PENGGERAK...Wan Fadzillah bersama kakitangan Al-Muqarram di pejabat Kuala Selangor.
BANYAK pertanyaan dilontarkan kadangkala membuatkan dia tergelak sendiri. "Tak racun ke?" seorang rakan mohon kepastian apabila dia memperkenalkan teh serai, produk pertama keluaran syarikatnya, Al-Muqarram Holdings Sdn Bhd (AMHSB).
"Apa khasiatnya? Boleh buang angin dalam badan? Boleh ubat sakit kencing manis atau darah tinggi?" Apabila diberitahu, khasiat teh serai untuk melegakan tekanan dan menenangkan fikiran, reaksi diterima kurang memberangsangkan. "Kalau macam itu, tak ada khasiatlah," komen seterusnya bagai sudah dijangka - tidak berminat.
Bukan mudah meyakinkan orang ramai memilih teh serai sebagai minuman untuk mencari kelainan. Kebanyakan yang ditemui tidak pernah mendengar mengenai teh serai dan tidak dapat membayangkan ada produk seumpama itu, kecuali mereka yang pernah ke luar negara.
"Pada 2004, penggunaan herba sebagai produk belum meluas. Kalau ada pun, Tongkat Ali dan diikuti Misai Kucing. Serai banyak kegunaan tetapi kebanyakan orang kita tahu untuk masak saja."Oleh itu, kenapa tidak kita hidupkan kembali tradisi memanfaatkan serai untuk pelbagai kegunaan, termasuk untuk mandian dan ramuan ubat.
"Pada masa sama, Thailand banyak menghasilkan produk serai. Kalau orang balik dari Thailand, biasanya mereka bawa teh serai sebagai ole-ole," kata Wan Fadzillah Hana Wan Sidek.
Pengarah Urusan AMHSB itu berkata, syarikat berkenaan ditubuhkan bapanya, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman, pesara kerajaan dengan jawatan terakhir sebagai pesuruhjaya tinggi di London. Niatnya ialah mengkomersialkan serai dengan penciptaan pelbagai produk berasaskan tumbuhan itu.
Pada awal penubuhan, AMHSB hanya menjalankan jual-beli serai diikuti pengeluaran teh serai menerusi bimbingan (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang memberi khidmat nasihat serta formulasi terbaik. Produk dipasarkan secara kecil-kecilan di hotel dan restoran sebelum diperluaskan ke Tesco, Carrefour dan Giant pada 2007.
"Aroma teh serai membuatkan kita tenang. Perut yang senak selepas makan nasi akan lega apabila minum teh serai. Kita perlu mengubah tanggapan minum produk berasaskan herba mesti untuk membantu mengubati penyakit, sebaliknya anggap ia sebagai minum teh. Satu uncang boleh digunakan berulang kali dan lebih sedap rasanya," katanya.
Wan Fadzillah berkata, setiap tahun AMHSB cuba menghasilkan produk lain berasaskan serai dan setakat ini ia dibahagikan tiga bahagian iaitu masak-masak, minum-minum dan pakai-pakai seperti krim pelembut, krim tumit pecah, minyak urut dan minyak aromaterapi.
Buat masa ini, pengeluaran teh serai dan serai segar paling banyak iaitu lima tan sebulan.
AMHSB sentiasa mendapat bimbingan dan sokongan agensi kerajaan, misalnya Jabatan Pertanian yang membuka jalan menembusi pasaran China serta ekspo bagi mempromosi produk serta Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama) yang membantu memasarkan produk.
"Kini kami ke arah mendapatkan pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk kilang dan memohon Skim Organik Malaysia (SOM) untuk tanaman serai secara organik," katanya.
Menurutnya, bekalan serai bermusim menyebabkan ada ketika pihaknya menghadapi masalah mendapatkan bahan mentah. Ini kerana rumpun serai sesuai dituai selepas enam hingga lapan bulan ditanam dan mengambil masa untuk tuaian seterusnya selepas tanaman semula.
"Ada masa bekalan serai sungguh banyak dan ada ketikanya terlalu sedikit. Bekalan yang tidak menentu, terutama dari bulan puasa, Aidilfitri hingga awal tahun kerana ia mendapat permintaan tinggi sebagai bahan masakan menyebabkan harganya naik.
"Mulanya bekalan serai tidak menjadi masalah kerana kami tidak menggunakan banyak serai bagi penghasilan produk, tetapi apabila pengeluaran semakin besar dengan pelbagai jenis produk berasaskan serai, bahan mentah itu terpaksa ditempah lebih awal daripada pekebun.
"Kami pernah terputus bekalan mentah kerana ketiadaan serai di pasaran. Dua tiga tahun lalu, ramai pihak menjual benih serai secara perladangan kontrak iaitu membeli semula serai daripada pekebun. Bagaimanapun, apabila bekalan serai tidak dikutip, petani membakar serai yang ditanam," katanya.
Wan Fadzillah berkata, AMHSB pernah menerima panggilan daripada petani yang menawarkan serai mentah ketika mereka gagal memasarkan produk kepada syarikat yang menawarkan perladangan kontrak.
Namun, pihaknya tidak dapat membeli bahan berkenaan kerana waktu itu kilangnya tidak memerlukan stok bekalan serai yang banyak. Bagi mengelak bekalan serai mentah terputus, AMHSB kini tidak bergantung pada satu pembekal, sebaliknya mempunyai beberapa pembekal lain.
"Mengendalikan perniagaan keluarga bukan perkara mudah. Ini berbeza jika perniagaan itu diusahakan bersama pasangan, risiko cuma ditanggung bersama pasangan, tetapi apabila perniagaan milik bapa, apabila ada masalah, ia turut berkait dengan ibu dan adik-beradik yang turut risau.
"Mula-mula dulu, air mata sentiasa menjadi teman kerana saya masih cetek pengetahuan mengendalikan perniagaan, terutama daripada segi kewangan.
"Antaranya, jika buat produk, di mana hendak dipasarkan. Sekarang baru saya faham dan lebih yakin menjalankan tugas yang diamanahkan ayah," katanya.
Wan Fadzillah berkata, pada mulanya bapanya menumpukan sepenuh masa di kilang dan mengajaknya membantu dengan bekerja cuma separuh hari.
"Apabila seronok bekerja, tanggungjawab saya semakin bertambah. Pekerjaan lebih mencabar dan kian seronok bekerja sepenuh masa," katanya.
Antara pengalaman manis sepanjang membangunkan AMHSB ialah memenangi anugerah produk terbaik makanan sempena Pameran Perdagangan Antarabangsa (Mihas) 2006, usahawan harapan 2008 dan antara 10 produk terbaik di Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB).
PROFIL
NAMA: Wan Fadzillah Hana Wan Sidek
UMUR: 47 tahun
JAWATAN: Pengarah Urusan Al-Muqarram Holdings Sdn Bhd
ASAL: Batu Gajah, Perak
SUAMI: Nadim Mohamad Zin
ANAK: Siti Diana Kamilah (14); Asyraf Basil (13); Adam Haris (12), Amir Johar (10) dan Ammar Sidek (3)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: