Sunday, April 8, 2012

Keperluan nutrien anak berbeza ikut tumbesar

SUKA SAYUR... pupuk pada anak-anak akan tabiat memakan makanan sihat.
SUKA SAYUR... pupuk pada anak-anak akan tabiat memakan makanan sihat.

SEBAGAI ibu bapa, pasti anda mahukan segala yang terbaik untuk anak, baik dalam memberi kasih sayang dan perhatian, keperluan asas serta makanan berkhasiat untuk tumbesarannya.

Pada peringkat tumbesarannya, anak anda harus mendapat khasiat pemakanan yang cukup untuk perkembangan fizikal dan minda yang pesat.

Kebanyakan nutrien atau zat makanan diperlukan si manja diperoleh daripada gabungan pelbagai jenis makanan yang perlu diambil dalam kuantiti sesuai.

Namun, kesempatan atau masa yang ada untuk ibu bapa memberikan makanan terbaik bagi menyokong tumbesaran anak begitu singkat dan sepanjang tempoh itu juga amalan pengambilan pemakanan sihat perlu disemai dalam diri mereka.Pengambilan nutrien yang tidak seimbang akan mengakibatkan pelbagai masalah kepada kanak-kanak seperti kurang berat badan, obesiti dan anemia.


Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong, berkata keperluan pemakanan kanak-kanak berbeza mengikut peringkat perkembangan mereka.

Kebanyakan proses tumbesaran dan perkembangan termasuk mata, minda, pertumbuhan fizikal dan pembelajaran berlaku ketika kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun. Faktor berkenaan boleh dipengaruhi pengambilan pemakanan mereka.

“Ibu sering bimbang anak mereka cukup makan atau sebaliknya, berapa banyak mereka makan atau minum, berapa berat badan anak dan berapa ketinggian mereka.
Sepatutnya, perkara lebih penting diberi perhatian ialah memantau indeks jisim tubuh (BMI) anak.

“Tiada nutrien yang secara sendirinya dapat menjanjikan perkembangan mental dan fizikal yang terbaik.

“Ia memerlukan gabungan nutrisi yang betul dan semuanya diberi dalam kandungan seimbang untuk menyokong perkembangan keseluruhan anak anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi meningkatkan kesedaran ibu di Malaysia mengenai kepentingan pemakanan yang betul dan seimbang untuk si kecil.
Hadir sama, Pengurus Besar Abbott Nutrition, Leah Hung.

Persatuan Pemakanan Malaysia dengan kerjasama Abbott, berusaha mewujudkan kesedaran pentingnya pengetahuan mengenai pemakanan dan amalan membaca label produk makanan di kalangan ibu.

Usaha ini bagi menggalakkan golongan ibu lebih peka dalam pemilihan makanan dan minuman untuk anak mereka mengenai kebaikan dan risiko pada kesihatan.

Hasil kaji selidik Persatuan Pemakanan Malaysia ke atas 300 orang ibu yang mempunyai anak berusia satu hingga tiga tahun, baru-baru ini menunjukkan 74 peratus ibu tidak biasa dengan amalan membaca panel maklumat pada produk makanan yang dibeli untuk anak mereka.

Sebanyak 64 peratus ibu tidak berdepan masalah dalam memilih makanan untuk anak mereka disebabkan anak cerewet makan.

Namun, kebanyakan mereka tidak tahu mengenai kepentingan mendapatkan gabungan nutrisi yang betul untuk anak mereka.

Ketika ditanya mengenai jenis minuman yang diberikan kepada anak, semua ibu menjawab mereka memberi susu untuk membesar (growing up milk).

Sebanyak 83 peratus daripada mereka memilih susu untuk membesar kerana beranggapan ia pilihan terbaik kerana dapat membantu anak menjadi pintar.

Sebanyak 55 peratus ibu beranggapan formula susu untuk membesar mengandungi bahan seperti DHA (Docosahexaenoic Acid), Omega 3, Omega 6 dan Lutein cukup baik untuk perkembangan anak mereka.

Bagaimanapun, lebih daripada tiga perempat (80 peratus) daripada ibu tidak menyedari ramuan di dalam susu terbabit.

Kaji selidik itu mendedahkan 55 peratus ibu yang kerap membaca label produk makanan yakin kandungan tinggi bagi satu ramuan tertentu di dalam susu untuk membesar adalah lebih baik untuk anak mereka.

Hasil kajian itu menunjukkan 68 peratus ibu bergantung sepenuhnya kepada saranan ahli keluarga dan kawan dalam pembelian susu untuk membesar anak mereka, 42 peratus ibu pula meminta pandangan doktor mengenai produk susu yang bagus untuk anak mereka manakala 23 peratus mendapat maklumat daripada penyelidikan sendiri.

“Jadi, kepada semua ibu bapa, selepas ini apabila anda beli-belah di pasar raya, perhatikan dengan terperinci apa yang ingin anda beli.

“Baca panel pemakanan pada label dan fahami bagaimana semua ramuan yang digunakan boleh memberikan khasiat betul kepada anak anda. Biarlah diri anda sendiri yang menentukan bagaimana anak anda harus dibesarkan dengan cara sihat,” katanya.

Sesuatu yang positif hasil daripada kaji selidik itu ialah kebanyakan ibu tahu makanan segera bukan diet terbaik untuk anak mereka.

Sebanyak 81 peratus ibu jarang atau tidak pernah memberi makanan segera atau minuman berkarbonat kepada anak mereka.


Berikut beberapa nasihat praktikal untuk diikuti ketika membaca label pada produk makanan:

  • Jangan beli makanan hanya kerana anda sukakan pembungkusannya. Sebagai ibu bapa prihatin, sentiasa bandingkan produk dengan membaca panel maklumat makanan.

  • Apabila membandingkan kandungan nutrisi, anda boleh tahu yang mana satu mempunyai kadar nutrien lebih tinggi atau rendah.

  • Buat perbandingan berdasarkan jumlah nutrien yang terkandung dalam setiap 100 gram atau 100 mililiter produk terbabit. Saiz hidangan mungkin tidak sesuai untuk dijadikan perbandingan kerana ia mungkin berbeza antara jenama.

  • Untuk tambahan, jangan buat pemilihan untuk membeli jenama tertentu berdasarkan satu nutrien saja (contohnya jumlah tenaga atau kandungan lemak), tetapi pertimbangkan juga nutrien lain (seperti protein atau kalsium) yang dipaparkan pada panel maklumat nutrisi.

  • Jika anda memerlukan maklumat lanjut mengenai panduan menggunakan label maklumat pemakanan, orang paling sesuai untuk memberi nasihat ialah pakar nutrisi atau pakar diet.


    Sebenarnya, ibu bapa mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan pemakanan anak kecil:

  • Tabiat pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak bermula daripada rumah.

  • Ibu bapa perlu memupuk tabiat makan sihat pada tahun awal perkembangan anak mereka.

  • Ibu bapa perlu menunjukkan teladan dalam pengambilan makanan sihat dan seimbang.

  • Ibu bapa perlu memperkasakan pengetahuan mereka bagi memahami piramid makanan dan mengamalkan seperti yang dicadangkan untuk keluarga.

  • Mereka juga perlu pantau berat dan tinggi dan indeks jisim tubuh (BMI) anak mereka setiap enam bulan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai nasihat kesihatan, layari laman sesawang Persatuan Pemakanan Malaysia di www.nutriweb.org.my.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: