Friday, January 28, 2011

Sumbing tidak semesti sengau

SETIAP ibu bapa mengharapkan anak yang bakal dilahirkan sempurna fizikal dan sihat, tetapi bayangkan bagaimana jika kelahiran insan istimewa yang ditunggu-tunggu selama hampir sembilan bulan itu berlaku sebaliknya.

Sekiranya anak yang dilahirkan itu mengalami masalah sumbing adakah ia akan turut mengalami komplikasi lain seperti sengau dan sebagainya?

Sebenarnya, hanya 5.5 peratus kanak-kanak yang mengalami masalah sumbing mengalami sengau berbanding enam hingga 34 peratus mengalami masalah keserakan tanpa sumbing.

Menurut Dr. Todd Otteson, pengkaji dari Hospital kanak-kanak, Pittsburgh, kanak-kanak yang mengalami masalah rekahan pada peti suara mempunyai kemungkinan untuk mengalami masalah sengau. Sumbing atau rekah merujuk kepada lubang atau rekahan di bibir atau lelangit.

Ia terjadi ketika pembentukan janin, apabila sesetengah bahagian wajah gagal bercantum maka rekahan akan terbentuk. Ia mengakibatkan rekahan bibir atau lelangit terjadi sendiri.

Antara penyebabnya mungkin faktor persekitaran seperti pengambilan alkohol dan tabiat merokok yang dilakukan oleh ibu ketika hamil.

Masalah sumbing boleh muncul dalam dua keadaan iaitu sumbing pada bahagian bibir dan sumbing pada bahagian lelangit.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan di Amerika Syarikat (AS), hampir 2,500 kanak-kanak dilahirkan dengan masalah sumbing bibir.

Manakala setiap tahun pula hampir enam orang kanak-kanak yang dilahirkan daripada 10,000 kelahiran mengalami masalah sumbing iaitu sumbing pada bibir ataupun lelangit mahupun kedua-duanya sekali.

Bagi masalah bibir sumbing, pembedahan selalunya dilakukan segera bagi membaiki tisu di sekitar mulut.

Selepas melakukan pembedahan, terdapat sebahagian kanak-kanak yang mengalami bibir sumbing juga akan mempunyai masalah pendengaran ataupun percakapan seperti sengau justeru, rawatan tambahan perlu dilakukan apabila umur bayi meningkat.

Masalah sengau mempunyai risiko kepada bayi apabila mereka mengalami sumbing pada bibir seperti masalah untuk menyebut perkataan dengan sebutan yang betul.

Menurut Otteson, kanak-kanak yang mempunyai masalah ini cenderung untuk mengalami masalah komunikasi.

Mereka juga mengalami jangkitan pada telinga dan menyebabkan potensi pendengaran tidak jelas di samping memerlukan mereka bercakap dengan suara yang kuat.

Menurut kajian Otteson dan Dr. Jacob Robison, pada tahun 2005 dan 2009, terdapat 487 kanak-kanak menjalani pembedahan untuk membaiki masalah sumbing lelangit di hospital kanak-kanak, di Pittsburgh.

Sebahagian daripada pesakit juga turut menerima rawatan sumbing pada bahagian bibir.

Menurut keputusan yang dikeluarkan oleh Pakar Pembedahan Kepala dan Leher, didapati 27 atau 5.5 peratus kanak-kanak yang berusia empat atau lima tahun yang sumbing akan mengalami masalah sengau.

Kebanyakan kanak-kanak yang dilaporkan mempunyai masalah sengau juga dipanggil dengan kekurangan velopharyngeal iaitu melibatkan otot-otot lelangit tidak tertutup dengan sepenuhnya apabila mereka bercakap.

Otot-otot ini perlu tertutup untuk memastikan kelancaran dan kejelasan bunyi ketika berkomunikasi.

Sebaliknya, udara yang dilepaskan dari paru-paru akan melalui hidung dan mulut dan seterusnya akan mengganggu percakapan.

Dr. Michael Cunningham, Ketua Pusat Kraniofasial, hospital kanak-kanak, menganggarkan kira-kira 25 hingga 30 peratus kanak-kanak mengalami masalah sumbing lelangit memerlukan pembedahan tambahan pada lelangit untuk menangani masalah bercakap.

Kanak-kanak yang mengalami masalah lelangit sumbing memerlukan prosedur tambahan untuk membantu memperbaiki pendengaran dan penampilan visual.

Institut Kesihatan Kebangsaan, Amerika Syraikat menjangkakan jumlah rawatan kanak-kanak yang lahir setiap tahun dengan masalah sumbing pada bibir atau lelangit menjangkau hampir 700 juta orang.

Walaupun sengau di kalangan kanak-kanak tidak terbukti sebagai masalah yang kritikal, tetapi menurut Cunningham, sengau dan kelemahan komunikasi boleh menjadi beban kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah sumbing lelangit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: