Friday, April 13, 2012

Bruni, Trierweiler raih populariti pasangan



DEMAM pilihan raya mula melanda di Perancis selepas kempen pilihan raya Presiden Perancis bermula sejak 10 April lalu. Seramai 10 calon yang merebut jawatan tersebut dibenarkan menampal poster di tempat yang dibenarkan oleh pihak pentadbiran tempatan dan melakukan kempen di televisyen secara percuma buat julung-julung kalinya.

Pada tahun ini penganalisis politik di Perancis menjangkakan persaingan sengit antara Presiden Perancis yang ke-23 yang juga Presiden Parti Konservatif, Nicolas Sarkozy dan Presiden Parti Sosialis, Francois Hollande.

Apa yang menarik ialah paparan agensi media Barat dan media Perancis nampaknya bukan saja memberi tumpuan pada perebutan kuasa antara Sarkozy dan Hollande, malah turut berdiskusi mengenai calon yang layak bergelar Wanita Pertama Perancis. Justeru, Carla Bruni Sarkozy, 44, dan Valerie Trierweiler, 47, kini menjadi tumpuan.

Umum mengetahui Carla Bruni yang merupakan supermodel popular sekitar tahun 1990-an. Beliau ialah isteri ketiga Nicolas Sarkozy manakala Valerie Trierweiler pula pasangan Francois Hollande.

Sebelum ini, peranan mahupun populariti Wanita Pertama Perancis bukanlah isu penting dalam dunia politik di negara tersebut. Tidak seperti Amerika Syarikat (AS) yang memberi perhatian kepada jawatan Wanita Pertama Presiden. Sebaliknya, masyarakat Perancis lebih menitikberatkan soal calon presiden yang berkebolehan mentadbir dan menguruskan aspek ekonomi negara.

Tulang belakang

Namun situasi tersebut berubah selepas majalah Paris Match memaparkan koleksi foto keluarga bahagia Sarkozy bersama bekas isterinya, Cecilia Ciganer Albeniz dan anak-anak mereka sekitar tahun 2002.

Kesannya masyarakat Perancis mula melihat kedudukan isteri Presiden atau Wanita Pertama Perancis memainkan peranan penting dan menjadi tulang belakang dalam menentukan kejayaan seseorang Presiden itu.

Malangnya, perkahwinan Sarkozy bersama Cecilia bertahan selama 11 sahaja. Selepas menduda selama tiga tahun, Sarkozy mengambil keputusan mengahwini Carla Bruni yang dikenalinya pada satu majlis keraian.

Justeru, tempias populariti Wanita Pertama Perancis hari ini tertumpu kepada Bruni. Kelibatnya mengiringi Sarkozy dalam setiap acara dan lawatan rasmi sentiasa menjadi tumpuan pihak media. Ini termasuklah apabila Bruni menjalankan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin dengan menghadiri aktiviti-aktiviti kebajikan.

"Saya bahagia hidup bersama beliau yang bukan saja mesra rakyat, malah seorang yang bijak, berpengetahuan luas dan romantik. Tidak dinafikan jadual kerja Sarkozy amat padat tetapi kami sentiasa berusaha mencari masa berkualiti untuk keluarga.

"Sarkozy bertugas hampir 23 jam tanpa henti. Selain mesyuarat, beliau juga perlu menghadiri pelbagai acara rasmi dan aktiviti bersama masyarakat. Kadangkala saya bimbang sekiranya kesibukan ini menjejaskan tahap kesihatannya," jelas Bruni yang mengahwini Sarkozy pada bulan Februari 2008.

Carla Bruni merupakan anak kepada pasangan Marysa Borini dan Alberto Bruni Tedeschi. Ibunya merupakan pemain piano terkenal di Itali manakala bapanya seorang usahawan dan komposer muzik klasik.

Bruni dilahirkan di Turin, Itali tetapi berpindah bersama keluarganya ke Perancis pada tahun 1973. Mereka mahu menyelamatkan diri daripada ancaman penculik Red Brigades iaitu sebuah kumpulan pengganas Marxist-Leninist yang aktif pada waktu itu.

Bruni membesar di Perancis dan belajar di sebuah sekolah berasrama di Switzerland, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di sebuah kolej. Namun dia tidak menamatkan pengajian kerana ingin aktif sepenuh masa dalam dunia peragaan.

Sisi positif

Memiliki aura tersendiri dan wajah jelita menjadi tiket utama melonjakkan nama Bruni. Paling membanggakan, Bruni antara 20 model di dunia yang menerima bayaran tertinggi apabila memperoleh pendapatan sebanyak AS$7.5 juta (RM23.9 juta) setahun sekitar tahun 1990-an.

Pada tahun 1997, Bruni bersara daripada dunia peragaan dan terlibat dalam bidang muzik. Namun selepas mendirikan rumah tangga bersama Sarkozy, Bruni terus melupakan dunia glamor.

Daripada seorang model, penyanyi dan penulis lirik, kini dia memberi tumpuan sepenuhnya sebagai isteri kepada Presiden Perancis.

Pemerhati politik di Perancis berpendapat, Bruni antara wanita yang layak bergelar Wanita Pertama Perancis. Ibu kepada Aurelien Enthoven, 11 , dan Giulia Sarkozy, enam bulan disifatkan sebagai individu yang bijak, mampu membawa diri dan mudah mesra.

Malangnya, sisi positif yang ditonjolkan itu belum mencukupi untuk mempengaruhi sebahagian besar masyarakat Perancis yang telah terpalit dengan sisi negatif Bruni sebelum ini.

Sehingga kini ramai pihak mempertikaikan kredibiliti Bruni sebagai Wanita Pertama Perancis. Masyarakat menyifatkan imej Wanita Pertama ataupun isteri Presiden sewajarnya mempunyai personaliti dan latar belakang yang bersih.

Bagaimanapun sebelum ini, masyarakat didedahkan dengan isu hubungan sulit Bruni dengan ramai lelaki kenamaan dan selebriti terkenal seperti Mick Jagger, Eric Clapton, Kevin Costner mahupun jutawan, Donald Trump.


DUA pemuda melihat poster calon Nicolas Sarkozy (kiri) dan Marine Le Pen (kanan) yang merebut jawatan Presiden Perancis pada pilihan raya 22 April ini.


Bukan itu saja, pada bulan Mac 2008 ketika Bruni menemani Sarkozy dalam satu lawatan rasmi ke England, pasangan berkenaan berhadapan dengan kontroversi yang mencalarkan nama baik Sarkozy. Semuanya gara-gara gambar bogel Bruni yang diambil pada tahun 1993 di lelong di Rumah Lelongan Christie di New York.

Namun Sarkozy tetap mempertahankan isterinya tanpa mahu mengungkit kisah-kisah lama Bruni.

Sementara itu, Valerie Trierweiler turut disebut-sebut bakal menjadi Wanita Pertama Perancis kerana hubungannya sebagai kekasih Hollande.

Hollande atau nama sebenarnya François Gerard Georges Hollande merupakan setiausaha pertama dalam Parti Sosialis sejak tahun 1997 hingga 2008. Dia pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perhimpunan Kebangsaan Perancis untuk Correze, Datuk Bandar Tulle dari tahun 2001 hingga 2008 dan Presiden Majlis Ketua Correze.

Strategi Trierweiler

Hubungan cinta Trierweiler bersama Hollande mula serius pada tahun 2005, meskipun mereka saling mengenali antara satu sama lain ketika Trierweiler membuat liputan pilihan raya pada tahun 1988. Namun dua tahun lalu, Trierweiler dan Hollande secara rasmi menonjol di khalayak.

Ada pihak yang menyifatkan wanita kelahiran Angers, Perancis itu paling layak bergelar Wanita Pertama Perancis memandangkan dia mempunyai pengetahuan asas tentang politik dan pentadbiran negara.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu pernah menuntut dalam jurusan sejarah dan sains politik di Sorbonne, Paris. Trierweiler yang juga wartawan politik Perancis dan pernah berkhidmat di majalah Paris Match ketika berusia 23 tahun.

Pada November tahun lalu, Trierweiler mengambil keputusan untuk berhenti menulis tentang politik Perancis bagi mengelakkan persepsi negatif berhubung tulisannya.

Menyentuh mengenai strategi Hollande untuk memenangi pilihan raya, Trierweiler akan memastikan manifestasi yang diperjuangkan pasangannya itu memenuhi kehendak rakyat Perancis.

"Dalam ceramah politiknya, saya melihat Hollande lebih cenderung memperjuangkan isu pendidikan, isu pengangguran dalam kalangan generasi muda dan bayaran sama rata bagi golongan wanita.

"Antaranya menyarankan masyarakat saling menghormati perbezaan budaya dan etnik. Lagipun Hollande perlu bekerja keras kerana selain Sarkozy, dia juga berhadapan dengan pesaing Segolene Royal," ujar Trierweiler. Trierweiler turut mendorong kekasihnya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram dan memakai cermin mata berbingkai nipis supaya tampak segak sepanjang kempen pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: