Friday, January 28, 2011

Penguasaan Volkswagen


PERLUMBAAN sejauh kira-kira 900 km setiap hari menuntut persediaan yang cukup rapi.


PASUKAN Volkswagen mempertahankan kejuaran kali ketiga berturut-turut di dalam Rali Dakar 2011, siri perlumbaan paling getir di dunia dengan kemunculan jaguh baru, Nasser Al-Attiyah.

Volkswagen berjaya mengungguli keseluruhan acara apabila memenangi 12 daripada 13 peringkat perlumbaan sekali gus menguasai tiga tangga teratas podium daripada empat penyertaan jenteranya.

Al-Attiyah yang memandu jentera Touareg bersama pembantu pemandu, Timo Gottschalk muncul juara bagi kategori kereta selepas mendahului dua bekas juara iaitu Giniel de Villers dan Carlos Sainz (rakan sepasukan).

Dengan kejayaan itu, Al-Attiyah menebus kekecewaan selepas enam tahun berjuang di dalam lumba rali paling berprestij itu.

Perlumbaan Rali Dakar 2011 sejauh lebih 9,500 kilometer (km) yang berlangsung di Argentina dan Chile selama dua minggu menutup tirai pada 16 Januari lalu.

Kemenangan Al-Attiyah pada tahun ini bagaimanapun mudah dijangka berdasarkan prestasi dan saingan sengit yang dipamerkan pada tahun lalu.

Juara pertama dari negara Arab itu berkata, meskipun nasib tidak menyebelahi sejak penyertaannya enam tahun yang lalu, kemenangan akhirnya berpihak kepadanya.

Kemenangan itu menurut beliau dicapai selepas usaha gigih mereka mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu di samping mengurangkan kesilapan terutama pada peringkat akhir perlumbaan.

"Kemenangan ini memberi makna yang cukup besar bagi kami. Ia hadiah untuk seluruh ahli keluarga, rakyat Qatar dan pasukan.

"Sukar untuk menceritakan apa yang saya rasai ketika ini. Yang pasti kami telah membuktikan Volkswagen kekal sebagai pasukan terbaik," katanya.

Pada 2009, harapan Al-Attiyah untuk menjulang kejuaraan berkubur apabila kenderaan panduannya mengalami kepanasan pada bahagian enjin. Beliau terpaksa menarik diri selepas mendahului semua pelumba selama lebih 20 minit.

Tahun lalu, Al-Attiyah memberi petanda awal misi 'membalas dendam' apabila menduduki tangga kedua selepas tewas kepada Carlos Sainz.

Selain profil dalam Rali Dakar, pelumba kelahiran Qatar itu memiliki pengalaman dan rekod mengagumkan dalam dunia rali dengan enam kejuaraan kategori klasik dan rentas desa sejak 2008.

Sementara itu, perlumbaan Carlos Sainz bersama bantuan Lucas Cruz pada tahun ini berakhir di tempat ketiga selepas sistem suspensi Touareg 2.5 liter yang dipandu mereka patah.

"Saya tidak pernah kecewa. Ini adalah sebahagian daripada adat perlumbaan Rali Dakar.

"Saya tetap berpuas hati selepas dua minggu memberikan persembahan yang terbaik," ujar bekas juara dua kali perlumbaan itu.

Sementara itu, saingan dalam kategori dua roda menyaksikan pertarungan hebat antara dua jaguh motosikal yang paling berpengaruh.

Penunggang jentera KTM dari Sepanyol, Marc Coma menjulang trofi kemenangan buat kali ketiga selepas menewaskan juara tahun lalu, Cyril Despres.

Coma yang menjuarai piala 2006 dan 2009 menyifatkan perlumbaan kali ini lebih sukar berbanding tahun-tahun lalu, khususnya semasa mengharungi cabaran di Gurun Atacama.

"Cabaran tidak membenarkan saya untuk berehat. Selepas satu pusingan tamat, ia disusuli dengan pusingan yang lebih getir," katanya.

Di dalam kategori trak, pemandu jentera Kamaz dari Rusia, Vladimir Chagin mempertahankan gelaran juara tahun lalu yang merupakan kejuaraan kali ketujuh miliknya. Rekod yang disifatkan pencapaian peribadi paling berjaya dalam perlumbaan itu.

Kategori terakhir iaitu motosikal tayar empat (ATV) disandang oleh Alejandro Patronelli yang merampas trofi tahun lalu daripada adiknya Marcos Patrinelli.

Volkwagen menguasai Rali Dakar sejak tiga tahun lalu selepas lokasi penganjuran dipindah dari benua Afrika ke Amerika Latin berikutan ancaman pengganas.

Acara tahunan yang masuk kali ke 32 pada tahun ini melibatkan 407 buah pasukan yang disertai oleh 200 buah motosikal dan ATV, 140 kereta dan 67 trak.

Daripada jumlah itu, hanya 203 pasukan yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan menyediakan cabaran jauh lebih sukar berbanding rali-rali biasa dengan laluan jalan batu kerikil, padang pasir, sungai, lumpur dan padang rumput.

Jarak perlumbaan yang harus ditamatkan peserta pada setiap hari dianggarkan sejauh kira-kira 900 km.

Rali Dakar atau dikenali terdahulu dengan nama Rali Paris Dakar adalah perlumbaan pacuan empat roda dari Paris, Perancis ke Dakar di Senegal yang dimulakan pada 1978.

Kemalangan maut

Seperti tahun-tahun yang lalu, acara dengan nama jolokan 'Perlumbaan Maut' itu tidak sah tanpa meragut nyawa.

Pada tahun ini, perlumbaan paling berbahaya di dunia itu meragut empat lagi nyawa menjadikan angka korban keseluruhan kini berjumlah 56 orang.

Kemalangan pertama menimpa dua petugas penyelenggaraan yang maut terkena kejutan elektrik di tapak acara.

Mangsa ketiga adalah penonton wanita yang dirempuh oleh salah sebuah kereta pelumba manakala mangsa keempat adalah pemandu berusia 48 tahun yang bertembung dengan kereta pelumba di Fiambala, Argentina.

Insiden demi insiden yang berlaku terus mencetuskan kritikan di peringkat antarabangsa khususnya berkaitan aspek keselamatan pelumba dan orang awam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: