Sunday, April 1, 2012

Nenek pendayung Kampung Kuantan



HANOM tiba di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, tatkala lembayung senja mula menyinari dada langit.

Dengan menjinjing dua kaki payung, langkah tuanya diayun perlahan menuju ke deretan bangku kayu yang membelakangi Sungai Selangor.

Sambil melepaskan lelah, Hanom atau nama sebenarnya Hasimah Kasim mengukir senyuman sewaktu melihat dua buah bas persiaran memasuki pekarangan jeti.

"Alhamdulillah, ada rezeki saya mendayung malam ini. Nampak gaya boleh juga buat satu dua trip," ujar ibu tunggal berusia 63 tahun ini.

Suasana yang tadi lengang mula riuh dengan canda tawa dan gelagat pelancong dari Jepun, Eropah dan Asia Barat. Mereka memenuhi ruang menunggu sementara menanti hari bertukar gelap.

Keterujaan jelas terpancar di wajah mereka. Masing-masing tidak sabar untuk mendekati habitat asal kelip-kelip, sejenis serangga berkepak yang boleh menghasilkan tiga kerlipan cahaya dalam masa sesaat.

Sementara kebanyakan pelancong ghairah merakamkan panorama biasan mentari senja di gigi air, Hanom tekun memeriksa keadaan sampannya.

Selesa bekerja tanpa kasut, nenek kepada tiga cucu ini memasang pendayung kayu pada tali di kedua-dua belah sampan.

Keadaan air sungai yang pasang dan berarus membuatkan sampannya teroleng-oleng. Badan Hanom kelihatan uzur, bagaimanapun, dia masih mampu berdiri dengan stabil.

Mungkin juga kerana pengalamannya selama 15 tahun mengendalikan sampan menjadikan wanita ini memahami lenggok aliran air.

"Bagi yang tak biasa, mereka mang kecut perut bila mahu turun ke sampan.

"Gelagat pelancong memang macam-macam, terutamanya yang datang dari luar negara.

"Ada yang ringan mulut bertanyakan itu ini, ada juga yang lebih suka memerhati keindahan cahaya kelip-kelip dalam keadaan tanpa sebarang gangguan.


KELIP-kelip hidup dalam suhu lembap di kawasan berpaya.


Tunggu sejam

"Kerap juga pelancong Barat bertanya, mampukah saya mendayung sampan yang dinaiki empat penumpang dewasa. Tidakkah ia terlalu membebankan?

"Malah ada yang kasihan dan mahu menggantikan saya mendayung," ujarnya sambil tersenyum.

Berkongsi cerita tentang kerjaya sebagai pendayung di pusat ekopelancongan itu, Hanom memberitahu, kebiasaannya dia memulakan tugas pada pukul 7.45 malam.

"Selesai solat Maghrib, anak akan menghantar saya ke sini untuk mendayung. Jika berasa penat, saya akan berhenti dan minta anak datang menjemput pulang," ujar Hanom.

Menurutnya, pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, memang ramai pengunjung yang datang ke situ untuk melihat kelip-kelip.

"Adakalanya mereka perlu menunggu sejam sebelum dapat menaiki sampan," katanya.

Dianggap sebagai musim kemuncak, seorang pendayung boleh membuat antara lima hingga lapan trip semalam.

"Pada hari biasa, jumlah pengunjung tidak begitu ramai. Mungkin satu dua trip, sudah habis.

"Biasanya kami mendayung sehingga 300 meter sehala dan penumpang mahu berada lebih lama di satu-satu pokok yang nampak lebih bercahaya," katanya yang bekerja apabila keadaan kesihatannya mengizinkan.

Hanom mula mendayung selepas suaminya terlantar akibat serangan strok.

Demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga, ibu cekal ini mengambil alih tugas suaminya dengan mencuba nasib sebagai pendayung sampan di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Lagu Jepun

Terdapat 30 pendayung sampan di jeti tersebut dan Hanom adalah satu-satunya pendayung wanita di situ.

"Ketika itu, anak-anak sudah ada yang bekerja, hanya yang bongsu masih bersekolah.

"Begitupun, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak-anak kerana pendapatan mereka tidak menentu.

"Mahu tidak mahu, saya perlu keluar bekerja. Lagipun, kerja mendayung hanya pada waktu malam.

"Saya masih boleh menjaga suami dan melakukan kerja rumah pada sebelah siang.

"Selepas suami meninggal dunia, saya berehat seketika namun kembali mendayung beberapa bulan kemudian," katanya.

Dalam usia yang semakin lanjut, kudrat Hanom sudah tidak sekuat dahulu.

Dia yang menghidap kencing manis dan sakit sendi di bahagian lutut kini tidak mampu mengejar trip lagi.


KUMPULAN besar kelip-kelip akan mengeluarkan cahaya serentak seakan-akan gerakan berirama.


"Dahulu selalu juga buat lima trip, sekarang nak buat dua trip pun sudah mengah.

"Setiap trip memerlukan 20 hingga 30 minit dayungan.

"Pendayung akan mudik ke hulu terlebih dahulu sebelum menghilir sungai.

"Kami akan membawa pengunjung dekat dengan pokok berembang yang menjadi habitat semula jadi kelip-kelip," katanya yang dibayar RM18 untuk setiap trip.

Hidup Hanom sangat rapat dengan kelip-kelip. Hatinya berasa bangga kerana keajaiban kerlipan cahaya daripada serangga sebesar beras yang ada di kampung kelahirannya itu mampu menggamit kedatangan puluhan ribu pengunjung setahun dari seluruh dunia.

Malah, dia yang hanya bersekolah hingga darjah enam itu sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris mudah dan menyanyikan serangkap lagu Jepun yang dipelajari daripada para penumpangnya.

Setiap kali mengambil penumpang, dia akan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan lampu kilat kamera jika ingin merakamkan aksi kelip-kelip.

"Penggunaan lampu suluh dan cahaya daripada telefon bimbit juga dilarang kerana kelip-kelip amat sensitif terhadap cahaya.

"Sewaktu berkelip, ia sedang mengawan. Jika diganggu dengan cahaya lebih terang, ia mungkin akan jatuh, mati atau terbang. Proses mengawan berkemungkinan besar gagal," ujar Hanom.

Membentuk keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, formasi kerlipan cahaya kelip-kelip ini kelihatan seakan-akan pokok Krismas.

Bukan sekadar mendayung, Hanom turut mengambil tanggungjawab memberi penerangan tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan kepada penumpangnya walaupun tiada yang menyuruh.

"Saya mahu penumpang faham tentang kitaran hidup kelip-kelip, habitat asal dan keistimewaannya.

"Kelip-kelip ada di beberapa negeri lain tetapi populasinya lebih banyak di sini.


MENJELAJAHI Sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip dengan menaiki sampan menjanjikan lebih kepuasan kepada pelancong asing.


"Sepanjang 10 kilometer tebing sungai ini ditumbuhi pokok berembang yang merupakan rumah kelip-kelip. Malah, kalau bernasib baik, kelip-kelip akan bermain-main dengan kita," katanya.

Menjadi sumber rezeki dan tarikan pelancongan, Hanom selalu berdoa agar kelip-kelip kesayangannya itu tidak akan pupus ditelan arus urbanisasi.

"Selagi ada bulan dan bintang, biarlah kelip-kelip ini terus wujud di Kampung Kuantan," katanya penuh mengharap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: