SELEPAS mengharungi gelombang serangan baru-baru ini di Baghdad, Iraq, para intelektual telah mencari perlindungan di sebuah pasar yang dianggap sebagai oasis bagi mereka.
Mutanabi Street menyingkap pelbagai imbauan sejarah tersendiri bagi para intelektual itu, apatah lagi ketika berdepan tahun-tahun yang penuh huru-hara di ibu kota berkenaan.
Pada setiap hari Jumaat, kawasan ini akan lebih 'hidup' apabila pasar buku tersebut menarik minat para pejalan kaki untuk memilih bahan bacaan daripada buku-buku agama sehingga puisi karya penulis Arab.
Selain mencari bahan bacaan, terdapat juga orang yang sekadar duduk sambil menghirup teh lemon panas di kafe Shabander.
"Saya telah mengunjungi tempat ini sejak 30 tahun lalu. Setiap hari Jumaat, saya akan bangun dari tidur dan berkata tidak akan datang lagi ke kawasan ini.
"Bagaimanapun, Mutanabi ibarat kekasih, ia akan kembali menggoda anda," kata Kamil Abdulrahim al-Saadawi sambil tangannya memegang beberapa buah buku yang baru dibeli di kawasan berkenaan.
Penyair terulung
Mutanabi Street telah dirasmikan pada tahun 1932 oleh Raja Faisal I dan dinamakan sempena salah seorang penyair terulung abad ke-10 iaitu Abu al-Tayyib al-Mutanabi, yang dilahirkan di Iraq.
Ia dianggap rakyat Iraq sebagai hab intelektual dunia Arab malah sejak sedekad lalu menjadi titik pertemuan penulis-penulis, artis-artis dan intelektual-intelektual merentasi ibu kota berkenaan.
Di salah satu sudut hujung di jalan sepanjang kurang daripada satu kilometer itu terdapat sebuah tugu penyair manakala terdapat gerbang dengan ukiran hasil karya Mutanabi bertentangan jalan tersebut.
Di tugu itu tertera: "Padang pasir memahami saya, malam dan lelaki-lelaki gunung, pertempuran dan pedang, kertas dan pen."
Seorang usahawan, Saadawi, 59, menambah: "Mutanabi Street tidak ada kena-mengena dengan realiti Iraq. Ia merupakan pulau terpencil. Impian Iraq kami.
"Tatkala berada di dunia luar, kami didatangi keganasan dan ahli-ahli politik yang tidak bijak. Itulah realiti Iraq kami. Apabila berada di sini, ia adalah Iraq yang kami impikan," katanya.
Sehari sebelum itu, seramai 42 orang telah terbunuh dalam keganasan di seluruh negara. Para penggubal undang-undang negara berkenaan akhirnya menamatkan persengketaan dan mencapai persetujuan mengenai perbelanjaan persekutuan yang dibangkitkan sejak berbulan-bulan lalu.
Sungguhpun Mutanabi Street menjadi buah mulut sebagai Iraq yang ideal, ia sama sekali tidak imun daripada kekejaman pertumpahan darah yang memusnahkan ibu kota negara berkenaan semasa pencerobohan pada tahun 2003.
Pada 5 Mac 2007, seorang pengebom berani mati telah meletupkan traknya di Mutanabi Street berdekatan Tebing Timur Sungai Tigris sehingga mengorbankan lebih 30 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 60 orang. Ia turut memusnahkan kedai-kedai di kawasan berkenaan.
Memori pahit
Serangan yang dilakukan itu turut menyebabkan kafe Shabander rosak teruk dan menyebabkan lima anak lelaki pemiliknya meninggal dunia. Lebih menyedihkan, isterinya turut mengalami cacat penglihatan akibat terkejut dengan serangan itu dan menghembuskan nafas terakhir beberapa bulan selepas tragedi itu.
"Tragedi itu merupakan memori paling pahit di jalan ini. Saya sedang dalam perjalanan dari Najaf dan apabila tiba di kawasan ini, orang ramai memberitahu terdapat letupan yang dahsyat di Baghdad," kata Abu Rabea, yang memiliki kedai buku di Mutanabi Street hampir 40 tahun.
Sambil meletakkan tangan di dahi, dia mula menangis: "Kawan-kawan saya sudah tiada. Saya kehilangan ramai kawan. Kehidupan berubah sama sekali selepas kejadian itu."
Jalan yang menyingkap pelbagai nostalgia itu hanya kembali normal pada tahun 2008. Bagaimanapun, pemilik kafe, Mohammad al-Khashali, 80, hanya membuka semula kafe tersebut pada bulan Februari 2009. Pada mulanya, kafe yang diasaskan pada tahun 1917 itu merupakan sebuah firma penerbitan.
Kini, setiap hari Jumaat, Mutanabi Street sentiasa kelihatan sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk urus niaga gerai-gerai di tepi jalan yang dipenuhi bahan bacaan.
"Apa yang membuatkan kami gembira berada di kawasan ini adalah kerana di sini sangat kurang sikap tidak bertoleransi dan kebencian. Mutanabi merupakan tempat terbaik budaya negara ini," kata Jamal Saya yang menjalankan perniagaan buku undang-undang sejak 25 tahun lalu.
Apabila berada di jalan berkenaan, terdapat buku-buku yang dijual pada harga AS$0.20 (60 sen) sehingga lebih AS$9 (RM27).
"Saya menyukai buku, kesemua buku ini milik ayah saya," kata Ibrahim, 14, yang cuba menarik perhatian orang ramai membeli buku-buku tersebut pada harga murah.
"Saya menghabiskan masa terluang di jalan ini bersama buku-buku. Saya ingin membesar di kawasan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: