Friday, January 28, 2011

Usahakan segera kebersihan Pulau Mabul


PERKAMPUNGAN air didiami penduduk Bajau yang tidak mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap akan menyebabkan kekotoran sekitar Pulau Mabul.


BAGI penyelam skuba, mereka pasti mengenali Pulau Mabul yang terletak di pantai timur Sabah.

Jika sejak tahun 70-an Pulau Mabul menjadi perkampungan nelayan, bermula 1990-an pulau itu mula dikunjungi oleh penyelam skuba yang menjadikannya sebagai transit atau lokasi penginapan untuk menyelam skuba di Pulau Sipadan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot laju.

Menariknya, Pulau Mabul yang ketika ini sarat dengan infrastruktur resort dan juga inap desa menjadi tumpuan bukan hanya kepada penyelam skuba tempatan malah turut menarik minat penyelam skuba dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat.

Penerbangan melebihi 23 jam bagi penyelam di benua itu tidak dirasai sebaik sahaja tiba di Pulau Mabul kerana di situ mereka akan disajikan dengan pelbagai spesies marin unik yang hanya terdapat di perairan Pulau Mabul.

Pulau Mabul juga turut menjadi perkampungan bagi masyarakat Sabah berketurunan Bajau Laut yang menjadikan nelayan sebagai pekerjaan utama selain bekerja di resort-resort yang ada di pulau berkenaan.

Malah di pulau itu juga mempunyai sekolah bagi membolehkan kanak-kanak Pulau Mabul mendapat pendidikan awal sekolah rendah sebelum meneruskan pendidikan di Semporna.

Namun semua ini bukan isu yang ingin Bidai utarakan pada tulisan minggu ini.

Jika sesiapa yang pernah ke Pulau Mabul, pasti akan mengatakan pulau ini kotor.

Ya, kotor dengan pelbagai sampah sarap yang terapung-apung di tepi pantai kawasan perkampungan dan juga di sekitar pantai resort-resort di Pulau Mabul.

Jika dahulu sebahagian resort diletakkan di Pulau Sipadan, kini semuanya berada di Pulau Mabul. Dengan pertumbuhan yang agak pesat di Pulau Mabul menyebabkan pengawalan kebersihan kurang berkesan.

Lebih-lebih lagi, Bidai sering ke pulau itu turut tertanya-tanya di manakah pusat pengumpulan sampah pulau berkenaan.

Ini kerana pada pendapat Bidai, sampah yang dihasilkan di pulau itu tidak akan berhenti dan sentiasa ada.

Mungkin ada resort yang mengumpul sampah mereka setiap hari dan membuangnya di Semporna tapi apa terjadi pada orang kampung.

Bidai pernah berada selama sebulan di pulau itu namun tidak pernah menyaksikan sebarang tongkang ataupun kapal yang dikendalikan oleh pihak Majlis Daerah Semporna (MDS) atau swasta masuk mengutip sampah-sampah yang dihasilkan.

Akhirnya, kebanyakan sampah-sampah itu bertaburan dan bersepah-sepah di kawasan pantai dan gigi air.

Bagi penduduk pulau yang sedar tentang alam sekitar, sampah-sampah itu dibakar di satu kawasan namun bagi Bidai itu tidak menyelesaikan masalah sampah di Pulau Mabul.

Ini kerana pulau seluas 20 hektar itu tidak akan berhenti daripada dilimpahi dengan sampah yang dihasilkan oleh penduduk setempat dan juga pelancong.

Bukan bermakna mereka membuang sampah itu merata-rata. Walaupun sampah dibuang dengan teratur dalam tong sampah, ia pasti akan berterabur juga jika tiada usaha yang dilakukan untuk membawa sampah-sampah itu ke tanah besar.

Lama-kelamaan Bidai percaya sampah-sampah di pulau itu akan ‘menggunung’ tinggi kalau tidakpun akan bersepah-sepah.

Apa yang perlu ialah satu kerjasama antara penduduk pulau itu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya memberikan khidmat mengambil sampah di pulau itu.

Ini dapat Bidai lihat di Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu di mana sebuah tongkang dikhaskan untuk mengambil sampah setiap hari di semua resort termasuk di perkampungan.

Sebagai contoh di resort-resort, mereka akan membayar pengutip sampah itu setiap kali mereka mengutip sampah dan ini pada pendapat Bidai tidak akan meningkatkan kos.

Jika tiada sampah yang dihantar, maka tak perlulah bayar perkhidmatan itu.

Jadi, MDS perlu mengambil satu inisiatif dalam menyelesaikan perkara ini.

Memang Bidai tahu, Ibnu mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjadikan Semporna sebuah bandar bersih kerana di mana-mana sahaja, orang mengatakan Semporna adalah sebuah daerah kotor termasuklah oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun sendiri.

Bidai tahu Jawatankuasa Bersama Kebersihan Daerah Semporna (JBKDS) sudah ditubuhkan dan diketuai oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran, namun tindakan proaktif segera perlu diambil di Pulau Mabul.

Ini berikutan ramai pelancong tempatan dan luar negara mendiami semua resort termasuk di pelbagai inap desa yang kini ‘tumbuh’ banyak di kawasan perkampungan pulau itu.

Tak mahulah nanti, sedang para pelancong itu seronok memerhatikan penyu ataupun pari helang berlegar-legar di kawasan tepi pantai sekitar inap desa itu tiba-tiba, sampah plastik, baju terpakai dan lebih buruk tuala wanita dan lampin pakai buang bayi turut sama beralun-alun mengikut arus ke tengah laut.

Jadi JBKDS perlu segera melakukan sesuatu kerana Pulau Mabul dan Pulau Sipadan tidak pernah tutup. Ia penuh dengan aktiviti selam skuba sepanjang tahun.

Yang lebih penting, Bidai harap JBKDS siasat ada resort ternama di situ yang turut didakwa membuang sampah di tengah laut. Yang mana, tidak Bidai ketahui dengan tepat, tapi JBKDS kena siasat.

Kalau resort besar buat begitu, apa pula chalet kecil akan terfikir. Jangan disebabkan mereka besar, mereka merasakan kuasa ditangan mereka. Yang salah tetap salah.

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: