Tuesday, January 18, 2011

Malioboro tidak pernah tidur

Suasana malam di sepanjang Jalan Malioboro.

SUNGGUHPUN Yogyakarta terkenal sebagai kota wisata seni dan budaya, namun kunjungan ke sana pastinya tidak lengkap jika tidak berkesempatan meluangkan masa berbelanja di Jalan Malioboro.

Merupakan destinasi yang wajib dikunjungi, Jalan Malioboro beroperasi 24 jam sehari tanpa henti.

Bukan sahaja barangan kulit, kemeja-t dengan motif tempatan menjadi pilihan.

Terletak di sebelah utara tempat bersejarah iaitu Benteng Vredeburg, Jalan Malioboro yang menempatkan pelbagai toko-toko jualan seperti gedung batik, pakaian, barangan kulit dan perak serta pelbagai jenis barangan cenderamata.

Pastinya anda akan rambang mata melihat barangan-barangan tersebut kerana dijual dengan harga yang amat berpatutan.

Berkonsepkan ‘pedagang kaki lima’, pembeli boleh mempraktikkan kemahiran tawar-menawar sembelum memberi sesuatu barangan tambahan jika dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Kerjaya sebagai pelukis tatu tidak menghalang minat Irfan untuk bermain muzik.

Ruangan pedagang kaki lima itu mengambil jarak sejauh kira-kira satu kilometer. Jadi anda tidak perlu risau atau tergopoh-gapah untuk membeli barangan yang berkenan di hati kerana mungkin terdapat pilihan yang lebih baik dan murah jika anda terus meninjau hingga ke hujungnya.

‘Monggo-monggo’

Sepanjang menyusuri laluan kaki lima sepanjang kira-kira satu kilometer itu tentu sekali anda akan disapa dengan istilah ‘monggo...monggo...’ yang bermaksud selamat datang atau silakan.

Keramahan penjual ditambah dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir mereka membuatkan kita berasa senang untuk singgah melihat barangan yang dijual.

Mereka juga mesra melayan pelbagai kerenah pembeli terutamanya berkaitan soal tawar-menawar untuk mendapatkan harga terbaik.

Nasi gudeg merupakan menu istimewa di Yogyakarta.

Yang pasti, mereka begitu teruja sekiranya mengetahui pengunjung toko jualan mereka itu adalah pelawat dari Malaysia. Ada juga yang sempat berbual mengenai rakan-rakan mereka yang kini bekerja di Malaysia.

Pemuzik jalanan

Tambah menarik, selain keriuhan penjual dan pembeli menjalankan aktiviti masing-masing, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan jalanan di sepanjang Jalan Malioboro.

Sungguhpun kebanyakan daripada mereka tidak menerima latihan khusus dalam bidang muzik, namun ternyata mereka cukup berbakat. Petikan gitar dengan pelbagai irama cukup menghiburkan serta menyenangkan halwa telinga.

Bagi Irfan Bachdim, 25, pekerjaan sebagai pembuat tatu tidak menghalang minatnya untuk bermain muzik.

Memiliki sebuah gitar kecil, Irfan begitu teruja menghiburkan pengunjung yang lalu di kawasan perniagaannya dengan pelbagai jenis lagu.

“Saya belajar bermain muzik daripada rakan-rakan, sekurang-kurangnya dapat juga mengisi masa lapang sambil menunggu pelanggan.

Antara pemain muzik dan penyanyi yang terlibat dalam persembahan wayang kulit.

“Lagi pun kami berniaga di sini dari pagi sampai malam, jadi bila ada aktiviti seperti bermain muzik, kami sendiri tidak bosan, malah dapat juga memecah sunyi waktu malam,” katanya.

Bagi pengunjung Jalan Malioboro yang ingin mendapatkan pelbagai jenis barangan sebagai buah tangan, anda boleh mengunjunginya bermula seawal pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Namun ‘kehidupan’ di Jalan Malioboro tidak terhenti di waktu itu sahaja kerana aktiviti jualannya akan bertukar selepas pukul 9 malam.

Menurut Irfan, semua barangan jualan kaki lima tidak dibenarkan ditinggal di situ, sebaliknya perlu dialihkan kerana ia akan berubah wajah dengan jualan makanan.

“Selepas jam 9 kami harus pulang dan kemas semua barangan ini kerana ada penjual makanan akan mengambil alih ruangan ini.

Persembahan ini bermula pada waktu malam dan akan berakhir sehingga waktu Subuh keesokan harinya.

“Malioboro tidak pernah sunyi, Malioboro tidak pernah tidur. Toko jualan ini akan dibuka bermula sekitar 10 malam hingga selepas waktu Subuh,” katanya.

Nasi Gudeg

Kata orang kunjungan ke satu-satu destinasi pastinya kurang lengkap jika tidak merasai keenakan makanan istimewa tempatan.

Di Yogyakarta, nasi gudeg merupakan sajian istimewa yang cukup digemari masyarakat di sini. Gudeg merupakan sejenis makanan yang dibuat daripada buah nangka. Gudeg mempunyai rasa yang manis dan dimakan dengan nasi.

Namun istimewanya menikmati gudeg di Yogyakarta ialah pengunjung dapat merasai sendiri budaya dan tatatertib sewaktu makan.

Terdapat banyak gerai di sepanjang Jalan Malioboro yang menghidangkan gudeg. Pilih sahaja mana-mana gerai yang anda suka, kerana pilihan anda pastinya akan memuaskan selera.

Menariknya, setiap gerai tidak menyediakan kerusi atau meja, sebaliknya pelanggan makan secara bersila.

Lebih membuatkan makan malam anda penuh istimewa, pelanggan akan dihiburkan dengan alunan muzik oleh pemuzik jalanan yang cukup berbakat.

Persembahan wayang kulit dengan Judul “Banyu Suci Perwito Sari”.

Hanya perlu menyediakan sedikit bayaran, pelanggan boleh meminta pelbagai jenis lagu popular untuk dimainkan.

Wayang kulit

Aktiviti malam di Yogyakarta tidak pernah sunyi. Penulis sempat menyaksikan persembahan kebudayaan dan permainan wayang kulit yang cukup menghiburkan.

Bagaimanapun sebelum menyaksikan persembahan wayang kulit, pengunjung akan diperdengarkan dengan persembahan alat muzik gamelan dengan irama tradisional.

Turut menghiasi persembahan ialah sekumpulan wanita lengkap berpakaian wanita Jawa yang bertindak sebagai penyanyi.

Pengunjung yang terdiri daripada pelancong asing dan penduduk tempatan disajikan dengan persembahan wayang kulit yang berjudul ‘Banyu Suci Perwito Sari’ yang mengisahkan epik masyarakat Jawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: