SESAK...suasana di Unit Pekerja Asing Jabatan Imigresen Selangor di Kompleks PKNS yang sesak sejak penutupan unit itu di Putrajaya.
SHAH ALAM: Unit Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Selangor di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini ‘meriah’ apabila ia menjadi tumpuan warga Lembah Klang sejak awal bulan ini untuk pelbagai urusan termasuk memperbaharui permit atau visa selepas unit sama di Ibu Pejabat, Putrajaya ditutup.
Kebanyakan orang ramai yang datang berurusan di jabatan itu melahirkan rasa kesal apabila urusan yang kebiasaannya dapat disiapkan dalam tempoh kurang sejam kini terpaksa menunggu sehingga ke lewat petang.
Kakitangan swasta, Mohamad Abdullah Sani, 47, berkata, tindakan Jabatan Imigresen menutup unit itu di Putrajaya menyebabkan berlaku kesesakan di Imigresen negeri sekali gus menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lama untuk sebarang urusan.
“Kalau kita lihat mana-mana agensi kerajaan pun, kebanyakan ibu pejabatnya mesti lengkap dengan semua kemudahan. Jadi apabila unit di Putrajaya ditutup, apa guna ia dijadikan ibu pejabat.
“Saya bimbang kalau ia terus sesak begini, mungkin akan menimbulkan kekecohan di kalangan pengguna kerana berebut giliran dan tempat duduk,” katanya.
Kakitangan swasta, Yanti Ali, 31, berkata, kesesakan di jabatan itu bukan saja mengundang ketidakselesaan di kalangan pengguna, malah menyebabkan urusan yang lain tergendala ekoran terpaksa menunggu giliran berjam-jam lamanya.“Saya sudah berurusan di sini (Shah Alam) beberapa kali, namun tak pernah tengok ia begitu sesak macam hari ini.
“Perkhidmatan di sini memang bagus dan tiada masalah, tapi yang menjadi masalah ialah pengguna. Di sini tempat sempit dan tempat duduk pun kurang. Dah lah kena tunggu lama, berdiri pulak tu,” katanya.
Lau Kam Tak, 72, berkata, dia menganggap perkhidmatan unit itu di Putrajaya lebih tersusun dan selesa berbanding di Shah Alam.
“Biasanya, saya berurusan dengan Jabatan Imigresen di Putrajaya kerana di sana tempat menunggu lebih luas dan kaunter pun banyak.
“Cadangan saya, kalau pihak Imigresen mahu menutup terus unit ini di sana (Putrajaya), mereka perlu wujudkan satu lagi tempat untuk unit ini di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Mohd Yunus Jamil, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan terhadap rungutan orang ramai berhubung kesesakan unit itu.
Katanya, pihaknya menerima baik keputusan yang dibuat Ibu Pejabat untuk menjalankan operasi unit berkenaan di cawangan negeri sahaja.
“Kami masih mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meredakan kesesakan ini secepat mungkin dan diharap pengguna di Shah Alam dapat bersabar untuk sedikit masa lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: