“YOU all jaga diri baik-baik, jangan fikir hal lain dan try improve untuk jadi champion. Itu pesanan terakhir jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek kepada anak buahnya selepas selesai sesi latihan pada Khamis minggu lalu.
Amanat itu dikongsi ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang juga adik Misbun kepada Mingguan mStar ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Misbun mengejutkan ramai pihak apabila menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa pada 31 Disember lalu menerusi email kepada Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh tanpa memberikan sebarang alasan.
Menurut Rashid, dia yakin abangnya akan kembali melatih pemain senior dan luar negara bersama Kelab Badminton Nusa Mahsuri yang ditubuhkan sejak 1997 andai beliau tetap dengan keputusannya untuk mengundur diri.
“Kami adik-beradik kenal dengan perangai Misbun. Jika dia tidak suka sesuatu perkara, dia tetap dengan pendiriannya walaupun cuba dipujuk dengan apa jua cara sekalipun. Dia seorang yang tegas dan sukar diramal.
“Dia mungkin akan kembali ke Nusa Mahsuri jika tidak bersama BAM. Walaupun kami menerima tawaran dari BAM untuk menjadi jurulatih, hubungan dengan kelab badminton profesional itu tidak pernah putus. Kami masih ada perjanjian bersama Nusa Mahsuri,” katanya.
Rashid mengakui Nusa Mahsuri sering menjadi tumpuan pemain dari Jepun, England, Norway, Finland, Denmark dan Vietnam tiap-tiap tahun untuk menjalani latihan.
“Pemain No.1 Vietnam, Nguyen Tien Minh, Shoji Sato dan Sho Sasaki dari Jepun antara pemain yang pernah berlatih bersama Nusa Mahsuri. Mereka akan datang berlatih selama satu atau dua bulan di sini kemudian kembali ke negara asal untuk kejohanan tertentu,” ujarnya.
Mengulas mengenai kenyataan pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mahu mengikut jejak langkah Misbun, Rashid berkata, jika itu keputusan beliau ia bukan lahir daripada paksaan atau pujukan abangnya.
“Kalau Chong Wei nak keluar dari BAM, itu atas kehendak dia sendiri. Isu peletakan jawatan itu tiada kena mengena dengan Chong Wei malah Misbun tiada perancangan untuk mempengaruhi anak buahnya itu mengikut jejaknya,” tegas Rashid.
Katanya, Misbun tidak pernah terfikir untuk menghasut atau memujuk Chong Wei untuk meninggalkan BAM sebaliknya mahu anak didiknya itu fokus dalam setiap kejohanan dan segala persediaanya tidak terjejas.
Meskipun soalan demi soalan diajukan kepada Rashid untuk mengetahui punca sebenar peletakan jawatan Misbun, anak bongsu daripada lima beradik itu sekadar menjelaskan abangnya ada menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sistem pengurusan BAM.
“Saya tidak tahu sama ada dia terguris hati dengan pihak pengurusan. Namun isu itu bukan punca sebenar dalam masalah ini, ia cuma sebahagian daripadanya. Saya pun tidak sangka Misbun akan letak jawatan,” katanya.
Kini, tugas yang ditinggalkan Misbun diambil-alih oleh Rashid dan Teh Seu Bock buat sementara waktu sejak awal minggu ini sehingga pengumuman dari BAM diketahui dalam tempoh terdekat.
Sehingga hari ini, punca sebenar di sebalik kemelut itu masih mengundang seribu satu persoalan.
Bagaimanapun, kontroversi itu menunjukkan tanda-tanda akan selesai secepat mungkin selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan akan mengatur pertemuan tiga pihak bersama-sama dengan Misbun dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh sekembalinya dari lawatan ke Sarawak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: