Sunday, April 1, 2012

Masin mulut ibu, isteri saya ada lelaki lain

RISAU hati melihat pelbagai masalah timbul dalam kehidupan suami isteri sejak akhir-akhir ini. Isu isteri melayan lelaki lain dan suami juga berbuat perkara yang sama, bukan lagi satu perkara pelik.

Sudahnya rumah tangga berantakan, selisih faham berlarutan sehingga membawa kepada perceraian.

Selari dengan mukadimah saya di atas, kisah yang ingin saya ketengahkan minggu ini juga ada kaitannya. Bukan cerita rekaan tetapi kisah benar yang diceritakan sendiri oleh seorang suami yang mahu dikenali sebagai Jefri (bukan nama sebenar).

Kita ikuti kisah Jefri selanjutnya.

" Saya berusia 30 tahun, isteri, Maria (bukan nama sebenar) berumur 29 tahun. Rumah tangga kami dibina atas dasar cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Saya bekerja sendiri sementara isteri seorang eksekutif di sebuah firma pengiklanan. Kini usia perkahwinan kami sudah menjejak lima tahun.

"Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada Maria untuk bekerja kerana saya yakin dia tahu menjaga batas sebagai isteri. Tiga tahun berkahwin, hubungan kami amat mesra. Kelahiran cahaya mata sulung tentunya menambah seri rumah tangga kami.

"Dua tahun selepas kelahiran anak kami, Maria dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan. Ini bermakna dia perlu selalu ke luar daerah atas urusan kerja. Itu pun saya faham malah tetap memberi sokongan.

"Anak ditinggalkan bersama ibu saya yang secara kebetulan tinggal bersama kami. Sejak dia naik pangkat, sikap Maria berubah. Balik kerja jauh malam dan dia langsung tidak pedulikan anak. Seratus peratus urusan menjaga anak dan kebajikan saya terletak di tangan ibu saya sendiri.

"Orang tua, mana boleh tengok menantu sibuk sampai tidak ingat rumah tangga, suami dan anak-anak. Dia menasihatkan saya supaya menegur Maria. Saya juga melihat perubahan Maria terhadap saya. Layanan di tempat tidur amat dingin. Makan dan pakaian saya semuanya sambil lewa. Tapi ibu selalu menjadi penyelamat.

"Sampai satu tahap saya tidak dapat mengawal perasaan marah saya apabila setiap malam Maria leka dengan iPad dan berSMS sehingga dinihari.

Ada kalanya saya sudah lena di sebelahnya, tetapi Maria asyik dengan iPad dan telefon bimbitnya. Cara bercakap pula berlainan daripada biasa.

Apabila saya ada di sebelah, dia cepat-cepat keluar dari bilik. Ada masa pula dia berbual di kerusi rehat di luar rumah.

"Banyak kali saya tegur tetapi dia buat tidak dengar, malah langsung tidak berubah tetapi semakin menjadi-jadi. Satu hari saya menegur sikap buruknya itu dan meminta dia berubah kerana saya malu dengan ibu saya. Jawapannya menyakitkan hati saya. Katanya, kalau tidak sanggup tengok dia, suruh saja ibu saya pindah dari rumah kami.

"Bayangkan, seorang menantu sanggup cakap begitu kepada mertuanya, pada hal dia tidak ingat, selama dia bekerja dan ke sana sini, ibu saya yang menjaga anak kami, itu pun dia tidak bersyukur.

"Hari itu kami bertengkar hebat. Maria mengungkit macam-macam tentang saya dan hubungan kami sebelum itu. Dia juga mencabar saya supaya menceraikan dia jika tidak serasi lagi untuk hidup bersamanya. Katanya saya mengongkong hidupnya.

"Selepas kejadian itu, Maria keluar dari rumah tanpa memberitahu ibu saya dan meminta izin saya terlebih dulu. Sikapnya amat mengecewakan saya.

"Lalu saya berazam untuk mencari punca kenapa Maria berubah perangai bersandarkan kata-kata ibu saya, ''mak rasa dia ada orang lain".

"Secara kebetulan saya ada seorang kawan bekerja sebumbung dengan Maria tetapi Maria tidak kenal kawan saya ini. Kepada kawan ini, saya minta bantuan untuk memberi maklumat tentang pergerakan Maria. Atas bantuan sahabat lama saya itu, akhirnya saya dapat tahu, rupanya Maria sedang menjalin hubungan dengan salah seorang ketuanya yang baru bertukar ke situ.

"Menurut cerita kawan saya, lelaki itu adalah bekas kekasih Maria yang telah hilang begitu sahaja selepas mereka tamat sekolah menengah. Terkejut juga saya dibuatnya sebab saya tidak pernah tahu masa silam Maria, tetapi saya pujuk hati saya agar bersabar.

"Seminggu Maria tidak pulang ke rumah. Saya tidak risau sebab saya tahu di mana dia tinggal. Saya hantar SMS dia tidak jawab, saya telefon pun tidak ada respons. Lalu jalan terakhir, saya ke pejabatnya untuk menyelesaikan segala kekusutan yang kami alami.

"Allah itu Maha Kaya, satu hari ketika sedang makan tengah hari di sebuah hotel bersama seorang klien, saya terkejut apabila terpandang Maria dan lelaki itu juga sedang makan di situ.

"Kesabaran saya memuncak melihat kemesraan mereka, berpegangan tangan macam pasangan kekasih, pada hal dia masih isteri saya yang sah. Saya tahan perasaan sebab tidak mahu klien saya perasan yang saya sedang ada masalah. Selesai urusan dengan klien itu, saya nekad bersemuka dengan mereka.

"Kehadiran saya tidak mengejutkan Maria dan pasangannya. Mereka seperti telah bersedia menghadapi apa yang datang, begitu hebatnya mereka. Secara tidak langsung mereka mencabar kejantanan saya. Maria dengan megahnya memperkenalkan 'kekasih'nya itu kepada saya.

"Belum sempat saya berkata apa-apa Maria berkata, jangan kejar I lagi, lepaskan I. Subahanallah, itukah perkataan yang harus keluar dari mulut seorang isteri kepada suami di hadapan seorang lelaki lain yang belum tentu dapat membahagiakannya.

"Itulah realiti dunia hari ini. Sikap hormat seorang isteri kepada suami semakin terhakis dan mereka sewenang-wenangnya boleh membawa lelaki yang mereka suka ke mana sahaja tanpa mengira dosa.

"Hati saya bagaikan terbakar tetapi saya kawal perasaan. Saya akan terima cabarannya. Saya beredar dengan kata-kata, jumpa di mahkamah!.

Saya tidak tahu kenapa Maria boleh berubah sampai begitu sekali berbeza dengan Maria yang saya kenal dulu. Agaknya betul kata ibu saya, pangkat dan wang ringgit telah mengaburi mata dia.

"Sekarang saya dalam proses bercerai dengan Maria, Walaupun berat saya perlu bertindak demi maruah saya sebagai suami. Saya tidak menyesal menceraikan dia kerana pada saya dia memang tidak layak untuk terus hidup di samping saya.

"Ibu menangis mendengar cerita saya. Katanya dia memang sudah boleh meneka apa yang akan berlaku dalam rumah tangga saya dengan keadaan Maria yang begitu. Saya minta ampun kepada ibu kerana isteri saya telah menghinanya.

Saya sedih sangat-sangat dengan sikap Maria. Saya berdoa supaya anak kami akan diberi kepada saya untuk dijaga, lagipun dia tidak serasi bersama ibunya yang tidak pernah menjaga dan memberi kasih sayang kepadanya.

"Sekarang saya menunggu takdir hidup saya seterusnya. Semoga Allah kuatkan hati saya menempuh ujian ini. Saya berharap satu hari jika ada jodoh, saya ditemukan dengan seorang wanita yang benar-benar boleh memikul tanggungjawab menjadi isteri dan ibu serta dapat berkongsi kasih sayang dengan saya di dunia dan akhirat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu dan adik-beradik saya kerana selalu menyokong saya dan berada di sisi saya ketika memerlukan mereka. Semoga Allah memberi ganjarannya kepada mereka,'' Jefri menutup cerita.

Tidak dinafikan banyak kejadian perceraian sekarang disebabkan oleh sikap isteri yang terlalu ego dengan kedudukan dan kerjaya mereka. Saya bersimpati dengan Jefri, nyata dia seorang suami yang penyabar.

Apa yang berlaku adalah pengajaran yang berguna untuk dijadikan sandaran dalam mencari erti kebahagiaan sebenarnya. Kita semua ada kelemahan dan melakukan kesilapan. Membaiki diri dan belajar daripada kesilapan itu adalah langkah terbaik untuk melengkapkan diri menjadi manusia sempurna di sisi Allah.

Jefri harus bersyukur kerana masih ada ibu yang mengambil berat dan mendoakan kesejahteraan hidup anaknya dalam apa juga keadaan. Hargailah pertolongan ibu anda.

Menamatkan catatan, pesanan saya, jika resah haruslah bersabar dan berdoa, jika tenang, panjatkan doa dengan rasa syukur kerana sabar. Doa dan syukur itu adalah satu perjalanan mencapai bahagia.

Salam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: