Monday, January 3, 2011

Signifikan 10 buat Shila


SHILA HAMZAH, penyanyi muda berbakat besar dilantik sebagai jurucakap Safi Balqis Perfect 10.


KOMBINASI rona biru lembut dan putih menghiasi ruang legar majlis yang diserikan dendangan muzik tradisional. Para tetamu juga kelihatan anggun dan segak dalam persalinan mengikut warna tema dan konsep pakaian ala Hikayat 1,001 Malam.

Itulah keistimewaan yang dapat disaksikan sepanjang majlis pelancaran produk terbaru Safi Balqis Perfect 10 di Restoran Ishq, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain pelancaran produk berkenaan, jenama Safi Balqis yang kini genap 10 tahun berada di pasaran kecantikan tempatan turut mengambil kesempatan memperkenalkan duta produk terbaru mereka, Safi Balqis Perfect 10, iaitu Shila Hamzah.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah merupakan penyanyi muda berbakat besar dan berkaliber. Berpenampilan ceria dan bijak bergaya secara tidak langsung berjaya memikat pihak Unza Sdn.Bhd. untuk melantiknya sebagai jurucakap produk Safi Balqis Perfect 10.

“Sememangnya Shila pilihan yang tepat. Dia bukan sahaja muda dan lincah malah cukup menitikberatkan soal disiplin. Sepanjang bekerjasama dengan Shila bermula daripada pembikinan kempen iklan sehinggalah sesi penggambaran risalah, Shila memberikan komitmen terbaik. Malah dia tidak pernah mengeluh meskipun pembikinan iklan berlanjutan sehingga pukul 4 pagi.


SKETSA pendek yang dipersembahkan sebagai simbolik pelancaran produk Safi Balqis Perfect 10.


“Lagipun Shila bebas daripada imej dan gosip negatif. Kriteria tersebut bertepatan dengan imej produk Safi Balqis Perfect 10, suci dan bersih,” jelas Pengurus Pemasaran Unza Sdn. Bhd., Mahsuri Sulaiman pada majlis berkenaan.

Secara amnya, Shila merupakan jurucakap Safi Balqis yang keempat. Produk pertama Safi Balqis UV White menggunakan wajah model Ita Mahmood, Safi Balqis UV White Plus Q10 pula memperkenalkan duta selebriti pertama Elly Mazlein manakala Dynas Mokhtar dilantik sebagai jurucakap ketiga produk Safi Balqis UV White 2x.

Sementara itu, Shila yang kini menginjak usia 20 tahun menjelaskan, dia tidak teragak-agak untuk menerima tawaran pelantikan dirinya sebagai duta memandangkan sudah tiba masanya dia berubah daripada fasa remaja kepada fasa wanita yang matang.

Shila yang anggun dibaluti gaun biru dan putih turut memberitahu, Safi Balqis ialah salah satu platform transisi yang membuka ruang kepadanya menjadi lebih matang dan bersifat kewanitaan.

“Lebih mengujakan ialah pelantikan sebagai duta Safi Balqis Perfect 10 bagaikan simbolik pada penglibatan diri saya dalam bidang seni yang genap 10 tahun pada tahun ini. Sebagai individu terawal menggunakan produk ini, hasilnya cukup mengagumkan,” tutur Shila yang sempat menghiburkan tetamu dengan dua buah lagu tradisional Melayu.


RANGKAIAN produk Safi Balqis Perfect 10 membantu menjadikan kulit cerah dan bermaya.


Keistimewaan Safi Balqis Perfect 10

Ringkasnya, produk Safi Balqis Perfect 10 menawarkan 10 manfaat untuk mendapatkan kulit halus dan cerah dalam masa dua minggu. Ia dirumus khas dengan teknologi Nano yang mampu mencerah dan menganjalkan kulit kerana partikel mikro yang kecil mampu menyerap dengan cepat dan efektif.

Formulasi Nano Biowhite juga melambatkan proses pigmentasi, mengurangkan kerosakan sel serta mempertingkatkan kelembapan kulit, lantas menjadikan kulit cerah dan bermaya.

“Safi Balqis Perfect 10 tampil dalam formulasi baru hasil daripada kajian dan kesungguhan pihak Unza memenuhi cita rasa pengguna yang mengimpikan produk berkualiti dan halal. Sebab itu, setiap kali melancarkan produk baru kami terlebih dahulu mendapatkan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” terang Pengarah Urusan Unza, Kumar Chander.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: