BAGI generasi yang lahir pada era 80-an, grup yang berasal dari Ireland yang dikenali sebagai The Cranberries adalah sebuah grup legenda.
Mereka memang tidak sebesar nama grup seperti Gun 'n Roses misalnya, tetapi bagi peminat yang menghargai indah sebuah muzik yang diadun bersama unik penggerak atau karakter sesebuah grup, The Cranberries adalah satu alternatif lain untuk menikmati untai lagu yang mengasyikkan.
Ditubuhkan pada tahun 1989, grup ini terdiri daripada Dolores O'Riordan (vokalis) Noel Hogan, (gitar) Mike Hogan (bass) dan Fergal Lawler (dram).
Melabelkan diri mereka sebagai sebuah grup yang membawa muzik alternatif rock, ironi The Cranberries juga begitu sinonim dengan muzik berentak indie pop, post-punk, Irish folk dan pop rock.
Hampir sudah tidak pernah kedengaran lagi berita tentang mereka selepas tahun 2003, The Cranberries tiba-tiba muncul kembali mengisi dahaga peminatnya pada tahun ini dengan album studio penuh yang diberi judul Roses.
Album tersebut kemudian telah membawa grup ini kembali menjelajah dunia untuk tujuan promosi dan Malaysia telah menjadi salah satu lokasi persinggahan The Cranberries untuk menghiburkan peminat mereka di sini.
Bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tanggal 4 April, The Cranberries membuat persembahan dengan penuh energetik di hadapan lebih 8,000 peminat mereka.
Ironi, tak padahal mereka sudah masuk dalam kategori veteran. Namun kelincahan dan vokal Dolores yang masih konsisten serta sama seperti yang pernah direkodkan di dalam album membuatkan The Cranberries seperti kembali muda, sekali gus membawa semua peminatnya juga masuk ke alam muda remaja.
Lebih mengujakan apabila mereka mendendangkan hampir semua lagu malar segar mereka yang cukup hit satu ketika dahulu seperti Dreams, I Can't Be With You dan Ridiculous Thoughts.
Tidak banyak berkomunikasi tetapi tetap menghiburkan peminat dengan permainan pentas yang tangkas dan gaya tarian bebas oleh Dolores sendiri terus melarutkan peminat di dalam dunia mereka.
Malah saat lagu seperti Linger, Ode to My Family, Animal Instinct dan When You're Gone didendangkan, The Cranberries hampir tenggelam dengan jeritan dan sorak serta nyanyian daripada peminat yang sememangnya menunggukan saat lagu-lagu tersebut didendangkan secara langsung selepas sekian lama hanya mendengar ia menerusi kaset, cakera padat atau corong radio sahaja.
|
|
Berselang-seli dengan untaian lagu malar segar, grup tersebut turut mendendangkan lagu-lagu yang diambil daripada album baharu mereka, Roses. Biar ia masih belum mesra telinga, namun peminat tetap memberi sokongan.
Sengaja membiarkan peminat menanti sehingga lebih sejam setengah, barulah mereka melantunkan lagu yang cukup berhantu di seluruh dunia, Zombie. Dengan pukulan drum yang cukup mantap dan petikan gitar serta bass yang sama 'keras' Dolores kemudian menyempurnakan nyanyian dengan gaya santai tetapi cukup mengesankan. Sedikitpun tidak tergelincir vokalnya sewaktu mendendangkan lagu tersebut, sama seperti dia mendendangkan lebih 15 buah lagu lain sebelum itu.
Turun daripada pentas tanpa meninggalkan sebarang pesanan, The Cranberries naik semula ke atas pentas selepas peminat terus memanggil nama mereka. Sebagai penutup konsert, mereka mendendangkan empat buah lagu termasuk Salvation dan Promises yang memicu adrenalin peminat.
Usai konsert, walau meninggalkan peminat di Malaysia tanpa sebarang ucapan selamat tinggal, The Cranberries tetap akan dikenang kerana telah memberi sebuah persembahan yang mantap dan membangkit memori lama menerusi untaian lagu mereka.
Hal itu diakui oleh penyanyi, model dan pelakon Maya Karin yang menyifatkan dirinya sebagai kipas susah mati grup tersebut. "Saya sangat meminati mereka dan tahu semua lagu yang mereka mainkan tadi.
"Jika peminat saya ada perasaan untuk memeluk saya apabila mereka bertemu saya, saya mempunyai perasaan yang sama iaitu untuk memeluk vokalisnya, Dolores," ujar Maya yang hadir ke konsert tersebut bersama adik lelakinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: