Friday, January 28, 2011

UNIMAP, UUM hasrat wujud IPTS tawar pengajian diploma


Dr. Kamarudin Hussin (kanan) bersalaman dengan Dr. Mohamed Mustafa Ishak selepas sidang media sempena Lawatan Kerja Pengurusan Tertinggi UUM ke Universiti Malaysia Perlis di Kangar, kelmarin.


KANGAR 26 Jan. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berhasrat bergabung kepakaran bagi mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pengajian peringkat diploma.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata institusi itu akan memainkan peranan sebagai "pembekal" lulusan diploma untuk universiti tempatan yang lain bagi pengajian peringkat yang lebih tinggi.

"Kami yakin kerjasama antara UniMAP dan UUM akan membolehkan hasrat itu dicapai," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi UUM yang diketuai Naib Canselornya Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, di sini, semalam.

Selain itu katanya, kedua-dua universiti tersebut turut berbincang untuk mewujudkan universiti berkembar dalam bidang pembangunan sosial, ekonomi dan teknikal.

Sementara itu, Mohamed Mustafa berkata UUM dan UniMAP juga akan bekerjasama membangunkan beberapa bidang yang telah dikenal pasti termasuk pertukaran pelajar dan program kebudayaan.

Selain itu katanya, masing-masing juga akan menggunakan kelebihan yang ada pada kedua-dua institusi untuk merangka cadangan pembangunan sosial melibatkan masyarakat di kawasan sempadan negara.

"Saya yakin UUM dan UniMAP akan menjadi perintis gabungan mantap itu di utara Semenanjung melalui kerjasama yang bakal direalisasikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: