Saturday, April 7, 2012

Filem Perancis cetus inspirasi



KISAH cinta Dain Iskandar Said terhadap filem bermula ketika dia baru berusia 15 tahun. Berpeluang menuntut di sebuah sekolah di Eropah yang mewajibkan semua pelajarnya melalui satu ujian kecerdasan intelektual (IQ) bagi melayakkan diri sebagai pelajar sekolah tersebut, membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Di sekolah itu, para pelajar diwajibkan mempelajari bahasa Latin dua kali sehari dalam tempoh sejam setiap sesi.

Subjek itu menyebabkan Dain berasa bosan walaupun mengetahui betapa penting bahasa Latin dalam dunia linguistik Eropah.

Jadi, dia pun kerap hilang dari bangkunya setiap kali sesi pembelajaran subjek tersebut.

Di persekitaran sekolahnya, terdapat sebuah pawagam yang khusus menayangkan filem-filem seni terutama dari Perancis. Panggung wayang itu menjadi destinasi Dain lebih-lebih lagi pada musim panas membahang.

Sangka Dain, filem-filem yang ditayangkan di panggung itu memaparkan gambar-gambar lucah kerana umum mengetahui filem Perancis sebegitu.

Karya-karya seni hasil arahan pengarah seperti Jean-Luc Godard ditayangkan. Bagaimanapun, ia amat sukar untuk difahami terutama bagi seorang remaja sepertinya ketika itu.

"Saya jadi marah kerana tidak faham apa yang cuba disampaikan dalam filem-filem sebegitu. Mesti ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh pengarah.

"Tidak mungkin penerbit sanggup mengeluarkan duit semata-mata untuk membikin sebuah filem yang tidak ada apa-apa. Mesti ada sesuatu," ulang Dain berkali-kali ketika ditemui di rumahnya di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Kediaman itu juga dijadikan Dain sebagai pejabat syarikat perfilem an Apparat.

Sejak itu, dia mula belajar secara sendiri mengenai filem, falsafah dan pemikiran dengan cara pembacaan. Kebanyakan buku-buku dibeli di kedai buku terpakai sekitar London.

Dain merupakan pengarah yang mencetuskan polemik dalam media. Masing-masing membahaskan pendapat mereka mengenai Bunohan dalam bentuk ilmiah dalam kolum atau blog.

Sesungguhnya, dia seorang pengarah filem yang mempunyai gaya tersendiri dalam menterjemah cerita dan perasaan melalui medium yang dikuasainya iaitu filem.


DAIN menerangkan shot yang mahu diambil kepada pengarah jurukamera, Charin 'Tong' Pengpanich.


Menggemari karya pengarah Uwei Shaari dan Martin Scorsese, gaya Dain terlihat melalui kerja-kerja kamera, teknik pencahayaan dan komposisi yang digunakan dalam Bunohan.

Berpenampilan ringkas dengan hanya berbaju T putih dan berseluar kargo ketika ditemui pada hujung Mac lalu, dia pasti menjadi begitu ghairah setiap kali membicarakan perihal filem.

Memori ayah

Apabila hal keluarga diutarakan, memori mengenai ayahnya, Allahyarham Mohamad Said Zain yang berasal dari Besut, Terengganu, meluncur laju daripada lidah Dain.

Lantaran tuntutan pekerjaan ayahnya yang bertugas dengan Wisma Putra menyebabkan mereka sekeluarga hidup merantau dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan sehingga ke Mesir.

Menurut Dain, terdapat sedikit perasaan kecewa dalam diri arwah ayahnya kerana tidak dapat menyambung pelajaran. Ayah Dain bercita-cita menjadi seorang peguam.

Tambahan pula, arwah ayah Dain tidak dapat belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kerana Perang Dunia Kedua meletus. Dia disorokkan oleh datuk Dain kerana ditakuti ditangkap untuk dijadikan pekerja jambatan maut di Burma.

"Ketika ayah berumur 38 tahun dan memiliki tiga orang anak, dia mengambil keputusan berhenti kerja dan merantau ke London untuk belajar di sana," kata Dain yang kini berusia awal 50-an.

Di ruang tamu rumahnya yang dihiasi dekorasi antik, Dain memberitahu, ayahnya merupakan antara individu yang terlibat dalam menjalankan proses damai Malaysia dengan Indonesia ketika konfrontasi berlangsung.

Tiada linangan air mata, tetapi setiap perincian perjalanan hidup ayahnya mampu diingati Dain. Akuinya, hubungan dia dan ayahnya tidak begitu baik.

Barangkali hobinya yang gemar menonton filem dan membaca buku, disifatkan oleh ayahnya sebagai aktiviti tidak memberi manfaat.

Berbanding ibunya yang bekerja sebagai guru bahasa Inggeris, Dain menggambarkan wanita tersebut sebagai seorang yang amat menyokong setiap apa yang diminatinya.

Disebabkan kerap berselisih faham, mendorong Dain hidup berdikari ketika berumur 17 tahun sebaik tamat pengajian peringkat menengah.

Hidup bergantung pada kudrat sendiri memberi kebebasan kepada Dain menerokai bidang yang diminati.

Sebelum bergelar pengarah, Dain telah terlibat dalam bidang penulisan dan lukisan selama 14 tahun. Di Malaysia pula, dia bekerja dengan Shuhaimi Baba sebelum bergelar pengarah.

Dain mengumpama kehidupannya dari saat menyedari kecintaan terhadap filem sehingga benar-benar bergelar pengarah filem begitu bengkang-bengkok.

Belajar formal

Selepas sekian lama menjalani kehidupan sebegitu, timbul keinginan dalam diri Dain untuk menuntut pelajaran secara formal dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

Dia melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian filem di Universiti Westminster, London pada tahun 1986.

Sebagai persediaan untuk mula belajar dan mendapatkan tempat di universiti itu, Dain berhempas-pulas mengumpul wang dengan melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa. Selain sebagai perbelanjaan, ia juga bagi membiayai pembikinan filem pendek yang dijadikan syarat kemasukan.

Selama enam bulan dia menjalani rutin sebagai pembersih rumah orang kaya London pada waktu pagi dan pelayan restoran pada waktu petang.

Gaji pembersih rumah sangat mahal manakala bekerja di restoran, Dain boleh mendapat wang tip dan makanan percuma.


DAIN (kanan) membincangkan papan cerita Bunohan bersama-sama tenaga produksi ketika filem itu berada pada peringkat praproduksi.


Pada sebelah malam pula, Dain bekerja sebagai porter di sebuah hotel dengan idea dia dapat mencuri-curi masa untuk tidur.

Secara teori, apa yang dipraktikkan oleh Dain itu kedengaran sangat menarik. Tetapi, menurutnya, masalah berlaku apabila dia tersilap langkah dengan bekerja di hotel yang terletak di Victoria Station, London.

"Suasananya seperti di Puduraya yang sesak dengan orang ramai setiap masa malah, pelacur pun ramai ke situ. Hampir setiap masa ada bas yang tiba," tutur Dain.

Idea yang dirancang Dain menjadi kucar-kacir maka, masalah kurang tidur kerap menghantuinya. Sehingga banglo tempat dia bekerja menjadi tempat tidurnya pada waktu siang.

Pernah terjadi satu peristiwa, Dain terjaga daripada tidur akibat terlalu letih dan dia mengalami hilang ingatan sementara. Ia suatu perasaan yang ganjil dan tidak disukai Dain.

"Akhirnya, saya dipecat untuk ketiga-tiga pekerjaan tersebut," kata Dain disusuli dengan hilai tawa.

Dia bernasib baik kerana wang yang dikumpul sudah mencukupi, manakala untuk filem pendeknya, dia menebalkan muka meminta lebihan filem di syarikat produksi.

Selepas tinggal di London selama 25 tahun, dia kembali semula ke tanah air. Tindakan yang menimbulkan rasa pelik pada sesetengah ahli masyarakat.

"Saya pernah menetap di Tumpat, Kelantan sehingga umur tujuh tahun. Tetapi pengalaman di Kelantan umpama mitos bagi saya kerana ia benar-benar berada dalam pemikiran saya sehingga kini," katanya.

Bangsa

Ketika membesar di situ, dia kerap mengikuti seorang mak cik yang bekerja dengan keluarganya pergi ke tepi pantai untuk menonton pertunjukan wayang kulit dan main puteri.

Selepas pulang ke Malaysia, dia pergi semula ke semua tempat yang biasa dilawati ketika zaman kanak-kanak, tetapi imej-imej yang melekat dalam kepalanya sudah tidak wujud lagi, umpama sebuah mitos bagi Dain.

Berdasarkan perkataan yang keluar daripada Dain, rumpun Melayu mempunyai pelbagai definisi kerana jika dikaji setiap orang Melayu pasti mempunyai percampuran budaya terutama melalui perkahwinan dan penghijrahan.


PERNAH melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa semata-mata mahu menggapai cita-cita belajar di peringkat universiti.


Bagaimanapun, ia sesuai dengan idea pembinaan bangsa yang terbentuk melalui proses pembinaan. Ia berlaku di semua negara di dunia ini termasuk dirinya.

"Datuk sebelah ayah saya ialah orang Belanda campur Jawa yang berhijrah ke Terengganu, manakala ibu saya merupakan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur. Terdapat dua batang jalan sempena nama datuk dan moyangnya," ujar Dain yang turut mengakui barangkali terdapat bangsa asas dalam sesebuah negara.

Dua jalan di Kampung Baru itu ialah Jalan Abdul Manan Nordin sempena nama datuknya, manakala Jalan Haji Hashim daripada nama moyangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: