Sunday, April 22, 2012

Gabung 4 jenis sukan

BAGUS...Nurul Diyana berharap lebih ramai penuntut IPTA menyertai racketlon.
BAGUS...Nurul Diyana berharap lebih ramai penuntut IPTA menyertai racketlon.

MENCABAR dan luar biasa. Ini boleh dirumuskan mengenai sukan racketlon yang menuntut tahap kecergasan mental dan fizikal ke tahap tertinggi buat pemainnya.

Nama racketlon mungkin asing kerana ia baru beberapa tahun diperkenalkan di Malaysia dan ramai peminat sukan belum memahami aspek permainan berasal dari England ini.

  • Foto

    CABARAN...Lam Kian Yip diamanahkan sebagai timbalan ketua pengarah projek kejohanan racketlon anjuran kelab skuasy UKM, baru-baru ini.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    SENARAIKAN...Mohd Saiful yakin racketlon akan mendapat sambutan jika diberi pendedahan sewajarnya.

Permainan ini menggabungkan empat jenis sukan berteraskan raket iaitu badminton, ping-pong, tenis dan skuasy, dan pemain perlu beraksi dalam semua acara secara berterusan.

Pusingan pertama sukan ini dijalankan mengikut sistem kalah mati iaitu pemain berdepan lawan sama tanpa henti dalam semua acara berkenaan.


Cara dan peraturan empat sukan terbabit tidak berubah, tetapi pemarkahan mata diberikan kepada pemain berdasarkan keputusan perlawanan mereka dalam semua acara.


“Apapun pemain yang kalah tetap mendapat mata berdasarkan keputusan perlawanan mereka. Ini sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka menebus kekalahan dalam aksi pertama dengan memenangi acara seterusnya.

“Pemenang ditentukan menerusi kutipan mata tertinggi yang diperoleh dalam semua empat acara sebelum mara ke pusingan seterusnya,” kata Lam Kian Yip, 22.

Menurut pelajar jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi ini, permainan ini mungkin nampak mudah secara sistematik tetapi hakikatnya ia menuntut kecergasan mental dan fizikal di tahap tertinggi untuk menyertainya.

Katanya, cabaran sukan ini sama seperti acara triatlon yang memerlukan peserta menamatkan setiap acara untuk mara ke peringkat berikutnya.

“Mereka yang tiada pengalaman dan mahu mencuba sukan ini dinasihatkan tidak terus melakukannya. Perkara terpenting perlu dilakukan ialah meningkatkan kecergasan fizikal dan mental sekali ganda.

“Beberapa rakan menjadi ‘mangsa’ sukan ini akibat melakukan persediaan sambil lewa dan tidak serius apabila pengsan serta pitam ketika baru beraksi dalam acara kedua,” katanya.

Justeru, dia menasihatkan orang ramai tidak memandang mudah permainan ini kerana seseorang pemain itu dianggap hebat jika berjaya melengkapkan semua acara, biarpun tewas.

Menyedari racketlon masih baru dalam arena sukan negara ini, Kian Yip berharap pihak bertanggungjawab membuat pendedahan lebih meluas mengenainya.

Katanya, pembabitan UKM dalam memperkenalkan sukan ini di peringkat kebangsaan diharap membuka mata semua pihak, terutama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain untuk turut sama berganding bahu.

“Penganjuran Kejohanan Racketlon UKM 2012 baru-baru ini julung kali diadakan oleh mana-mana IPTA tempatan. Biarpun pernah dianjurkan oleh beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kami berharap UKM menjadi perintis buat IPTA.

“Sukan ini paling sesuai disertai penuntut universiti seperti saya kerana ia mempunyai banyak manfaat bukan saja daripada aspek fizikal, malah membantu pembelajaran,” katanya yang mula aktif dalam sukan racketlon dua tahun lalu.

Pendapat itu dipersetujui Nurul Diyana Shariff, 25, seorang daripada 20 rakan sekuliah Kian Yip yang aktif mengembangkan sukan ini di UKM.

Kata pelajar jurusan sains nuklear ini, umum mengetahui kecerdasan mental bermula daripada kecergasan diri dan racketlon membantu membawa kedua-dua aspek itu ke tahap baru.

“Saya akui racketlon sukan paling mencabar pernah saya sertai kerana bukan saja memerlukan stamina tinggi, malah ketahanan mental turut diuji.

“Bayangkan tahap kepenatan dialami setiap pemain untuk mara ke pusingan seterusnya apabila terpaksa bermain tanpa henti ada ketikanya dalam masa sehari, bergantung kepada jumlah peserta satu-satu pertandingan itu,” katanya.

Sementara itu, juara perseorangan dan beregu wanita Kejohanan Racketlon UKM 2012, Jisha Liang Chay Yi, 21, berkata, dia melakukan persediaan selama lima bulan untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, fokus latihan sepanjang empat bulan pertama tertumpu kepada usaha meningkatkan kemahiran dan teknik permainan setiap acara diikuti persediaan mental pada bulan terakhir.

“Kekuatan mental membantu saya menewaskan Nurul Diyana pada perlawanan akhir kerana tenaga saya sudah habis ketika itu.

“Mental kuat membolehkan saya bertenang dan menilai situasi permainan serta lawan sebelum mengubah corak permainan lebih kepada taktikal berbanding fizikal untuk menang,” katanya.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Airee Afiq Abd Rahim, 23, pula berkata, selain menguji ketahanan rohani dan jasmani, racketlon membina interaksi sosial bagus, terutama di kalangan penuntut universiti.

“Apabila seseorang itu bermain racketlon, dia secara tidak langsung akan berkenalan dengan pemain daripada cabang sukan lain. Saya sebagai contoh, sebelum ini hanya aktif dalam badminton dan skuasy tetapi apabila menyertai racketlon, saya mendapat rakan baru di kalangan pemain ping-pong dan tenis.

“Justeru, saya berharap IPTA lain akan mengikuti jejak UKM dengan menganjurkan kejohanan sukan ini pada masa depan kerana melaluinya juga dapat memupuk hubungan silaturahim sesama penuntut berlainan universiti,” katanya.

Harapan sama turut diluahkan Mohd Saiful Mohamed yang berpendapat sukan ini mampu diketengahkan lebih jauh jika diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, langkah pertama ke arah itu ialah menyenaraikan sukan ini dalam kalendar acara sukan tahunan sukan universiti atau lebih baik lagi, di peringkat kebangsaan.



PROFIL 1:

NAMA: Lam Kian Yip
UMUR: 22 tahun
ASAL: Selangor
JURUSAN: Undang-undang
PENGALAMAN BERSUKAN: Tujuh tahun

PENCAPAIAN: Juara Kejohanan Skuasy Anjuran Sportshorizon 2010 dan juara Skuasy SUKEM UKM 2012


PROFIL 2:

NAMA: Nurul Diyana
Shariff
UMUR: 25 tahun
ASAL: Selangor
JURUSAN: Sains nuklear
PENGALAMAN BERSUKAN: Sejak sekolah rendah

PENCAPAIAN: Juara Berkumpulan Skuasy Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2006


PROFIL 3:

NAMA: Mohd Saiful Mohamed
UMUR: 24 tahun
ASAL: Johor
JURUSAN: Mekanikal Pembuatan
PENGALAMAN BERSUKAN: Tiga tahun

PENCAPAIAN: Juara Skuasy Hari Terbuka UKM dan naib juara Skuasy Berkumpulan SUKEM 2012


PROFIL 4:

NAMA: Jisha Liang Chay Yi
UMUR: 21 tahun
ASAL: Sabah
JURUSAN: Ekonomi
PENGALAMAN BERSUKAN: Sejak sekolah rendah

PENCAPAIAN: Juara Skuasy Sukan Wanita Kebangsaan 2005, Juara Skuasy Berpasukan Wanita MSSM Bawah 15 Tahun 2006, juara Skuasy Berpasukan Wanita MSSM Bawah 18 Tahun 2007, juara perseorangan dan beregu wanita Kejohanan Racketlon UKM 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: