Saturday, April 7, 2012

Ford B-MAX: MPV Kompak AS


B-MAX tampil dengan rekabentuk luaran yang kemas dan tidak membosankan.


KEMELESETAN ekonomi global sebenarnya satu kejutan daripada tidur untuk beberapa pengeluar kereta. Apabila berdepan masalah, mereka sedar daripada lena dan kembali bangkit. Masa itu barulah eksekutif-eksekutif tinggi sedar yang strategi digunakan selama ini adalah salah dan merapu.

Sindrom syok sendiri memang dipegang oleh firma-firma berjaya atau yakin mereka sudah berada di landasan yang betul. Sudahnya, apabila sambutan pasaran merudum atau ramai bakal pembeli beralih ke jenama lain, barulah strategi diubah.

Ford sebagai syarikat pertama yang menghasilkan kereta dengan skala besar juga tidak dapat lari daripada situasi sama. Perhatikan contoh ini. Model Ranger adalah pembuka jalan kepada populariti trak pikap di Malaysia. Tidak pernah terfikir pada masa itu, trak pikap akan berjaya sebagai kenderaan dwikegunaan sama ada untuk kerja atau famili.

Namun Ford berjaya menerokanya. Berikutan sambutan yang hangat, pengeluar-pengeluar lain mengeluarkan trak pikap masing-masing. Dilawan hebat oleh Mitsubishi Storm dan kini carta trak pikap paling laris dipegang oleh Toyota Hilux.

Pada waktu itu, entah kenapa Ford mengambil masa yang begitu lama untuk menghasilkan model pengganti. Mujur kini mereka sudah sedar dan Ford bakal melancarkan Ranger serba baharu tidak lama lagi.

Fenomena Ford kini kembali. Jika diperhatikan di jalan-jalan raya sudah banyak Ford Fiesta diselangi barisan-barisan jenama popular lain seperti Proton, Perodua, Toyota dan Honda.

Bukan setakat itu, di kawasan rumah saya sendiri sudah ada pusat jualan dan servis Ford. Ini petunjuk makmurnya bisnes Ford sekarang. Mereka telah berjaya mengeluarkan produk yang betul, untuk pasaran yang betul dan pada masa yang betul.

Berbeza dengan pengeluar daripada Amerika Syarikat (AS) lain yang lazimnya tampil dengan kereta-kereta besar berenjin V, Ford sudah biasa mengeluarkan kereta mengikut citarasa global. Itulah sifir tepat untuk terus kekal dalam survival bisnes automotif. Terkini di United Kingdom (UK), Ford memperkenalkan B-MAX, sebuah MPV kompak dengan sesaran enjin 1.4 liter.

Dengan B-MAX, Ford nampak bangga dengan inovasi pintu gelongsornya yang unik. Pada sebelah sisi, B-MAX tidak mempunyai tiang tengah. Ciri itu membolehkan ruang untuk akses penumpang menjadi lebih luas.

Apa yang Ford lakukan adalah menggabungkan struktur tiang tersebut pada pintu hadapan dan sisi, berbanding binaan tradisional iaitu tiang pada badan kenderaan. Hasilnya, bukaan ruang akses penumpang lebih besar iaitu 1.5 meter lebar.

Keluasan tersebut membolehkan penumpang memasuki tempat duduk belakang dengan mudah. Selain senang untuk memuat dan menurunkan barang-barang.

Pintu gelongsor pada kedua-dua belah sisi itu juga sangat berguna di jalan yang sibuk dan ruang parkir yang sempit. Sebabnya, penumpang tidak perlu menguak pintu. Paling menarik, pemandu dan penumpang hadapan boleh memasuki ruangnya tanpa perlu membuka pintu hadapan.

ECOnetic Technology

Selain itu, B-MAX turut menawarkan penggunaan minyak yang efisien melalui ECOnetic Technology. Para pembeli B-MAX mempunyai beberapa opsyen enjin. Antaranya ialah enjin tiga silinder Ford EcoBoost.


PINTU sisi unik yang membuatkan B-Max berbeza dengan MPV kompak lain di pasaran.


Enjin tersebut boleh didapati dengan dua kuasa output sama ada 100PS atau 120PS. Enjin petrol lain yang ditawarkan ialah 1.4 liter Duratec berkuasa 90PS dan 1.6 liter Duratec berkuasa 105PS. Ia dipadankan dengan transmisi Powershift Ford enam kelajuan automatik dengan teknologi klac berkembar termaju.

Bagi mereka yang mahukan enjin diesel, Ford menawarkan dua versi enjin Duratorq TDCi. Versi pertama ialah 1.6 liter berkuasa 95PS. Sementara versi kedua pula ialah 1.5 liter berkuasa 75PS. Aneh bunyinya MPV kompak begini ditawarkan enjin diesel.

Tetapi begitulah trendnya di Eropah, mereka lebih gemar enjin diesel. Pastinya ia lebih menjimatkan dan bersih berbanding enjin diesel di pasaran tempatan. Teknologi enjin diesel dunia sebenarnya telah maju. Malangnya, senario pasaran dan undang-undang negara tidak memberi pemahaman sebenar mengenai hakikat itu.

Pakej ECOnetic Technology Ford pula didatangkan standard pada semua varian B-MAX. Antara peralatannya ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) yang menggunakan kurang kuasa berbanding sistem hidraulik.

Peralatan lain ialah Gear Shift Indicator yang memberi isyarat untuk menukar gear pada masa yang paling efisien. Sistem informasi pemandu iatu Ford Eco Mode pula dapat membantu pemandu untuk memandu dengan cara lebih ekonomikal. B-MAX turut dilengkapi dengan Smart Regenerative Charging yang dapat mengecas semula bateri pada poin paling ekonomikal dalam kitaran operasi enjin.

Kesan kemelesatan ekonomi global bukan setakat mempengaruhi cara bisnes pengeluar automotif. Malah memberi kesan kepada pengguna. Mereka kini tidak mewah berbelanja dan lebih berhati-hati jika hendak mengeluarkan wang.

Kereta yang tidak efisien perlu diganti. Salah satu caranya adalah dengan mengecilkan sesaran enjin (downsizing). Hendak tergelak pun ada apabila Ford yang berasal dari AS dan mewah dengan minyak kini memberi fokus kepada kereta kompak dan enjin kecil. Tetapi itulah hakikatnya, syarikat yang syok sendiri dan hanya fikir dirinya sendiri sahaja yang betul lebih cepat untuk bungkus, dalam erti kata lain, bankrap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: