Saturday, April 7, 2012

Bersikap optimis, pasrah

Aaron Aziz dan Shaheizy Sam
Aaron Aziz dan Shaheizy Sam

MEMANDANGKAN tidak mudah bagi menyatukan dua wajah popular ini dalam satu sesi fotografi, peluang bertemu mereka pada Siri Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Pasir Gudang, Johor Bahru, kira-kira dua minggu lalu, tidak dibiarkan begitu saja.

Bukan sekadar ingin berkongsi cerita dan perkembangan, namun melihatkan populariti mahupun pencapaian kedua-duanya sepanjang tahun lalu, tidak mustahil salah seorang dari mereka bakal membawa pulang trofi Bintang Paling Popular, ABPBH2011, malam esok.

Baik Aaron Aziz mahupun pemegang trofi itu tahun lalu, Shaheizy Sam, masing-masing punya pandangan dan perspektif sendiri.

Trofi adalah satu bentuk penghargaan yang akan hanya menyuntik semangat dinamik buat seseorang anak seni untuk memberikan yang lebih baik. Hebatnya, ABPBH adalah anugerah pilihan pembaca atau peminat sendiri dalam membuktikan sokongan mereka terhadap kerjaya seseorang artis yang produktif.


Bagaimanapun jika tiada rezeki untuk memegang trofi kemenangan, ia bukanlah menjadi satu kudis yang mengundang rasa pedih atau putus asa, sebaliknya ia diterjemah menjadi pembakar semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi.


Aaron yang dianggap mencetus fenomena sepanjang tahun lalu sehingga ketika ini, disebut-sebut calon paling layak bagi merangkul gelaran Bintang Paling Popular.

Mengakui ia boleh mengundang 'beban' dan rasa gusar, aktor kacak berusia 36 tahun kelahiran Singapura ini akui rasa terharu apabila dicalonkan dalam anugerah tahunan yang kini mencecah edisi ke-25 itu.

"Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kerana saya terus diterima sebagai calon dalam anugerah besar ini. Bagi saya, pihak penganjur nampak akan kehadiran saya dalam bidang lakonan ini dan memberi ruang sama rata kepada calon-calon lain untuk dipertandingkan.

"Namun saya sedar harapan yang diletakkan ke bahu saya oleh banyak pihak untuk menang apa-apa trofi adalah sesuatu yang berat. Bagi saya, semuanya terletak kepada peminat di luar sana dan terserahlah kepada mereka untuk memilih siapa yang mereka suka.

"Tugas saya adalah untuk terus berlakon dan memberikan yang terbaik. Selama ini saya berhijrah ke Kuala Lumpur semata-mata ingin mencari rezeki dan menunjukkan bakat saya.

Pengiktirafan untuk artis akan datang dengan sendiri dan bukan hak saya untuk meminta.

"Kalah menang, ia tidak akan mengubah niat saya untuk terus berlakon namun saya tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memangkah nama saya," katanya yang sebelum ini membintangi filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah dan filem fenomena Ombak Rindu.

Drama Nora Elena lakonan Aaron tayangan TV3 juga mencatatkan jumlah penonton antara yang tertinggi bagi drama bersiri selain teater lakonannya, Badai Semalam. Teater itu mengukir sejarah tersendiri apabila Istana Budaya (IB) penuh sesak dengan peminat yang ingin menonton.

Kemuncak kerjaya Aaron setakat ini pastinya menerusi filem arahan Osman Ali, Ombak Rindu selain KL Gangster yang meraih kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta.

"Tidak adil memberikan kesemua kredit itu kepada saya sedangkan setiap filem, drama dan teater itu adalah hasil kerjasama ramai pihak di depan dan belakang tabir.

"Kalau bukan kerana skrip yang baik, arahan serta gandingan pelakon-pelakon handalan, belum tentu sesebuah karya itu akan menjadi kegilaan ramai," katanya.

Tambah Aaron, andai rezeki berpihak kepadanya malam esok, trofi itu adalah kemenangan untuk dikongsi bersama peminat.

"Saya rasa Shaheizy Sam ada potensi sangat besar untuk terus memegang trofi itu sekali lagi kerana peminatnya sangat ramai dan kesemua filem lakonannya yang masih membuatkan panggung wayang sesak," ujar Aaron ditemani isteri tersayang yang juga pengurus kerjayanya, Diana Halik.

Dalam suasana riuh-rendah di belakang pentas pada Siri Jelajah ABPBH itu, Shaheizy yang mesra disapa Sam, masih gigih berkongsi perasaannya yang begitu seronok bertemu peminat dalam kembara tahun ini.

Bayangkan, meskipun tahun lalu, dia tidak berkesempatan langsung mengunjungi mana-mana destinasi Siri Jelajah ABPBH kerana terikat dengan jadual penggambaran ketata, namanya dia masih menjadi Bintang Paling Popular.

Lantas jelasnya, tahun ini adalah peluang terbaik untuknya membalas tanda sokongan peminat dan tidak pernah tertekan untuk memikirkan soal menang buat kali kedua.

"Kalau boleh, saya ingin bertemu setiap seorang peminat untuk bersalaman dengan mereka kerana saya masih terharu dan seronok dengan kemenangan tahun lalu. Bayangkan, peminat masih mengundi saya walaupun tidak berpeluang bertemu mereka. Justeru kali ini saya curi peluang untuk hadir ke setiap destinasi siri jelajah ini untuk mendekati peminat dan mengucapkan terima kasih atas sokongan.

"Saya tak pernah langsung terfikir soal nak memancing undi kerana sejak kecil lagi saya sudah berlakon kerana minat dan kesungguhan. Lakonan dan mencuba menghidupkan sesebuah watak dengan sebaik mungkin. Namun setiap trofi itu adalah satu bonus yang membuatkan saya jadi lebih bersemangat.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya terima dengan penuh rasa syukur atas sokongan peminat yang memangkah! Saya sendiri ada gerak hati bahawa Aaron akan menjulang trofi terhebat itu," katanya merendah diri.

Sam mula muncul sebagai pelakon pada usia 13 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa dan kemudiannya membintangi drama popular yang melonjakkan namanya, Pa'e, tiga tahun kemudian.

ABPBH2011 dengan tema 'Larger Than Life' bakal menggegarkan Arena of Stars, Genting Highlands, mulai 9 malam esok, secara langsung melalui TV3 dan Hot FM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: