![]() |
| KEBELAKANGAN ini, Farah cenderung menghasilkan teater muzikal atau Broadway amal dan hasilnya disumbangkan kepada badan-badan kebajikan. |
HAMPIR seluruh hidup wanita ini dihabiskan di atas lantai tari. Bermula dengan kelas tarian yang disertainya semasa berumur empat tahun, sehinggalah ke hari ini, pesona dunia tarian bagaikan sudah sebati dalam denyutan nadinya.
Jika disenaraikan kesemua penglibatan Farah Datuk Seri Sulaiman, 54, dalam lapangan tarian, mungkin tidak terbilang banyaknya.
Dalam meniti kemanisan usia remaja sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, wanita kelahiran Perak ini sudah menempa nama sebagai penari latar yang cukup disegani barisan artis ternama tanah air.
Pada masa sama, beliau yang sering diundang untuk membuat persembahan di Kompleks Kebudayaan Negara, Kuala Lumpur turut dijemput untuk menyerikan acara berprestij negara seperti majlis pembukaan Sukan SEA.
Ketika usianya 28 tahun pula, Farah pernah mewakili negara dalam Kejuaraan Disko Gaya Bebas di Britain pada tahun 1982.
"Apabila seseorang itu menari dengan betul, seni lenggok tubuhnya cukup indah.
"Saya melihat tarian bukan sekadar sebagai hiburan. Jika ia benar-benar dihayati, gerak tari sebenarnya ialah sebuah pengkisahan yang mempunyai mesej tersendiri.
"Sebab itu, saya sangat sukakan tarian, tidak kira balet, zapin, disko mahupun joget. Semuanya ada keistimewaan," ujar isteri kepada Yusof Rashidi, 57, ini.
Tidak cukup dengan pendedahan di dalam negara, Farah sanggup merantau ke Britain untuk mengasah bakat dan menajamkan kemahiran menari di beberapa pusat tarian terkenal di London seperti Sekolah Tarian Stella Man dan Studio Tarian Pineapple.
"Sepanjang tempoh pengajian di sana, saya berpeluang bekerja dengan beberapa syarikat produksi.
"Antara yang sempat disertai ialah Hello Dolly, Oklahoma, Show Boat, Camelot, The Boy Friend, Snow White dan Moter Goose," katanya yang beruntung kerana ketiga-tiga anaknya gemar membuat persembahan pentas.
Bedah kepala
Diam tak diam, tahun ini sudah 50 tahun Farah bertapak dalam bidang tarian. Begitupun, usianya yang sudah menjangkau lebih setengah abad tidak pernah dianggap sebagai penghalang untuk terus bergiat aktif.
Cuma bezanya, jika dahulu wanita genit ini lincah beraksi di pentas dansa, kini beliau lebih selesa menjadi perunding seni tari dan koreografer selebriti.
"Saya sudah lama tidak menari, seingat saya selepas menjalani satu pembedahan untuk membuang tumor yang tumbuh di antara otak dan tempurung kepala 15 tahun lalu, saya lebih senang bekerja di belakang tabir," ujarnya yang muncul pertama kali di televisyen menerusi rancangan Hiburan Minggu Ini pada tahun 1974 apabila mengiringi persembahan penyanyi Allahyarham Aziz Jaafar.
Ditanya tentang penyakit yang pernah menyerangnya itu, beliau tersenyum lebar.
"Sebenarnya penyakit itu tidak mengganggu rutin hidup saya pun. Seingat saya, cuma tiga kali saya merasakan pandangan berpinar-pinar dan beberapa kali hidung saya asyik terhidu bau bawang merah.
"Namun, selepas pembedahan, keadaan bertambah baik. Saya juga tidak merasakan apa-apa yang pelik, cuma kepala saya dibotakkan untuk tujuan pembedahan.
"Ibu mahu saya berehat selama tiga bulan di rumah, tetapi tidak sampai sebulan, saya sudah kembali aktif dalam bidang koreografer dan perundingan," kata wanita yang murah senyuman ini.
Menurut Farah, sebagai koreografer, dia perlu sentiasa tampil dengan idea-idea segar supaya penonton tidak jemu.
Antara yang pernah menggunakan khidmatnya, Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Sudirman, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Francis Yap, Francisca Peter, Raphael Centenera, Salamiah Hasan dan Endang S. Taurina.
Ditanya tentang perkembangan terbaharunya, Farah dan kumpulan penarinya sedang giat berlatih untuk mengiringi persembahan konsert Datuk DJ Dave yang bakal berlangsung di Istana Budaya Jun akan datang.
"Boleh dikatakan sebahagian besar penyanyi di Malaysia suka menari semasa membuat persembahan, tetapi segelintir daripadanya berat tulang.
"Saya sering berdepan dengan penyanyi yang mahu menari bersama penari-penari, tetapi malas datang latihan.
"Malah, ada yang datang berlatih menari sehari sebelum konsert atau persembahan berlangsung.
"Untuk mengelak tarian mereka dilihat canggung, saya perlu mengajar gerak tari yang mudah tetapi cantik dalam masa beberapa jam sahaja.
"Sedangkan, untuk mahir menari, ia mengambil masa yang lama dan latihan yang konsisten," ujarnya.
Broadway
Selain itu, kepakaran Farah turut dijadikan sandaran dalam beberapa persembahan teater muzikal seperti Rubiah, Puteri Gunung Ledang, Dot Com, A Funny Thing Happened on the Way to the Forum dan beberapa majlis berprestij seperti Festival Filem Malaysia Ke-16 dan Pesta Flora.
Tidak ketinggalan, beliau juga merupakan perunding tarian untuk beberapa rancangan realiti seperti Show Me You Can Dance dan Sehati Berdansa.
"Sejak tahun 2000 juga, saya dan beberapa orang rakan tampil dengan produksi Sayang Dancer yang giat menjalankan persembahan Broadway amal yang mana hasil jualan tiket akan disumbangkan terus kepada badan-badan kebajikan.
"Antara teater itu ialah Dance Hysteria, Broadway Babies, Dance Hysteria II, Jalan Impian: The Musical, DanSing Thru Broadway, Sparks of Broadway dan yang terbaru, Broadway Bites.
"Penari-penarinya datang daripada Akademi Sayang Dancer yang saya tubuhkan sekitar tahun 1980-an.
"Untuk persembahan Broadway, saya bertanggungjawab untuk mereka gerak tari yang berbeza untuk berbelas jenis lagu. Tujuannya cuma satu, iaitu untuk disumbangkan kepada golongan kurang bernasib baik.
"Antaranya, Persatuan Sindrom Down Malaysia dan Projek Hati Nurani. Sayangnya, syarikat-syarikat besar di negara ini masih kurang percaya dengan kemampun anak tempatan.
"Mereka sanggup menjemput dan membayar dengan mahal kumpulan dari luar negara berbanding membantu mengutip dana untuk golongan yang memerlukan di negara sendiri," luahnya kecewa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: