WARIS...generasi muda masyarakat Sabah yang lahir di Johor.
KEHIDUPAN susah, kurangnya pekerjaan serta tangga gaji rendah antara faktor utama masyarakat Sabah berhijrah, khususnya ke kawasan perindustrian di Semenanjung, termasuk Pasir Gudang.
Biarpun hanya bekerja kilang atau sebagai pengawal keselamatan, yang mana kerja sebegini bukan pilihan generasi alaf baru, mereka tetap mahukannya memandangkan gaji bulanan jauh lebih tinggi berbanding jika bekerja di negeri asal.
Difahamkan, penghijrahan masyarakat Sabah bermula seawal 1990-an lagi sebelum disusuli ahli keluarga lain. Biasanya khabar mengenai pendapatan lumayan atau kemampuan membantu keluarga di kampung menjadi kayu pengukur, sekali gus mendorong rakan-rakan serta penduduk kampung untuk turut berhijrah.
Selepas lebih 20 tahun dan proses perpindahan yang masih berterusan, kini mereka mampu membentuk komuniti Sabah di sini serta bebas mengamalkan budaya mereka yang diadaptasikan dengan kehidupan Semenanjung.Jainulla Aminulla, 62, misalnya mengambil keputusan untuk terus menetap di Pasir Gudang selepas berpindah ke situ sejak 1998.
Kesempitan hidupnya sekeluarga di Kampung Sepinong, Sandakan memaksanya mengambil keputusan berhijrah ke Johor.
“Kampung kami terletak jauh dari bandar Sandakan iaitu hampir 30 minit perjalanan dengan menggunakan bot laju. Oleh itu, kami hanya bekerja sebagai nelayan kerana ia kerja yang biasa dilakukan di situ.
“Berapa sangat pendapatan nelayan kecil seperti kami. Keperitan hidup semakin terasa apabila pihak berkuasa merobohkan kawasan penempatan kami disebabkan kehadiran ramai pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia yang membuat penempatan di kampung.
“Kesukaran hidup menyebabkan saya berpindah ke bandar dan bekerja kilang dengan gaji hanya RM9 sehari. Bayangkan, pendapatan kurang RM300 sebulan tidak cukup untuk saya membesarkan enam anak,” katanya ketika wartawan berkunjung ke rumahnya di Taman Bunga Raya, Masai, baru-baru ini.
Disebabkan tidak tahan dengan kesempitan hidup selain memikirkan masa depan keluarga serta anaknya, Jainulla mengambil keputusan pergi ke Semenanjung mencari pekerjaan dengan harapan mendapat gaji lebih besar.
Walaupun ketika itu sektor pekerjaan terjejas dan banyak syarikat tutup berikutan krisis ekonomi pada 1998, Jainulla membulatkan hati dan nekad mencari pekerjaan di Johor.
“Saya masih ingat, ketika itu saya datang seorang diri ke sini dan membawa wang untuk perbelanjaan sebulan. Saya tekad mencari kerja demi mengubah nasib kami sekeluarga.
“Alhamdulillah, tidak sampai sebulan, saya ditawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM700 sebulan. Dengan sewa bilik RM250 sebulan, saya berjimat cermat untuk mengumpul duit bagi membawa anak dan isteri berpindah ke sini,” katanya.
Menurut Jainulla, keputusan tinggal bersama keluarga dan meninggalkan kampung halaman diambil selepas mereka kehilangan rumah di Kampung Sepinong.
Lebih-lebih lagi, pendapatan kerja kilang sebanyak RM40 sehari di sini berbanding RM9 di Sabah turut mendorong mereka sekeluarga terus bermastautin.
Bagaimanapun, apabila umur Jainulla mencecah 55 tahun, syarikat lama terpaksa memberhentikannya sebelum dia mencari kerja di tempat baru.
“Mahu atau tidak, saya perlu bekerja untuk terus menyara hidup kami sekeluarga.
Anak pula mempunyai tanggungan masing-masing selepas mendirikan rumah tangga.
“Dengan gaji RM1,000, saya perlu menjelaskan ansuran bulanan rumah hampir RM700 dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan seharian kami,” katanya.
Bagi ibu tunggal, Nuriza Bahari, 50, penghijrahan ke Johor menuntut banyak pengorbanan. Menetap di tempat orang bukan menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan sepanjang masa seperti mana tanggapan biasa orang ramai.
“Banyak dugaan yang orang lain tidak tahu kerana mereka tidak pernah mengalaminya. Susah senang hidup kami tiada siapa tahu kerana hanya golongan seperti kami mengalaminya.
“Sejak berpindah ke sini lebih 20 tahun lalu, baru sekali kami pulang ke kampung halaman. Perasaan rindu pasti ada, namun disebabkan kewangan terhad kerana menyekolahkan anak, rasa rindu dipendam begitu saja.
“Bagaimanapun, hubungan kami tidak terputus kerana saya selalu berhubung dengan keluarga di Sabah melalui telefon hinggalah saya pulang ke kampung halaman bersama dua anak untuk melawat ahli keluarga, tahun lalu,” katanya.
Perjalanan hidup Nuriza ke Johor pada awalnya berjalan lancar. Dengan pendapatan mereka suami isteri, Nuriza mampu menyekolahkan anaknya sehingga ada yang berjaya menggenggam ijazah.
Namun, dugaan mula datang apabila suami tercinta meninggal dunia pada 2005 dan seluruh tanggungjawab membesarkan anak, termasuk mencari rezeki, terletak di bahu Nuriza.
“Ketika itu, semua anak masih bersekolah dan yang sulung pula melanjutkan pengajian di universiti tempatan. Boleh dikatakan saya hilang arah kerana kesempitan hidup dialami.
“Pendapatan saya yang tidak menentu serta seorang anak mendapatkan rawatan di hospital ketika itu menyebabkan kami sering kehabisan wang.
“Saya tidak mampu membayar sewa rumah. Anak sulung pula mahu berhenti belajar kerana tidak sanggup melihat penderitaan keluarga, namun saya dan adiknya tetap mahukan dia meneruskan pengajian sehingga tamat,” katanya.
Bagaimanapun, pengorbanan tetap perlu dilakukan apabila anak ketiga Nuriza mengambil keputusan tidak menyambung pelajaran sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya bekerja kilang bagi membantu menyara keluarga.
“Mujur jiran di sini faham masalah saya dan sudi menghulurkan bantuan seperti kopi dan beras, selain sedikit wang.
“Begitu juga tuan rumah yang sanggup membenarkan kami terus tinggal walaupun sewa rumah tertunggak ketika itu,” katanya.
Kini, kehidupan Nuriza mula berubah. Anak sulungnya berjaya menamatkan pengajian dan kini bekerja sebagai guru di kawasan berdekatan, manakala anak kedua menjadi pengurus sebuah kilang di Pasir Gudang.
Pastikan anak tamat tingkatan lima
KEBELAKANGAN ini, kebanyakan remaja mahupun kanak-kanak sentiasa mahukan kehendak mereka dipenuhi. Jika ibu bapa gagal berbuat demikian, mereka memberontak, tinggi suara serta ada yang sanggup lari daripada rumah sebagai tanda protes.
Berbeza pula dengan enam anak Lina Atai, 43, yang berumur antara enam hingga 18 tahun. Tidak seperti remaja lain, anak Lina akur menerima takdir hidup dialami mereka ketika ini.
“Setiap kali hendak membeli barang sekolah, termasuk membayar yuran atau buku, anak akan bertanya sama ada gaji ayah mencukupi atau tidak untuk perbelanjaan mereka seharian.
“Jika tidak cukup, anak hanya diam sebelum berlalu dan melakukan kerja rumah atau mengulang kaji mata pelajaran.
“Hati ibu mana yang sanggup melihat anak belajar dalam keadaan tidak sempurna, tetapi saya tidak berdaya bekerja kerana lumpuh separuh badan akibat penyakit angin ahmar,” kata Lina di Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, baru-baru ini.
Suami Lina, Zul Anlis Samidin, 47, pula hanya bekerja secara kontrak dan tiada pendapatan tetap.
Dia juga buta huruf kerana tidak pernah mendapat pendidikan ketika muda, sekali gus menyukarkan lagi usahanya mencari pekerjaan tetap selain mudah ditipu oleh majikan tidak bertanggungjawab.
“Memang kehidupan kami sukar, membesarkan anak yang masih kecil, ditambah pula keadaan saya yang tidak sempurna dua tahun lalu.
“Malah, saya sanggup tidak mendapatkan rawatan bagi penyakit saya semata-mata tidak mahu menambah perbelanjaan keluarga. Biarlah, asalkan kami sekeluarga boleh makan dari sehari ke sehari,” kata Lina.
Kisah hidup Lina di Sabah hampir sama dengan Jainulla dari Sandakan. Rumahnya yang terletak di perkampungan setinggan di Likas, Kota Kinabalu diroboh oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin.
Sejak itu, Lina mengambil keputusan berhijrah ke Johor dengan harapan dapat mencari sinar hidup baru untuk anaknya.
Namun, sinar itu belum ditemuinya. Kehidupan miskin serta pendapatan keluarga belum mencukupi buat menampung hidup mereka sekeluarga.
Malah, menurut Lina, dia belum menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak gadisnya yang menuntut di sekolah menengah berhampiran walaupun masuk bulan keempat anaknya belajar di tingkatan lima.
“Memang ada yang berpendapat yuran SPM murah. Lebih-lebih lagi yuran sekolah pula percuma ketika ini, tetapi ia masih mahal bagi kami.
“Pendapatan suami antara RM1,000 hingga RM1,400 sebulan tidak cukup selepas hampir separuh daripadanya digunakan untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air yang perlu dijelaskan setiap bulan.
“Selebihnya, perbelanjaan itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian anak ke sekolah dan barangan makanan di rumah selama sebulan,” katanya.
Disebabkan kerja secara kontrak, kadangkala suami Lina tidak bekerja beberapa bulan sementara menunggu kerja baru yang lain.
“Anak lelaki yang baru menerima keputusan SPM minggu lalu, turut membantu ayahnya dengan bekerja kilang. Sebelum ini dia pernah bekerja sambilan di bengkel, tetapi sering ditipu dan kadangkala tidak mendapat upah.
“Sedih melihat anak saya bersusah-payah bekerja selepas waktu sekolah, tetapi ada pihak sanggup mengambil kesempatan ke atasnya hanya kerana kami orang miskin,” katanya.
Bagaimanapun, anak kelapan Lina iaitu Zul Amri, 7, mendapat bantuan makanan percuma di sekolahnya dan ini sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung keluarga ini.
Selain itu, semua anak Lina jarang membeli baju baru kecuali ketika Aidilfitri.
Ini bermakna, hanya setahun sekali mereka berpeluang membeli baju baru, itupun bergantung pada pendapatan suaminya ketika itu.
Walaupun menyedihkan dan adakalanya air mata mengalir kerana tidak tahan menanggung kesedihan, itu semua tidak mematahkan semangat Lina untuk melihat anaknya terus mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga tingkatan lima.
“Bagi saya dan suami, pendidikan anak perlu diutamakan. Suami tidak mahu anak kami buta huruf sepertinya kerana bimbang mereka hidup susah apabila dewasa kelak.
“Seboleh-bolehnya kami mahu mereka belajar sampai pandai serta mendapat kerja yang jauh lebih baik daripada ayah mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: