Wednesday, April 11, 2012

Perlunya makanan sihat, seimbang

TELITI...baca kandungan nutrisi sebelum membeli makanan untuk anak.
TELITI...baca kandungan nutrisi sebelum membeli makanan untuk anak.
TERBAIK...pemakanan anak perlu seimbang untuk tumbesaran sempurna.
TERBAIK...pemakanan anak perlu seimbang untuk tumbesaran sempurna.

MENJADI ibu bapa moden kini bukan setakat menyediakan keperluan dan memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak tetapi apa yang penting memastikan pemakanan berkhasiat yang akan menentukan tahap tumbesaran mereka.

Ada ibu bapa lebih memberi penekanan kepada keperluan lahiriah seperti pakaian, permainan serta mendapatkan sekolah terbaik. Memang diakui kesemuanya sangat penting namun ibu bapa jangan terlupa pada sumber dan khasiat pemakanan yang bukan saja menentukan pertumbuhan fizikal malah perkembangan mereka di sekolah.

Dalam hal ini, ibu bapa harus melengkapkan ilmu dalam bidang kesihatan supaya dapat diperturunkan kepada anak-anak. Mereka harus sedar keperluan pemakanan kanak-kanak berbeza mengikut peringkat usia. Kebanyakan proses tumbesaran termasuk perkembangan mata, minda, pertumbuhan fizikal dan pembelajaran berlaku ketika kanak-kanak berumur di antara satu hingga tujuh tahun dan ini boleh diperoleh menerusi pengambilan pemakanan.

Di peringkat ini, tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang sangat penting bukan saja untuk fizikal tetapi minda anak-anak.


Dalam satu kaji selidik di kalangan 300 ibu di Malaysia yang mempunyai anak berusia satu hingga tiga tahun dipilih secara rawak, menunjukkan 74 peratus ibu tidak biasa dengan amalan membaca panel maklumat pada produk makanan yang dibeli untuk anak-anak mereka. Kebanyakannya tidak tahu betapa pentingnya untuk mendapatkan gabungan nutrisi yang betul untuk anak-anak.Malah ketika ditanya jenis minuman yang diberikan kepada anak-anak mereka, semua ibu menjawab mereka memberikan susu untuk membesar. Bagaimanapun, lebih tiga perempat atau 80 peratus daripada ibu tidak menyedari mengenai ramuan yang terdapat di dalam susu itu. Namun hanya 55 peratus daripadanya kerap membaca label produk makanan dan mempercayai kandungan yang tinggi bagi satu ramuan di dalam susu untuk membesar adalah lebih baik untuk anak mereka.

Sesuatu yang positif hasil daripada kaji selidik terbabit adalah kebanyakan ibu tahu makanan segera bukan diet terbaik untuk anak mereka. Kira-kira 81 peratus daripada ibu jarang atau tidak pernah memberi makanan segera atau minuman berkarbonat kepada anak mereka.

Hal ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong ketika membentangkan mengenai hasil keputusan kaji selidik baru-baru ini bagi mengetahui sejauh mana tahap pengetahuan pemakanan ibu dan amalan membaca label makanan menjadi keutamaan ibu bapa.

Menurut Dr Tee, sebagai ibu bapa penyayang, seharusnya mereka memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Ini bukan saja meliputi kasih sayang dan perhatian, memastikan pakaian mereka terjaga serta mendapat semua keperluan asas sebaliknya memberi perhatian kepada keperluan nutrisi mereka.

“Ibu bapa harus memberi khasiat pemakanan mencukupi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini kerana peluang yang ada untuk berbuat demikian adalah singkat, iaitu ketika mereka sedang membesar. Malah keperluan ini sangat tinggi untuk perkembangan fizikal dan emosi mereka. Jangan tunggu sehingga anak-anak sudah membiasakan diri dengan tabiat pemakanan yang tidak sihat baru ibu bapa ingin mengubahnya kerana sudah terlambat,” ujarnya.

Dr Tee menjelaskan, tiada nutrien terbaik yang secara sendirinya dapat memberi jaminan terhadap perkembangan mental dan fizikal. Ia memerlukan gabungan nutrisi yang betul, semuanya diberikan dalam kandungan yang seimbang untuk menyokong perkembangan keseluruhan fizikal dan mental mereka.

Ada pula ibu bapa yang hanya bergantung sepenuhnya kepada saranan ahli keluarga dan kawan-kawan tanpa mengetahui kebaikan setiap produk yang sudah dibeli. Pada hal ini sangat penting bagi setiap makanan yang masuk ke dalam perut kerana memberi sumbangan yang besar kepada tahap fizikal dan mental. Dalam erti kata lain, baik dan berkhasiat makanan yang diberikan maka eloklah perangai anak-anak.

Oleh itu, Dr Tee menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap keperluan pemakanan anak-anak dan tidak hanya bergantung kepada keluarga, rakan atau iklan untuk memastikan kebaikan pada setiap produk yang dibeli.

“Kepada semua ibu bapa, apabila anda pergi membeli-belah di pasar raya, perhatikan dengan terperinci apa yang ingin dibeli. Baca panel pemakanan pada label. Selain itu, fahami bagaimana semua ramuan digunakan boleh memberikan khasiat yang betul kepada anak-anak. Biarlah diri anda sendiri yang menentukan bagaimana anak-anak anda harus dibesarkan dengan cara yang sihat,” kata Dr Tee.

Menurut Pengurus Besar Abbott Nutrition, Leah Hung, kerjasama yang dijalin bersama NSM itu bagi memberi kesedaran mengenai pemakanan dan minuman, faedah dan potensi risiko kesihatan kepada anak-anak.

Dengan menggabungkan sains nutrisi dan teknologi maju, Abbott mencipta inovasi yang sebenar dan akan terus bekerjasama dengan komuniti penjagaan kesihatan bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

“Di Abbott, kami fokus kepada usaha untuk menghasilkan produk bernutrisi yang terbukti secara saintifik bagi menyokong kesihatan dan perkembangan kanak-kanak. Menyokong usaha Persatuan Pemakanan Malaysia penting kerana kami berbangga untuk turut terbabit dalam perkongsian pengetahuan bagi mendidik ibu bapa meningkatkan kesedaran dalam mengamalkan pemakanan secara sihat di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, pembaca boleh melayari laman Persatuan Pemakanan Malaysia menerusi laman sesawang www.nutriweb.org.my.

Tip ketika membaca label produk:

1. Jangan membeli makanan hanya kerana anda suka pembungkusannya. Sebagai ibu bapa prihatin, sentiasa membandingkan produk dengan membaca panel maklumat makanan.

2. Apabila anda membandingkan kandungan nutrisi, anda boleh mengetahui yang mana satu mempunyai kadar nutrien yang lebih tinggi atau rendah.

3. Bandingkan berdasarkan jumlah nutrien yang terkandung dalam setiap 100 gram atau 100 mililiter produk. Ukuran hidangan mungkin tidak sesuai dijadikan perbandingan kerana ia mungkin berbeza antara jenama.

4. Untuk tambahan, jangan membuat pemilihan membeli jenama tertentu berdasarkan satu nutrien saja (contohnya jumlah tenaga atau kandungan lemak), tetapi pertimbangkan juga nutrien lain (seperti protein atau kalsium) yang disenaraikan di panel maklumat nutrisi.

5. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut mengenai panduan menggunakan label maklumat pemakanan, orang yang paling sesuai memberi nasihat ialah pakar nutrisi atau pakar diet.


Panduan untuk ibu bapa:

  • Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pemakanan anak-anak.

  • Tabiat makan yang sihat di kalangan kanak-kanak bermula dari rumah.

  • Ibu bapa perlu memupuk tabiat makan yang sihat ketika tahun awal anak-anak mereka.

  • Ibu bapa seharusnya memimpin melalui teladan.

  • Ibu bapa perlu memperkasakan diri mereka dengan memahami piramid makanan dan mengamalkan cadangan ini untuk keluarga.

  • Ibu bapa juga perlu memantau berat badan dan ketinggian serta mengira BMI anak-anak setiap enam bulan bagi memastikan anak-anak membesar dengan ideal.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: