BERSEMPENA dengan pembukaan cawangan baru Tune Hotels di Bintulu, Sarawak, 1 Januari lalu, semua caj pengurusan untuk tempahan bilik bagi semua 12 hotel jenama itu di seluruh negara akan dimansuhkan.
Menurut Ketua Pegawai ekskutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester, pihaknya memutuskan memansuhkan yuran pengurusan yang dikenakan sebanyak RM10.90 sebelum ini secara kekal.
Mark berkata, pengunjung hanya perlu membayar caj untuk bilik yang disewa serta perkhidmatan yang digunakan dan berpendapat caj pengurusan tidak lagi relevan dikenakan kepada pengunjung hotel itu.
“Ini adalah sebagai satu hadiah daripada pihak Tune Hotels kepada semua pelanggan dan mereka boleh berjimat dengan penginapan di rangkaian Tune Hotels di seluruh dunia,” katanya.
Bercakap mengenai pembukaan Tune Hotels di Bintulu, Mark berkata, 101 bilik disediakan dan ini merupakan rangkaian hotel Tune Hotels yang kedua di negeri ini, menjadikan Sarawak satu-satunya negeri selain Selangor memiliki lebih daripada sebuah premis Tune Hotels. Hotel pertamanya di Sarawak terletak di Tebingan Kuching (Waterfront) pada 2009.
Selain Bintulu, Tune Hotels juga akan membuka cawangan baru di Kota Baru, Kelantan yang mempunyai 173 bilik pada 23 Januari depan.
Dalam pada itu, Mark berkata, pembukaan rangkaian Tune Hotels terbaru di Bintulu bukti komitmen syarikat kepada negeri Sarawak yang bakal menjadi pemangkin dalam pembangunan industri pelancongan negeri, terutamanya dalam wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Kedudukannya yang strategik di wilayah tengah Sarawak, dan ditambah pula dengan hubungan udara yang baik dengan Kuala Lumpur, Kuching serta bandar-bandar lain serta terletak di tengah perjalanan lebuhraya Trans-Borneo, memberikan Bintulu potensi besar untuk memajukan sektor pelancongan serta industri-industri keutamaan lain di bawah SCORE.
“Peningkatan bilangan hotel kami adalah selaras dengan matlamat mencapai 100 buah hotel yang beroperasi di kota raya utama dunia, menyediakan tempat tidur bertaraf lima bintang dengan nilai tinggi dan harga menakjubkan,” katanya.
Pembukaan Tune Hotels Bintulu dan Kota Baru nanti menjadikan bilangan Tune Hotels yang beroperasi di Malaysia berjumlah 9 buah, manakala 12 di seluruh dunia. Cawangan-cawangan Tune Hotels kini terletak di Kuala Lumpur, Lapangan Terbang KLIA-LCCT, Kota Damansara, Pulau Pinang, Johor Baru, Kuching dan Kota Kinabalu; Kuta dan Legian di Bali, Indonesia serta sebuah di London, England.
Tune Hotels Bintulu juga menawarkan tawaran khas kepada semua pelanggan dengan memperkenalkan pakej selesa yang menawarkan potongan sehingga 20 peratus 12 jam penggunaan penghawa dingin, tuala dan barangan kelengkapan bilik air dengan hanya RM15.90 melalui tempahan dalam talian.
Selain itu, pihak hotel turut menawarkan perkidmatan secara berasingan untuk servis biliknya dengan harga istimewa dari RM13.62 untuk penghawa dingin selama 12 jam dan RM5.30 untuk tuala dan kelengkapan bilik air.
Untuk maklumat dan promosi terkini, layari www.tunehotels.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: