SEBUT sahaja Bali, ramai antara kita pasti teringatkan keindahan pantainya yang memutih, indah dan mendamaikan. Kata orang, Bali adalah fantastik.
Bagi yang pernah menerjah Bali, pulau itu memang mengujakan dengan pelbagai aktiviti pelancongan. Malah, keunikannya sentiasa menjadi tanda ingatan sehingga ada yang mengabadikannya dalam hiasan rumah.
Meminjam inspirasi Bali, seorang usahawan, Eddy Tan, sanggup berhabis hampir RM1 juta untuk menghias restorannya bagi mencapai kualiti seperti kebanyakan restoran di Pulau Bali.
Restoran yang dikenali sebagai Bumbu Bali tersebut mendapat sentuhan abang iparnya, yang merupakan seorang warga Indonesia.
Cerita pengurus Bumbu Bali, Norshazmira Abu Bakar, 35, restoran itu beroperasi sejak Mei 2004 di Bandar Puteri, Puchong, Selangor.
Dalam tempoh lapan tahun, Bumbu Bali sudah mempunyai empat cawangan di sekitar Lembah Klang.
"Isteri Eddy merupakan wanita Bali dan dia mahu restorannya berkonsepkan suasana semula jadi. Abang ipar Eddy membantu mereka bentuk restoran ini selain mencadangkan set perabot, ukiran berasaskan kayu dan tradisi Bali.
"Antaranya, cicak tokek, patung wanita bali, serta beberapa haiwan peliharaan seperti kucing yang diabadikan dalam ukiran kayu," ujar Norshazmira.
Dia yang lebih mesra disapa Mira berkata, hampir 99 peratus koleksi dan set perabot di restoran berkenaan menampilkan ciri-ciri dan seni budaya kehidupan masyarakat Bali.
Beroperasi di bangunan dua tingkat, Bumbu Bali dioles rona coklat gelap hampir di keseluruhan restoran itu.
Payung
Menurut Mira, set meja makan di tingkat bawah dan atas restoran itu turut menggunakan warna coklat gelap.
|
|
"Semua meja makan ini eksklusif dan unik kerana diukir daripada kayu jati. Ia dipasang tanpa menggunakan skru atau nat dan diimport khas dari Indonesia.
"Di setiap penjuru restoran ini juga digantung bubu yang dijadikan hiasan siling," katanya.
Di sudut kanan restoran itu menempatkan barang-barang koleksi daripada ukiran kayu dan lukisan cat minyak serta payung pelbagai warna.
Payung berwarna putih dan kuning juga menjadi hiasan di Bumbu Bali tetapi ia bukanlah payung yang digunakan ketika hujan atau menahan terik mentari.
Menu wajib
"Biasanya payung menjadi simbol kemegahan dan digunakan masyarakat Hindu di Bali sewaktu upacara pemujaan atau menyambut orang kenamaan sahaja.
"Warna putih selalunya membawa lambang kemegahan, kesucian manakala kuning bermaksud kuasa atau berani," jelasnya.
Hiasan di Bumbu Bali bukan sekadar halwa pandangan tetapi Mira turut menjualnya jika ada pengunjung yang mahu membeli barangan tulen dari Bali tersebut.
Bercerita lanjut mengenai Bumbu Bali, Mira menjelaskan, nama 'bumbu' membawa maksud 'rempah-ratus' dalam kalangan penduduk Bali.
"Masakan penduduk Bali sentiasa berasaskan rempah-ratus yang asli dan sedap," ujarnya.
"Kita pasti teringatkan keindahan landskap yang berlandaskan alam semula jadi. Masakan Bali juga diwarnai pelbagai rempah-ratus" katanya.
Beberapa koleksi pelik dan mistik antaranya cicak tokek, kucing dan kuda laut setinggi 1.5 meter turut menarik perhatian penulis.
Menurut Mira, sebenarnya kesemua ukiran berbentuk haiwan ini hanya menunjukkan kemahiran kraf tangan masyarakat Bali, selain menjadi ole-ole untuk pelancong.
Tangga berlingkar menuju ke tingkat dua restoran ini dibina menggunakan kayu jati manakala pemegangnya dililit tali jut.
Sampai ke tingkat atas, pengunjung akan disambut koleksi keratan akhbar yang bercerita tentang keindahan Bumbu Bali.
Selain itu, poster Buddha serta patung kayu berukiran singa mengisi ruang di tepi tangga berlingkar.
Menyentuh aspek makanan, Bumbu Bali menghidangkan pelbagai makanan berasaskan rempah seperti serai, kunyit, limau kasturi dan cili padi.
Sate daging ayam atau daging lembu yang digumpal pada batang serai sebelum dipanggang dihidangkan dengan nasi uduk iaitu nasi dimasak bercampur keledek.
Kunjungan ke Bumbu Bali pasti tidak lengkap jika tekak tidak dibasahi minuman lemon grass mojito iaitu resipi minuman air bergas 7Up yang diadun serai, pudina dan sirap istimewa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: