Tuesday, January 11, 2011

1001 Rasa Di Fremantle, Australia Barat

Stesen keretapi Fremantle

KETENANGAN yang dicari-cari selama ini dapat dirasai ketika berkunjung ke Fremantle, Australia Barat. Jauh di lubuk hati, penulis memang merindui suasana desa di kampung halaman tetapi sekali-sekala beralih angin ke negara orang, apa salahnya berkongsi rasa sepanjang dua hari berada di sana.

Biarpun jauh dari kesibukan kota, namun bandar raya ini merupakan lokasi pelabuhan kapal-kapal besar dan pernah digelar sebagai banda raya pertama di Australia Barat sebelum Perth.

Pemandangan di pelabuhan Fremantle.

Bandar raya kosmopolitan ini berdekatan dengan muara Swan River yang terletak kira-kira 19 kilometer dari Perth. Uniknya, nama Fremantle diambil sempena nama pengasasnya, Kapten Charles Howe Fremantle pada tahun 1829.

Lokasinya yang berdekatan dengan laut membuatkan sesiapa yang berkunjung ke situ akan berasa nyaman apatah lagi ketika angin Lautan Hindi menyapa muka.

Terokai sejarah Fremantle, Australia Barat dengan menaiki perkhidmatan tram.

Paling penting, ketika berada di sana, penulis sempat menjamah fish and chips yang enak dan popular sambil merakam pemandangan indah dan puluhan burung merpati di tepian pantai.

Deretan restoran yang terdapat di bandar itu tidak menyukarkan orang ramai menikmati makanan laut.Selepas menikmati makanan, peluang untuk merakamkan gambar kenangan pastinya tidak akan dilepaskan oleh setiap pengunjung.

Bangunan-bangunan lama masih tersergam megah seperti Dewan Perbandaran, penjara, pasar, stesen kereta api, galeri kapal lama, Muzium Maritim Australia Barat, Pusat Seni Fremantle dan Muzium Fremantle turut menarik perhatian mata yang memandang.

Aktiviti membeli-belah pasti tidak ketinggalan. Ini kerana harga barang adalah lebih murah berbanding cenderamata yang dijual di Perth terutama di pasar yang dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pelbagai jenis bunga segar terdapat di Fremantle Markets.

Bagaimanapun, jangan terkejut jika ada di antara anda yang gagal membeli barangan yang dijual itu mengikut harga yang anda inginkan kerana aktiviti tawar menawar tidak diamalkan oleh para peniaga.

Penulis sempat berkenalan dengan beberapa peniaga di Fremantle Markets yang agak ramah seperti Glenda Morey yang menjual barangan cenderamata, Mark Coles yang menjual gitar kecil yang diimport dari Indonesia, serta Warren Thomas yang menjual barangan kraftangan.

Seronok berjalan mengelilingi Fremantle Markets, penulis turut terserempak dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sana. Difahamkan, terdapat kira-kira 40,000 orang yang tinggal di daerah ini.Di Fremantle, agak sukar untuk mendapatkan teksi. Kebanyakan penduduk di sana gemar menaiki bas, feri atau kereta api.

Aksi pemuzik jalanan.

Pengalaman itu turut dirasai oleh penulis sendiri apabila berpeluang menaiki kereta api bersama teman-teman dari bandar itu untuk pulang ke hotel penginapan di Perth. Pengangkutan awam mereka begitu selesa dan efisien.

Sebelum memasuki stesen Fremantle, di pintu gerbang stesen itu terdapat seorang lelaki kacak dan berpenampilan biasa dan mempunyai gari di tepi seluarnya.

Pada perkiraan penulis mulanya lelaki itu adalah mata-mata gelap namun sangkaan penulis rupanya meleset setelah memerhatikan ramai orang yang lalu-lalang di situ memberikan duit kepadanya.

Bagaimanapun dia tidak mengganggu orang awam di situ sebaliknya hanya tersenyum dan mundar-mandir memerhatikan keadaan sekeliling. Kadangkala dia ditegur oleh beberapa orang yang mengenalinya.

Keesokan harinya, penulis kembali semula ke Fremantle kerana dua rakan penulis tidak puas membeli-belah di situ. Kali ini, kami berpeluang menghabiskan lebih banyak masa di situ.

Rupanya di pekan yang kelihatan kecil di mata penulis sebenarnya luas. Rasanya tidak puas untuk berjalan dalam masa sehari.

Diikutkan, banyak festival besar yang berlaku di Fremantle pada masa-masa tertentu seperti pertunjukan bunga api pada setiap 26 Januari di Fishing Boat Harbour, pertunjukan bot Fremantle pada bulan Mac dan April, West Coast Blues & Roots Festival pada April serta Wardarnji Indigenous Cultural Festival pada November di Fremantle Esplanade dan Fremantle Street Arts Festival di hujung minggu serta Fremantle Festival pada November di beberapa tempat sekitar Fremantle.

Selain itu, terdapat kemudahan lain yang disediakan di Fremantle seperti pejabat pos, kafe siber dan pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: