NAMA Vera Wang sememangnya bukanlah label asing bagi pencinta fesyen. Ketelitian rekaannya dan disertai barisan koleksi aksesori termasuk haruman Vera Wang biasanya menjadi milik mereka yang benar-benar menghargai fesyen kelas atasan.
Baru-baru ini label itu menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan apabila pengacara popular, Marion Rose Caunter Abdullah, 30, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin, 27, membaluti tubuhnya dengan gaun eksklusif hasil sentuhan Vera Wang pada majlis resepsinya baru-baru ini.
Ramai pihak yang mengagumi dan menyifatkan hos program E! News Asia itu antara individu paling bertuah kerana berpeluang meraikan hari bahagia dalam persalinan gaun pereka tersohor Hollywood itu.
Siapa yang tidak mengenali Vera Wang. Wajah dan namanya sering menjadi dambaan mempelai yang bakal mendirikan rumah tangga. Kreativiti dan kekemasan menghasilkan busana pengantin yang elegan serta mewah menyebabkan Vera berjaya mencipta nama di New York, Amerika Syarikat (AS).
Selain menghasilkan koleksi gaun pengantin mengikut cita rasa pelanggan, Vera turut menawarkan koleksi gaun pengantin sedia pakai yang direka dalam konsep mewah dan glamor. Sebelum ini, pemerhati fesyen pernah menyifatkan kehadiran Vera Wang seumpama memberi nafas baru dan transformasi industri fesyen gaun pengantin.
Sebelum wujudnya label Vera Wang di Britain sekitar tahun 1999, tidak terdapat gaun pengantin yang direka terdedah di bahagian bahu.
|
|
Ternyata inisiatif dan kreativiti cetusan Vera disambut baik, malah rekaan tersebut semakin popular dan menjadi ikutan pereka gaun pengantin yang lain.
Tidak sangka
“Saya sama sekali tidak menyangka akan menceburkan diri dalam bidang fesyen, apatah lagi yang melibatkan rekaan gaun pengantin. Maklum, sesetengah pihak lebih cenderung menjual busana formal, pejabat atau koktel yang menjadi tumpuan pembeli setiap hari. Tidak seperti gaun pengantin yang hanya menerima kunjungan pelanggan pada musim perkahwinan.
“Namun, saya ada misi tersendiri. Saya ingin menghasilkan pakaian pengantin yang indah supaya ia membantu menyerlahkan seri penampilan si pengantin pada hari bahagia mereka,” ujar Vera, 62, yang mula mencintai dunia fesyen lantaran sering mengikuti ibunya menyaksikan pertunjukan fesyen di Paris ketika dia masih kanak-kanak.
Minatnya semakin memuncak apabila dia bertugas sebagai editor di majalah Vogue. Kesempatan bertemu dengan kumpulan fesyen terkenal antarabangsa saban waktu tidak disia-siakan begitu saja. Dalam tempoh pertemuan tersebut, Vera mengambil kesempatan mempelajari dan mendalami selok-belok ilmu fesyen.
Vera atau nama penuhnya Vera Wang Wei Wei dilahirkan pada 27 Jun 1949. Selepas berkhidmat di majalah Vogue, Vera diterima bertugas sebagai Pengarah Rekaan Ralph Lauren.
Pada tahun 1990, dia memulakan langkah solo dengan membuka butik di Carlyle Hotel di New York, AS. Di situ, dia mempamerkan koleksi pakaian pengantin yang menekankan penggunaan fabrik mewah, sarat perincian dan kombinasi rekaan moden dan klasik
Lebih membanggakan Vera pernah dinobatkan sebagai pereka pakaian wanita terbaik oleh Majlis Pereka-pereka Fesyen Amerika (CDFA), pada enam tahun lalu.
Terbaru, Vera yang pernah mereka pakaian sukan luncur ais untuk Nancy Kerrigan pada temasya Olimpik 1994 terus mengungguli pentas peraga gaun pengantin apabila melancarkan koleksi gaun untuk tahun 2011. Seperti biasa, rekaannya masih menerapkan potongan ringkas namun masih tampak mewah dan glamor.
|
|
Selain itu, bagi membuktikkan pereka wanita sepertinya juga boleh berjaya seperti barisan pereka lelaki yang popular, Vera tidak memanjakan dirinya untuk selesa dalam bisnes gaun pengantin saja.
Sebaliknya, ibu kepada dua cahaya mata angkat itu turut melebarkan sayap labelnya pada penjualan minyak wangi, barang kemas, kasut dan barangan kelengkapan rumah. Ini termasuklah pelancaran himpunan kosmetik, alat solek, penjagaan kulit dan produk mandian khas buat golongan wanita.
Wanita dalam dunia fesyen
Bercerita lagi mengenai pereka fesyen wanita dalam dunia fesyen, pereka fesyen jenama DKNY, Donna Karan, 63, bagaikan mengikut jejak langkah Vera Wang yang bukan saja sukses dalam bidang fesyen malah berani mencuba bidang yang lain. Sempena sambutan 25 tahun berkecimpung dalam industri fesyen di New York, jendela 2011 menyaksikan Donna Karan melancarkan koleksi mekap menawan.
Selain produk penyamar noda, pengilat bibir, dan bedak, palet gincu bibir La Lune yang hadir dalam tujuh warna berbeza antara item solekan Donna Karan yang mencuri perhatian. Kehadiran palet gincu yang terdiri daripada warna-warna gelap, terang dan lembut itu secara tidak langsung memberi pilihan lipstik pelbagai kepada wanita.
“Penampilan yang anggun tidak hanya bergantung pada pemilihan pakaian dan aksesori yang ideal. Tiada gunanya bergaya sakan tetapi wajah dibiarkan polos tanpa rias yang sempurna. Hadirnya koleksi mekap Donna Karan, bagi musim bunga 2011, saya ingin mengajak wanita mengoles gincu agar wajah kelihatan berseri dan ceria,” jelas Donna, 63, yang dilahirkan Forest Hills, New York, dalam satu pertemuan bersama media.
Dibesarkan oleh bapa tiri yang bekerja sebagai tukang jahit manakala ibunya bergelar model menyebabkan Donna sudah terdedah pada rekaan busana dan jahitan sejak usia remaja. Menyedari bidang jahitan mampu menjamin masa depan yang cerah, Donna yang pernah menuntut di Parsons School of Design, New York, mula belajar menjahit dan menjual pakaian pada usia 14 tahun.
“Sejak membantu bapa menjual pakaian di Cedarhurst, New York Central Avenue, cinta dan keseronokan terhadap bidang fesyen semakin mendalam. Bermula daripada detik itu, saya menjadi fokus dan mendalami pendidikan berkaitan fesyen.
|
|
“Ramai yang bertanyakan kunci kejayaan saya, tetapi agak sukar untuk menjelaskannya kerana saya tidak mempunyai resipi kejayaan yang khas.
“Sebelum melancarkan koleksi terbaru, saya terlebih dahulu meneliti beberapa aspek utama seperti penambahbaikan rekaan, rekaan dan keselesaan,” kata Donna yang gembira jenama DKNY terus unggul.
Selain Vera Wang dan Donna Karan, Chanel juga merupakan satu lagi jenama fesyen yang masih kekal sehingga kini.
Sejak diasaskan pada sekitar tahun 1909 oleh wanita Perancis, Gabriella Bonheur Chanel, Chanel dianggap jenama fesyen paling berpengaruh dan kekal lama.
Pada era kemunculannya dalam industri fesyen, Chanel merupakan pereka fesyen wanita tunggal dan paling disegani. Semangat dan ketabahan yang dipamerkan melalui rekaannya menjadi pendorong kepada wanita yang ingin berjaya sepertinya.
Uniknya mengenai cita rasa rekaan Chanel, dia bijak menggabungkan elemen fesyen wanita dan lelaki pada setiap koleksi fesyennya. Selain himpunan dres, pakaian dan sut, butik Chanel turut menawarkan koleksi beg tangan, minyak wangi serta aksesori yang direka mengikut peredaran fesyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: