
MARAN - Penjenayah curi motosikal bergelar Geng Piramid yang aktif setahun lalu tumpas apabila mereka tersilap langkah mencuri motosikal di kawasan perumahan polis di Temerloh baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, penahanan sembilan anggota kumpulan itu diyakini dapat menyelesaikan 18 kes mencuri motosikal yang dilaporkan di Pahang dan Selangor sejak setahun lalu.
Penangkapan kumpulan suspek itu bermula dengan penahanan empat anggota Geng Piramid pada 8 Januari selepas mereka mencuri sebuah motosikal dalam kawasan perumahan polis di Temerloh.
"Penangkapan empat anggota kumpulan terbabit yang masing-masing berumur 18 tahun termasuk ketua mereka membawa kepada penangkapan lima lagi suspek yang yang berumur 17 hingga 26 tahun di daerah ini," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Ahmad Johari, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kecurian sebuah motosikal di kawasan Perumahan Kakitangan Polis Temerloh Jaya telah membawa kepada penahanan empat suspek pada pukul 11 malam pada 8 Januari lalu.
Polis menahan lima lagi lelaki di daerah ini dalam operasi yang dimulakan dari 8 Januari hingga 12 Januari.
"Suspek-suspek kemudian menunjukkan lokasi tempat mereka membuang rangka motosikal curi iaitu di Tasik Bukit Kebok berdekatan Kampung Sentosa dekat sini," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: