Wednesday, April 11, 2012

Luar jangkaan

pix_gal0
Maya, Fasha janji pamer lakonan lebih hebat puaskan hati peminat

PENANGAN Ombak Rindu sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Mana tidaknya, bukan setakat penyanyi runut bunyi filem itu, Hafiz, membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular, malah dua pelakon utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin, masing-masing berjaya menjulang pulang trofi bagi kategori Pelakon Filem Popular.Aaron juga dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita (ABPBH) 2011, yang berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu.saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan. - Maya Karin Maya yang ditemui di belakang pentas sejurus diumumkan pemenang dengan mengetepikan empat finalis lain, Diana Danielle, Eja, Lisa Surihani dan Yana Samsudin, mengaku kemenangannya disebabkan impak watak Izzah yang dijayakannya.

“Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah Ombak Rindu kerana menghasilkan skrip dan naskhah yang begitu hebat, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. Ombak Rindu filem yang hebat dan sudah memenangi hati ramai orang, sehinggakan saya sendiri jatuh hati pada naskhah berkenaan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, dan sememangnya saya berdebar saat Syamsul Yusof ingin mengumumkan pemenang. Nasib baik dia menyebutnya dengan cepat. Lega rasanya apabila semuanya berlalu dengan pantas.

“Pada masa sama, saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan,” katanya sambil menyifatkan, 2012 ialah tahun yang bagus buat kerjayanya apabila menerima paling banyak tawaran.
Melihat pencapaiannya itu, Maya akui dia agak cerewet dalam memilih watak serta karakter yang akan dibawanya selepas ini. Dia mahu watak dilakonkan olehnya mampu meninggalkan impak mendalam.

Cintanya yang kuat terhadap lakonan pastinya akan memacu wanita jelita ini lebih jauh dalam dunia seni tempatan, apatah lagi dengan kejayaan yang baru dikecapi, tentu membuatkan Maya ingin memberikan persembahan lebih baik buat peminat.

Inilah kejayaan ketiga Maya menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular selepas dia melakukannya pada ABPBH2005 dan ABPBH2008.

Sementara itu, Pelakon TV Wanita Popular, Fasha Sandha menganggap kemenangan kali ini sebagai hadiah terindah buat hari jadinya yang ke-28, begitu juga buat perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kata Fasha, kejayaan pada ABPBH2011 sememangnya di luar jangkaan. Malah dia langsung tidak menyediakan sebarang teks ucapan kerana berasakan, peluangnya untuk menang agak tipis berbanding tahun sebelumnya.

“Saya bersyukur sangat dan inilah yang dikatakan rezeki. Kemenangan ini juga hadiah paling bermakna untuk saya dan semua peminat yang mengundi. Saya ingatkan, saya hanya datang sebagai penonton. Tapi tidak sangka saya akan membawa pulang trofi lagi pada tahun ini.

“Semestinya saya akan membuat yang lebih baik sebagai penghargaan kepada peminat yang setia memberikan sokongan. Sejujurnya, saya tidak pernah puas hati dengan diri sendiri, oleh itu anugerah ini memangkin semangat saya untuk berusaha lebih kuat pada masa akan datang,” katanya yang mengungguli kategori sama pada ABPBH2005, 2006 dan 2010.

Fasha juga pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH2006 dan 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: