an dan otai-otai dulu, maka kami sajikan apa-apa yang mereka inginkan.
“Radio adalah satu bentuk komuniti, sesebuah stesen itu perlu mencari relevan dan membentuk hubungan dengan masyarakat,” ujarnya lagi.
Jelas sekali, persembahan daripada penghibur era 90-an masih dinanti-nanti pengunjung yang membanjiri Dataran Syahbandar sejak pukul 4.30 petang hingga lewat malam.
Buktinya, empat kumpulan popular sekitar era itu iaitu AXL’s, Uk’s, Slam dan XPDC mendapat sorakan luar biasa sepanjang konsert.
Slot petang menyajikan Sofarz, Najwa Latif, AXL’s, Amir Uk’s, Alyah, Hafiz dan Zamani Slam beraksi penuh bertenaga di pentas.
Sementara pada sebelah malamnya, Black, Spider, Ella, XPDC dan band yang diterbangkan dari Indonesia, Nidji tampil menghangatkan suasana.
Pujian harus diberikan buat kumpulan Nidji. Bukan kerana usaha memberikan persembahan terbaik tapi pukauan Nidji yang memaksa penonton bersorak tanpa henti sepanjang mereka di pentas.
Barangkali tarikan utama Nidji terletak pada gelekan vokalis kumpulan itu, Giring menerusi rangkaian lagu-lagu popular mereka antaranya Biarlah, Laskar Pelangi dan Jangan Takut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: