Wednesday, January 12, 2011

Teka-teki 'adik' Wardina


TENAGA penting drama bersiri realiti TV, Gadis Semasa Sunsilk (dari kiri), Bambang, Lina, Wardina, Bernard (belakang) dan Ajai.


KLISE perjalanan sebuah program realiti televisyen adalah ia berkisarkan penyingkiran peserta yang kurang menyerlah, manakala yang menonjol akan disimpan sebelum dinobat sebagai juara.

Berbeza dengan format yang diketengahkan oleh produk kecantikan Sunsilk, biar berlandaskan program realiti, mereka mengolahnya dalam bentuk drama bersiri.

Melancarkan siri drama realiti, Gadis Semasa Sunsilk sebanyak 13 episod yang mula disiarkan semalam setiap Selasa, di TV3 pada pukul 6 petang, ia merungkai kisah transformasi seorang gadis biasa yang bakatnya dikesan oleh pihak penerbitan melalui laman YouTube.

Menariknya, identiti 'gadis' tersebut menjadi rahsia. Malah, pada hari pelancaran program tersebut, tunjang utama drama bersiri itu tidak hadir.

Pengurus Jenama Kumpulan Perniagaan Produk Isi Rumah dan Penjagaan Diri Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. Emily Chong berkata, pihaknya sengaja mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan identiti 'gadis' pada pelancaran tersebut.

Namun katanya: "Dia memang wujud dan merupakan seorang pelajar. Beri dia sedikit masa. Selepas berbincang dengan pakar-pakar, kami merasakan dia amat sesuai untuk memberi inspirasi kepada penonton kerana itulah matlamat Sunsilk."

Lina Tan dari Red Communications Sdn. Bhd. diberi kepercayaan untuk menggarap jalan cerita kehidupan 'gadis' ke kaca TV sementara Bernard Chauly diberi penghormatan untuk mengarah drama berkenaan.

Menurut Lina, dia memperuntukkan masa hampir sebulan untuk mencari gadis sebenar yang menepati kriteria Gadis Semasa Sunsilk di Internet dan akhirnya watak itu ditemui di laman YouTube.

"Di YouTube, ramai yang letak video mereka baik yang hebat menyanyi atau yang sebaliknya. Tetapi saya perlu memilih gadis yang berpotensi selain turut menyentuh cita rasa gadis semasa.

"Kini saya lihat ramai gadis yang lebih cenderung ke arah kecantikan dan muzik gandingan dua ciri tersebut adalah tunjang dalam drama realiti tersebut kerana kita mahu memaparkan kisah yang sebenar berdasarkan situasi sekarang.


WARDINA muncul sebagai kakak gadis misteri dalam siri Gadis Semasa Sunsilk.


"Sungguh tidak disangka, video 'gadis' yang kami pilih itu merekod ratusan ribu hit walaupun tanpa menunjukkan wajah sebenar beliau," katanya yang ditemui pada pelancaran drama tersebut, baru-baru ini.

Bagi Bernard pula, dia mengharapkan drama tersebut akan mendapat sambutan penonton meskipun ia memaparkan watak yang belum pernah ditonton di mana-mana saluran televisyen.

"Ini adalah kali pertama saya mengarahkan drama yang bercorak realiti dan saya akui gembira untuk mengarah drama yang watak utamanya tidak pernah berlakon atau terdedah kepada mana-mana penerbitan lagi," jelasnya.

Tiga orang kuat industri iaitu Ajai selaku pakar vokal, pelakon Wardina Safiyyah sebagai pakar personaliti dan pakar dandanan rambut tempatan, Bambang Soteto pula diberi tanggungjawab membentuk impian 'gadis' dalam Gadis Semasa Sunsilk.

Bagi Ajai pula, selepas melihat 'gadis' itu, dia berpendapat drama tersebut bertujuan untuk memberi platform selain untuk membantu 'gadis' yang dilihat sangat berbakat.

"Kali pertama saya jumpa dia, saya lihat dia mempunyai potensi yang besar dan saya juga pasti dia akan mampu diterima oleh umum," ujarnya yang terkejut didekati oleh Sunsilk pada peringkat awal sebelum mengetahui khidmatnya diperlukan untuk melancarkan perjalanan drama Gadis Semasa Sunsilk.

Wardina yang menyifatkan dia sebagai kakak dalam drama ini berkata 'gadis' itu pada awalnya tidak mendapat persetujuan keluarganya untuk dikomersialkan sebagai seorang yang ikhlas.

"Namun bagi saya, dia sangat ikhlas dan tidak langsung memperlihatkan sisi dirinya yang mahu menjadi bintang terkenal. Dia sangat berbakat dan saya boleh rasa keikhlasan itu. Dia hanya menjadi dirinya sendiri," ujar Wardina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: