Sunday, April 8, 2012

Sakit kepala seteruk sakit bersalin


CAROLYN memerlukan alat bantuan oksigen untuk bernafas semasa diserang sakit kepala kelompok.


SAKIT kepala merupakan situasi normal yang mungkin berpunca daripada faktor pemakanan, keturunan atau gaya hidup. Namun, jarang sekali seseorang mengalami sakit kepala sehingga 200 kali sehari seperti yang dilalui seorang jurulatih kesihatan, Carolyn Matheson.

Wanita yang berasal dari London, Britain itu pernah menderita sakit kepala yang keterlaluan hampir setiap hari.

Carolyn memberitahu, penyakit itu dialaminya sejak lapan tahun lalu tanpa diketahui puncanya.

“Sungguh menyakitkan, ia seperti sebatang besi panas ditusuk melalui mata. Otak saya bagaikan dirobek,” katanya.

Penyakit itu menyebabkan beliau terpaksa bekerja sehari sahaja dalam seminggu selain tidak boleh memandu kereta kerana khuatir beliau gagal mengawal diri.




Sakit kepala

“Saya juga tidak memasak di rumah sebab bimbang akan menjatuhkan kuali panas dan air yang dijerang.

“Sakit kepala ini berlaku tidak tentu masa,” ujarnya yang tidak dapat bertutur dengan sempurna manakala pergerakannya agak terbatas.

Ceritanya lagi, beliau pernah berguling kesakitan di sebuah pusat beli-belah beberapa tahun lalu.

Hakikatnya, wanita ini telah mencuba pelbagai rawatan termasuk mengambil ubat sintetik, suntikan penahan sakit serta bantuan pernafasan melalui tangki oksigen namun deritanya belum berakhir.

“Mujur terdapat kaedah rawatan terbaharu iaitu implan kecil yang diletakkan di bahagian dada. Alat itu akan menghantar isyarat elektrik kepada otak yang bertujuan untuk menghilangkan rasa sakit yang dialami,” kongsi Carolyn.

Implan itu berfungsi dengan menggunakan alat kawalan jauh bersaiz sebuah telefon bimbit. Alat itu berjaya mengurangkan kekerapan sakit kepala Carolyn kepada dua kali sahaja dalam sehari.

Menurut Profesor Dr. Peter Goadsby dari Universiti California, Amerika Syarikat (AS), sakit kepala yang dialami oleh Carolyn itu dikenali sebagai cluster headache atau sakit kepala kelompok.

Katanya, punca penyakit itu masih belum dapat dikenal pasti tetapi ia hanya menyerang kurang satu peratus penduduk dunia.

“Sakit kepala jenis ini kebiasaannya menyerang lelaki dan wanita yang berumur 40 hingga 60 tahun,” beritahu beliau.

Menurutnya, pesakit akan mengalami sakit kepala yang keterlaluan.

Individu terbabit juga berasa sakit di bahagian mata, leher, bahu, hidung dan lebih malang sehingga membuatkan kaki menggeletar.

Setiap serangan sakit kepala itu akan berakhir dalam tempoh antara 15 minit hingga tiga jam.

“Seorang pesakit wanita pernah memberitahu saya bahawa sakit kepala kelompok lebih sakit berbanding saat melahirkan anak,” cerita beliau.

Sakit rahang

Satu lagi jenis sakit kepala yang tidak kurang sakitnya ialah sakit kepala arteritis temporal.

Pakar perubatan di Jabatan Perubatan Penjagaan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datin Dr. Chia Yook Chin berkata, sakit kepala jenis itu sering berlaku dalam kalangan warga tua berumur lebih 50 tahun dan kebiasaannya menyerang wanita berbanding lelaki.

Punca penyakit ini tidak diketahui dan ia mungkin disebabkan oleh sistem imun tubuh pesakit yang lemah.

“Sakit ini berkaitan dengan bahagian kepala. Di samping itu, pesakit juga mengalami sakit rahang manakala pelipis mudah berasa sakit apabila disentuh.

“Penglihatan pesakit terganggu dan sekiranya serius mereka boleh menjadi buta. Pesakit juga mengalami sakit-sakit seluruh badan, demam ringan dan penurunan berat badan pada sesetengah orang,” katanya.

Yook Chin berkata, kebanyakan sakit kepala akan hilang sendiri. Pesakit juga boleh mengambil ubat penahan sakit seperti Acetaminophen atau aspirin untuk mengurangkan kesakitan.

Bagaimanapun, pesakit hendaklah berjumpa doktor jika tiba-tiba sahaja mereka mendapat sakit kepala yang teruk terutamanya pada waktu pagi.

“Begitu juga jika sakit kepala anda berlarutan selama lebih beberapa hari atau bertambah teruk daripada sehari ke sehari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: